Apa itu “Growing Pain”?
“Growing pain” adalah suatu keadaan di mana kanak-kanak mengalami sakit atau lenguh di bahagian kaki. Biasanya, ini terjadi pada waktu malam dan adakalanya kanak-kanak tersebut akan terbangun dari tidur sambil mengadu kesakitan. Sakit tersebut akan hilang dengan sendirinya sebelum pagi. Keadaan ini biasanya terjadi pada kanak-kanak prasekolah atau sekolah rendah.
Apakah tanda-tanda “Growing Pain”?
Kanak-kanak yang mengalami “growing pain” akan mengadu sakit atau lenguh biasanya di bahagian hadapan paha, bahagian betis atau di belakang lutut. Biasanya, kedua-dua belah kaki akan mengalami rasa sakit.
Adakalanya, kanak-kanak tersebut juga mungkin mengadu sakit di bahagian tangan, sakit perut atau sakit kepala. Sakit ini biasanya datang dan pergi dan tidak terjadi setiap hari.
Apakah punca terjadinya “Growing Pain”?
Sehingga kini, punca sebenar terjadinya “growing pain” masih belum diketahui. “Growing pain” bukan disebabkan oleh masalah pertumbuhan atau perkembangan. “Growing pain” mungkin disebabkan oleh penggunaan otot secara berlebihan di siang hari akibat daripada aktiviti seperti berlari, melompat dan memanjat yang berlebihan. Selain itu, postur badan yang tidak elok juga boleh menjadi punca terjadinya “growing pain”.
Apakah yang boleh dilakukan jika anak saya mengalami “Growing Pain”?
Anda boleh mengurut atau mengusap kaki anak anda, mandi air panas atau letakkan kain yang hangat di bahagian yang sakit. Selain itu, anda boleh menggunakan ubat sapu atau ubat paracetamol untuk cuba melegakan sakit kaki tersebut. Anda juga boleh menggalakkan anak anda untuk melakukan senaman ringan atau senaman regangan. Lazimnya, sakit kaki ini hanya terjadi beberapa minit sehingga beberapa jam dan akan hilang dengan sendirinya.

Bilakah perlu saya membawa anak saya berjumpa doktor?
Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya sakit tersebut menggangu akitiviti yang biasanya dapat dilakukan oleh anak anda, sakit kaki berlanjutan setiap hari atau sakit tersebut bukan sahaja terjadi pada waktu malam tetapi juga di siang hari. Anda juga perlu mambawa anak anda berjumpa doktor sekiranya sakit kaki terjadi di bahagian sendi seperti lutut atau buku lali dan nampak bengkak. Selain sakit kaki, jika anak anda juga mengalami demam, susut berat badan, tidak lalu makan, nampak pucat atau tidak bermaya, sila berjumpa doktor dengan segera.
Adakah “Growing Pain” berbahaya?
“Growing pain” tidak berbahaya dan tidak dikaitkan dengan penyakit yang serius. “Growing pain” juga tidak akan menggangu pertumbuhan kanak-kanak tersebut. Keadaan ini akan menjadi kurang kerap dan akan hilang apabila anak anda semakin dewasa.
Artikel ini ditulis oleh Dr La Reina Sangaran, Pakar Pediatrik Rheumatologi Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
