Berapa ramaikah di kalangan kita yang pernah mengalami bengkak di bahagian leher?
Sekurangnya sekali seumur hidup, kita akan mengalami bonjolan kecil di bahagian leher apabila kita mengalami sakit tekak atau gejala yang seumpamanya. Kanak-kanak kebiasaannya akan lebih kerap mengalami simptom ini tetapi bonjolan tersebut adalah lebih kecil di bahagian leher dan tengkuk.
Apakah yang menyebabkan bengkak ini?
Badan kita mempunyai sistem pertahanan yang terdiri daripada sistem limfatik. Kelenjar limfa atau nodus limfa (lymph node) adalah sebahagian daripada sistem ini. Semasa jangkitan, kanser atau penyakit seumpamanya- nodus limfa akan bertambah besar dan dapat dirasai di bawah kulit. Umumnya, kita menggunakan istilah limfadenopati (lymphadenopathy) untuk kejadian ini.
Kita juga mempunyai nodus limfa di bahagian aksila (ketiak), inguinal (celah paha) & abdomen. Beberapa contoh situasi yang dipaparkan adalah untuk menggambarkan kepelbagaian rangkaian penyakit yang boleh menyebabkan limfadenopati.
Pesakit 1
Seorang budak lelaki berumur 5 tahun mengalami sakit dan bengkak di bahagian leher dan boleh dirasai di bawah kulit selepas mengalami demam dan sakit tekak selepas beberapa hari. Pemeriksaan fizikal menunjukkan bahawa kedua belah tonsil bengkak dengan beberapa tompok putih dan nodus limfa bengkak sebesar 1 sm di kedua belah leher. Diagnosis ialah jangkitan tonsil bersama jangkitan nodus limfa- ini dikenali sebagai limfadenitis (lymphadenitis).
Kanak-kanak lebih kerap mengalami limfadenitis. Kadang kala ia muncul di bahagian leher dan tengkuk, biasanya berukuran kurang daripada 1 sm. Keutamaan adalah untuk mencari punca jangkitan di bahagian kepala dan leher- terutamanya mulut, gigi, tekak dan kulit rambut. Virus dan bakteria adalah punca kejadian ini. Rawatan dengan antibiotik biasanya disyorkan sekiranya pesakit mengalami gejala jangkitan dan sekiranya nodus limfa itu bersaiz besar ( >1 sm).
Tuberkulosis (tuberculosis, TB) nodus limfa (dikenali sebagai tuberculous lymphadenitis) adalah agak berleluasa di rantau ini dan merangkumi semua peringkat umur. Aspirasi atau sedutan menggunakan jarum halus (Fine needle aspiration cytology, FNAC) adalah teknik menggunakan jarum kecil yang dicucuk ke dalam bengkak tersebut dan seterusnya sel yang disedut akan diletak di atas slaid kaca, diproses dan dikaji menggunakan mikroskop oleh Pakar Patologi. Dalam kebanyakan kes, diagnosis boleh dikesan dengan kaedah ini dalam 94% keseluruhan kes. Jarang kali, bengkak nodus limfa TB ini akan pecah dan nanah akan mengalir keluar.
Pesakit 2
Seorang budak lelaki 10 tahun mengalami bengkak yang semakin membesar di kedua belah leher selama 1 bulan dengan demam yang berulang (Imej 1 & 2) Dia tidak mengalami gejala di bahagian mulut atau tekak. Ujian untk penyakit TB dijalankan tetapi kesemuanya negatif. Dia perlu menjalani pembedahan biopsi dengan kaedah bius am untuk pengesahan penyakit. Diagnosis mengikut keputusan biopsi ialah limfoma (lymphoma) iaitu barah sel darah putih limfosit (lymphocyte).

Imej 1: Limfadenopati di leher kiri dengan kulit yang normal di bahagian bengkak
Sumber: Dr. Ahmad Nordin

Imej 2: Bengkak di leher kanan pada pesakit yang sama. Perubahan kulit ini jarang berlaku pada pesakit limfoma. Jahitan di atas bengkak ialah dari pembedahan biopsi pada hari keenam pasca pembedahan.
Sumber: Dr. Ahmad Nordin
Kes seperti ini agak jarang berlaku. Bengkak pada nodus limfa yang tidak sakit dan semakin membesar perlu dirujuk awal untuk pemeriksaan lanjut.
Pesakit 3
Seorang lelaki berumur 50 tahun mengadu bengkak di leher selam 3 bulan. Beliau juga ingat pernah mengalami pendarahan hidung beberapa kali 6 bulan dahulu dan ada merasa bahawa telinga sebelah kiri semakin terasa tersumbat.

Imej 4: pandangan endoskopi salur telinga menunjukkan gegendang telinga yang kelihatan tersedut ke dalam kerana wujudnya lendir di bahagian telinga tengah (di belakang gegendang telinga) disebabkan oleh kanser..
Sumber: Dr. Ahmad Nordin

Imej 4: pandangan endoskopi hidung menunjukkan ketumbuhan berbentuk sebagai kobis bunga (cauliflower) di bahagian kiri nasofarinks pesakit (bahagian kanan gambar). Bahagian kanan nasofarinks pesakit normal
Sumber: Dr. Ahmad Nordin
Pemeriksaan menunjukkan bahawa terdapat nodus limfa leher berukuran 9 cm (Imej 3). Telinga kiri beliau menunjukkan tedapat cecair di ruang telinga tengah, iaitu di sebalik gegendang telinga (otitis media with effusion) (Imej 4). Pemeriksaan endoskopi hidung menunjukkkan bahawa adanya ketumbuhan di nasofarinks (Imej 5). Malangnya, pesakit ini menhidapi kanser nasofarinks, yang pernah saya bincangkan dalam artikel saya sebelum ini.
NPC ialah salah satu penyebab limfadenopati di rantau ini. Kanser di bahagian kepala dan leher, dan juga di paru-paru, perut dan usus juga boleh menyebabkan bengkak di bahagian leher melalui sebaran sel kanser ke bahagian badan yang lain (metastasis).
Kesimpulannya dan untuk menjawab soalan di permulaan artikel ini tadi: Adakah saya perlu risau sekiranya mengalami bengkak kelenjar limfa?
Ada banyak sebab berlakunya limfadenopati. Adalah baik sekiranya anda berjumpa doktor jika terjadi limfadenopati, terutamanya jika saiz nodus limfa melebihi 1 sm. Kemungkinan besar ia adalah jangkitan yang akan sembuh tanpa memerlukan ubat. Tetapi ia bukan dijadikan alasan untuk tidak mendapat rawatan. Pakar ENT sepatutnya dirujuk sekiranya kes tersebut mempunyai simptom yang luar biasa.
*penggunaan gambar yang diambil untuk laman sesawang terlebih dahulu telah diberi kebenaran oleh pesakit dan/ atau penjaga dan kakitangan berkenaan
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
- Cervical lymphadenopathy – diagnosis by F.N.A.C., a study of 219 cases, A. B. Pandav, P. P. Patil, D. N.Lanjewar; Asian J Med Research Jul-Sep 2012 Vol-1 Issue-3 79-83
- The Royal Children’s Hospital Melbourne, Cervical Lymphadenopathy Clinical Practice Guidelines; Accessed 28 October 2013
[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]


45 comments for “Bengkak Kelenjar Leher; Perlukah Saya Risau? – Dr Ahmad Nordin”