Malaria kekal sebagai cabaran utama kesihatan awam di peringkat global, dengan kadar jangkitan dan kematian yang masih tinggi dan membimbangkan. Pada tahun 2023 sahaja, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 263 juta kes malaria dan 597,000 kematian berkaitan penyakit ini direkodkan di seluruh dunia. Di Malaysia pula, walaupun kes tempatan malaria melibatkan penularan dalam kalangan manusia berjaya dikekalkan sifar selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2018 hingga 2023, namun, ancaman malaria melalui kes import dan malaria zoonotik semakin membimbangkan. Pada tahun 2022, sebanyak 89.2% daripada 404 kes malaria yang dilaporkan di Malaysia merupakan malaria zoonotik manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai kes import.
Memahami malaria dan cara penularannya
Malaria disebabkan oleh parasit protozoa daripada genus Plasmodium yang menjangkiti sel darah merah manusia. Parasit ini disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles betina, iaitu vektor yang memerlukan darah untuk membolehkan perkembangan telurnya. Setelah dipindahkan melalui gigitan nyamuk, parasit Plasmodium akan memasuki salur darah dan seterusnya bergerak ke hati. Parasit ini akan matang di hati dan kemudiannya menjangkiti sel darah merah. Pada peringkat inilah individu yang dijangkiti akan mula mengalami gejala malaria.
Terdapat empat spesies Plasmodium yang lazimnya menyebabkan malaria dalam kalangan manusia, iaitu Plasmodium falciparum, Plasmodium vivax, Plasmodium ovale, dan Plasmodium malariae. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes malaria dalam kalangan manusia dikaitkan dengan Plasmodium knowlesi, iaitu spesies yang biasanya menjangkiti primat seperti monyet.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada penularan malaria ialah kewujudan banyak tempat pembiakan nyamuk. Situasi ini sering disebabkan oleh sistem saliran yang tidak sempurna, takungan air yang terbiar serta persekitaran yang tidak bersih. Berada di kawasan yang dikategorikan endemik malaria sama ada untuk tinggal sementara atau tetap seperti kawasan tropika dan subtropika turut meningkatkan risiko jangkitan.
Selain daripada gigitan nyamuk, malaria juga berisiko untuk disebarkan melalui kaedah lain, seperti penularan daripada ibu kepada anak semasa kehamilan, pemindahan darah dan perkongsian jarum suntikan yang tercemar.
Gejala lazim malaria
Gejala malaria biasanya bermula dengan ‘fasa sejuk’ iaitu individu yang dijangkiti akan mengalami kesejukan dan menggigil. Fasa ini diikuti oleh ‘fasa panas’ yang menyebabkan individu dijangkiti mengalami demam panas (melebihi 40°C), ketidakselesaan, kegelisahan dan loya. Fasa ketiga dikenali sebagai ‘fasa berpeluh’ iaitu individu yang dijangkiti akan berpeluh dengan banyak apabila suhu badan mula menurun. Keseluruhan proses ini berlaku antara enam hingga sepuluh jam. Tanpa rawatan, kitaran ‘fasa sejuk’, diikuti ‘fasa panas’ dan ‘fasa berpeluh’ ini akan berulang. Gejala lain jangkitan malaria termasuklah sakit kepala, keletihan, rasa tidak selesa secara umum, sakit otot dan sendi, serta ketidakselesaan perut.
Rawatan untuk malaria
Rawatan bagi malaria secara amnya diklasifikasikan kepada dua kategori berdasarkan tahap keterukan, iaitu malaria tidak rumit (uncomplicated malaria) dan malaria rumit atau serius (complicated or severe malaria), serta bergantung kepada spesies Plasmodium yang menyebabkan jangkitan. WHO mengesyorkan Terapi Gabungan Berasaskan Artemisinin (ACT) sebagai rawatan standard bagi malaria. Pemilihan terapi gabungan ini ditentukan oleh beberapa faktor selepas penilaian perubatan yang teliti oleh doktor. Selain itu, sejarah kerintangan terhadap ubat antimalaria tertentu turut menjadi pertimbangan penting dalam memilih rawatan yang paling sesuai.
Rawatan untuk malaria tidak rumit
Jangkitan malaria tidak rumit biasanya dirawat dengan ubat antimalaria yang diambil secara oral. Malaria yang disebabkan oleh Plasmodium falciparum, Plasmodium knowlesi, atau Plasmodium malariae dirawat dengan gabungan ubat antimalaria seperti artesunate dan mefloquine, atau artemether dan lumefantrine. Satu lagi ubat antimalaria iaitu primaquine perlu diambil selama 14 hari sebagai tambahan bagi rawatan malaria yang disebabkan oleh Plasmodium vivax atau Plasmodium ovale. Penambahan ubat ini adalah penting kerana jangkitan oleh dua spesies parasit ini boleh menjadi kekal dalam keadaan dorman di hati dan berisiko menyebabkan jangkitan berulang.
