Kanser Payudara: Apa Yang Penting? – Dr Hidayatul Radziah Ismawi

Sumber: http://motionpr.net/2013/08/knowledge-is-power-what-every-woman-needs-to-know-about-breast-cancer/

Sumber: http://motionpr.net/2013/08/knowledge-is-power-what-every-woman-needs-to-know-about-breast-cancer/

Apabila berbincang mengenai kanser payudara, sudah tentu setiap wanita berasa gerun dan risau, kerana sebagai seorang wanita, kemungkinan untuk mendapat kanser payudara itu adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi. Setiap wanita secara semulajadi sudah mempunyai salah satu faktor risiko untuk mendapat kanser payudara. Maka, adalah amat penting bagi setiap wanita mengetepikan perasaan gerun, malu atau risau tersebut dan mempunyai kesedaran terhadap kanser payudara.

Apa itu kanser payudara? Kanser payudara merupakan sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser (malignant) dalam tisu-tisu payudara. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan wanita seluruh Malaysia. Hampir 3, 500 kes kanser payudara dikesan setiap tahun.

Siapakah yang berisiko mendapat kanser payudara? Wanita mempunyai risiko yang tinggi berbanding lelaki dan terdapat juga faktor-faktor risiko tinggi yang lain seperti peningkatan umur, sejarah keluarga (emak, adik-beradik perempuan, anak perempuan yang menghidap kanser payudara), pernah menghidap kanser payudara sebelum ini atau menghidap ketumbuhan pada payudara yang benigna proliferatif (benign proliferative). Faktor-faktor risiko sederhana termasuklah sejarah haid (datang haid awal & putus haid lewat), sejarah kelahiran (tiada anak atau melahirkan anak pertama pada usia yang lanjut), mengambil estrogen tambahan, menghidap kanser ovari atau rahim dan meminum arak.

Setelah mengetahui faktor-faktor risiko tersebut, setiap wanita juga harus peka terhadap tubuh badan sendiri dan mengesan perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri sendiri. Gejala utama yang mungkin dialami oleh pesakit adalah adanya KETUMBUHAN, pengeluaran CECAIR LELEHAN dari puting, dan SAKIT atau ketidakselesaan di sekitar payudara. Sekiranya terdapat mana-mana gejala tersebut, pesakit haruslah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Kanser payudara tidak hanya tertumpu kepada bahagian payudara malah ia juga merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan kemudian tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang, hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovary.  Dianggarkan lebih 35% dari kanser payudara mungkin telahpun merebak atau mengalami metastasis sewaktu ia dikesan. Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan.

Malangnya, ramai di kalangan wanita yang mempunyai gejala-gejala kanser payudara, enggan tampil untuk mendapatkan nasihat doktor. Ada di kalangan mereka yang enggan menerima kenyataan bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku dan mereka beranggapan bahawa perkara itu akan hilang dengan sendirinya sekiranya mereka tidak mengendahkannya. Pemikiran begini adalah amat merbahaya dan merugikan pesakit itu sendiri. Sekiranya kanser payudara dikesan pada peringkat awal, kebarangkalian prognosis atau kesudahan yang lebih optimis adalah lebih tinggi berbanding kes kanser payudara yang dikesan pada peringkat lewat.

Bagaimanakah para wanita boleh meningkatkan kesedaran masing-masing terhadap penyakit ini? Dengan sentiasa peka terhadap gejala-gejala kanser payudara dan melakukan beberapa kaedah saringan yang mudah. Setiap wanita seharusnya mengetahui cara-cara untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri (PSP). Pemeriksaan ini sungguh mudah dilakukan dan harus dilakukan sekali sebulan beberapa hari setelah darah haid berhenti. Pemeriksaan payudara juga boleh dilakukan oleh kakitangan kesihatan sewaktu pemeriksaan kesihatan. Bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas, ujian saringan mammogram juga harus dijalankan. Ujian mammogram dapat mengesan perubahan pada tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan seperti mengambil biopsi atau sampel tisu payudara.

Naluri kita sebagai wanita adalah untuk menyayangi, mengasihi dan menjaga orang lain seperti ibu bapa, suami dan anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menyayangi diri sendiri. Kanser payudara. Apa yang penting? KESEDARAN.

Untuk maklumat lanjut mengenai kanser payudara, sila lawat laman sesawang:

Dr. Hidayatul Radziah Ismawi seorang pensyarah perubatan di IPTA. 

Rujukan

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

16 comments for “Kanser Payudara: Apa Yang Penting? – Dr Hidayatul Radziah Ismawi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box