Risiko Pendarahan Selepas Pengambilan Selective Serotonin Reuptake Inhibitors – Nurul Amira Haji Zunaidi (Pegawai Farmasi)

Kemurungan bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat masa kini, malah semakin kerap dilaporkan di seluruh dunia. Kemurungan boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira usia, latar belakang atau status sosial. Keadaan ini bukan sekadar perasaan sedih yang sementara tetapi suatu gangguan mental yang berpanjangan dan boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi, fizikal serta sosial individu yang mengalaminya. Kemurungan juga memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat.

Punca kemurungan berbeza bagi setiap individu, termasuk faktor genetik, tekanan hidup dan menghidap penyakit kronik. Antara gejala lazim kemurungan termasuklah perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, gangguan tidur, perubahan selera makan dan kesukaran menumpukan perhatian. Oleh sebab itu, rawatan yang bersesuiaan amat diperlukan bagi membantu mengawal gejala penyakit ini.

Selective Serotonin Reuptake Inhibitors

Salah satu ubat yang sering digunakan dalam rawatan kemurungan ialah Selective Serotonin Reuptake Inhibitors (SSRI). Antara ubat SSRI yang biasa digunakan ialah fluvoxamine, escitalopram, fluoxetine dan sertraline. Ubat dalam kumpulan ini berfungsi untuk meningkatkan paras serotonin di otak, iaitu sejenis bahan kimia yang penting dalam pengawalan emosi dan keseimbangan mood.

SSRI memberi kesan kepada peningkatan paras serotonin menerusi tindakan menghalang proses penyerapan semula serotonin oleh sel saraf. Apabila lebih banyak serotonin kekal di ruang antara sel, penghantaran isyarat antara sel saraf menjadi lebih baik, sekali gus membantu memperbaik mood dan mengurangkan gejala kemurungan. Selain digunakan untuk rawatan kemurungan, SSRI turut berkesan untuk merawat masalah mental lain seperti gangguan obsesif kompulsif (OCD) dan serangan panik.

Di Malaysia, ubat dalam kumpulan SSRI dikategorikan sebagai Ubat Terkawal, iaitu ubat yang hanya boleh diperoleh dengan preskripsi daripada doktor. Ubat ini harus digunakan di bawah pengawasan doktor dan ahli profesional kesihatan bagi memastikan keberkesanan rawatan dan mengurangkan risiko kesan sampingan.

SSRI dan risiko pendarahan

Walaupun ubat dalam kumpulan SSRI terbukti berkesan untuk merawat kemurungan serta masalah psikiatri yang lain, penggunaannya tidak terlepas daripada risiko kesan sampingan. Antara kesan sampingan yang perlu diberi perhatian ialah risiko pendarahan, terutamanya dalam kalangan pesakit yang turut mengambil ubat lain yang mempengaruhi proses pembekuan darah.

SSRI mampu meningkatkan risiko pendarahan apabila digunakan bersama-sama ubat antiplatelet seperti aspirin atau antikoagulan seperti warfarin. Hal ini berlaku disebabkan SSRI dapat mempengaruhi fungsi platelet, iaitu komponen yang berperanan penting dalam proses pembekuan darah. Apabila fungsi platelet terganggu, keupayaan tubuh untuk menghentikan pendarahan turut terjejas hingga berisiko mengakibatkan pendarahan yang tidak normal.

Pendarahan akibat penggunaan SSRI boleh terjadi dalam beberapa keadaan. Antara yang lazim dilaporkan ialah pendarahan di saluran pencernaan, yang melibatkan perut atau usus dan boleh menyebabkan muntah berdarah atau najis berwarna hitam. Selain itu, sesetengah pesakit turut mengalami pendarahan hidung atau gusi yang berlaku tanpa sebab yang jelas. Dalam kes tertentu, pendarahan juga boleh menyebabkan penghasilan lebam yang lebih besar dan mengambil masa yang lama untuk pulih berbanding lebam biasa.

Nasihat untuk pesakit

Sebelum atau semasa menjalani rawatan kemurungan, pesakit disarankan untuk memaklumkan doktor atau ahli farmasi tentang ubat, suplemen atau produk tradisional dan komplementari yang diambil. Langkah ini penting untuk mengelakkan risiko berlakunya interaksi dan kesan sampingan sekiranya ubat SSRI dimulakan untuk rawatan kemurungan.

Selain itu, pesakit yang dimulakan dengan ubat SSRI haruslah lebih peka terhadap tanda-tanda pendarahan yang mungkin berlaku. Sekiranya pesakit mengalami sebarang kesan tidak diingini selepas mengambil SSRI, mereka tidak seharusnya menghentikan ubat secara tiba-tiba tanpa nasihat doktor. Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dan penilaian yang menyeluruh oleh doktor. Jika perlu, doktor akan mengambil langkah yang sewajarnya seperti menyesuaikan dos ubat atau menggantikan SSRI dengan ubat daripada kumpulan yang lain.

            Sebagai kesimpulan, masalah kemurungan perlu dirawat dengan tepat dan secara berterusan. Penggunaan SSRI dapat membantu pesakit mengawal gejala dan meningkatkan kualiti hidup. Namun begitu, pesakit perlu peka akan risiko pendarahan yang mungkin berlaku dengan pengambilan ubat SSRI. Walau bagaimanapun, dengan pemantauan serta komunikasi berterusan, risiko ini dapat dikawal dan rawatan dapat diberikan dengan lebih selamat dan berkesan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Disediakan oleh PNurul Amira binti Haji Zunaidi (Pegawai Farmasi Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

RUJUKAN:

  1. Overview – Depression in adults. Laman sesawang NHS. https://www.nhs.uk/mental-health/conditions/depression-in-adults/overview/ Diakses pada 6 Januari 2025.
  2. Causes – Depression in adults. Laman sesawang NHS. https://www.nhs.uk/mental-health/conditions/depression-in-adults/causes/ Diakses pada 6 Januari 2025.
  3. Gautam M, Tripathi A, Deshmukh D, Gaur M. Cognitive Behavioral Therapy for Depression. Indian J Psychiatry. 2020 Jan;62(Suppl 2):S223-S229. doi: 10.4103/psychiatry.IndianJPsychiatry_772_19. Epub 2020 Jan 17. PMID: 32055065; PMCID: PMC7001356.
  4. Rahman AA, Platt RW, Beradid S, Boivin J, Rej S, Renoux C. Concomitant Use of Selective Serotonin Reuptake Inhibitors With Oral Anticoagulants and Risk of Major Bleeding. JAMA Netw Open. 2024;7(3):e243208. doi:10.1001/jamanetworkopen.2024.3208

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box