Rawatan untuk malaria serius dan rumit:
Individu yang mengalami jangkitan malaria yang serius dan rumit perlu dirawat di hospital dengan kadar segera. Mereka akan dirawat menggunakan ubat antimalaria intravena yang mengandungi artesunate. Keadaan pesakit dan tindak balas terhadap rawatan akan dipantau rapi sepanjang tempoh rawatan di hospital. Setelah tahap keterukan penyakit berkurang dan keadaan pesakit semakin stabil, ubat antimalaria boleh ditukar kepada bentuk oral.
Langkah pencegahan
Malaria merupakan penyakit yang boleh dicegah dan langkah pencegahan amat disarankan kepada sesiapa yang berisiko tinggi dijangkiti malaria. Golongan berisiko termasuklah pengembara atau pelancong ke kawasan endemik, anggota tentera, individu yang bekerja di ladang atau hutan dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti seperti pembinaan empangan.
Risiko untuk dijangkiti malaria bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap penularan di sesuatu kawasan, tempoh pendedahan dan pematuhan kepada langkah pencegahan. Wanita hamil dan individu yang mengalami masalah limpa dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan ke kawasan endemik malaria.
Pencegahan malaria yang efektif memerlukan gabungan langkah perlindungan diri dan pengambilan ubat-ubatan untuk pencegahan, jika perlu. Individu yang merancang untuk melancong ke kawasan yang diketahui mempunyai penularan malaria perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.
Penilaian yang teliti harus dilakukan untuk menentukan ubat antimalaria yang sesuai untuk diambil sebagai langkah pencegahan. Ubat ini perlu dimulakan sebelum perjalanan, diteruskan sepanjang tempoh berada di kawasan tersebut dan selepas meninggalkan kawasan itu untuk suatu tempoh tertentu. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan untuk pencegahan hanya berkesan jika ubat tersebut diambil mengikut dos dan kekerapan yang ditetapkan.
Selain pengambilan ubat, mengelakkan gigitan nyamuk juga merupakan langkah pencegahan yang penting. Langkah yang boleh dilakukan adalah dengan menyapu bahan penghalau serangga (insect repellant) yang mengandungi diethyltoluamide (DEET) pada kepekatan antara 20-50%, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang serta tidur di dalam kelambu. Produk berasaskan DEET adalah selamat untuk orang dewasa dan kanak-kanak berumur dua bulan ke atas. Produk yang berkepekatan rendah lebih disarankan dan harus disapu nipis pada anggota badan.
Menjaga kebersihan persekitaran juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk dan seterusnya mengekang penularan malaria. Individu yang mula mengalami gejala seperti demam, menggigil atau keletihan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera. Diagnosis dan rawatan awal dapat mengurangkan risiko jangkitan malaria menjadi lebih serius.
Sebagai kesimpulannya, walaupun usaha Malaysia untuk mengawal malaria dilihat telah berjaya, namun ancaman kes import dan kes zoonotik yang semakin meningkat memerlukan semua pihak untuk terus berwaspada. Kesedaran masyarakat, diagnosis awal, rawatan yang sesuai dan usaha pencegahan yang berterusan perlu ditekankan untuk kawalan malaria yang efektif.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh Puan Nurulaida binti Baharom (Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Maharani) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
RUJUKAN:
- Kementerian Kesihatan Malaysia. CPG Management Guidelines of Malaria in Malaysia. Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia; 2013. [cited 31 Jan 2025]. (MANAGEMENT_GUIDELINES_OF_MALARIA_IN_MALAYSIA.Pdf1_ (3), n.d.)
- Centers for Disease Control and Prevention. Malaria Treatment Guidelines [internet]. Atlanta: Centers for Disease Control and Prevention; 2023. [cited 31 Jan 2025]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK551711/
- Mayo Clinic. Malaria transmission cycle [Internet]. Rochester (MN): Mayo Clinic; c2025 [cited 1 Februari 2025]. Available from :https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/malaria/multimedia/malaria-transmission-cycle/img-20006373
- National Center for Biotechnology Information. Malaria [Internet]. Bethesda (MD): National Library of Medicine (US); c2019 [cited 1 Februari 2025]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK555962/
- World Health Organization. Drug efficacy and resistance [Internet]. Geneva: World Health Organization; c2025 [cited 1 Februari 2025]. Available from: https://www.who.int/teams/global-malaria-programme/case-management/drug-efficacy-and-resistance
- National Center for Biotechnology Information. Malaria: Parasites and Vectors [Internet]. Bethesda (MD): National Library of Medicine (US); c2019 [cited 1 Februari 2025]. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK1713/
- Alonso PL, Leke RF, Pinder M, et al. Malaria: challenges and opportunities [Internet]. PLoS Med. 2015;12(3):e1001806. [cited 1 Februari 2025]. Available from: https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC4556080/
- Centers for Disease Control and Prevention. Malaria [Internet]. Atlanta (GA): Centers for Disease Control and Prevention; c2024 [cited 1 Februari 2025].Available from: https://wwwnc.cdc.gov/travel/yellowbook/2024/infections-diseases/malaria
- Mohan A, Bansal D, Goyal V, et al. Malaria: current status and challenges ahead [Internet]. Indian J Med Res. 1998;107:201-212. [cited 1 Februari 2025].Available from: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9752813/