Pembedahan Leher Bengkak & Bernanah – Dr Ahmad Nordin

Mungkin ada segolongan kecil dari anda yang pernah membaca artikel saya mengenai kelenjar leher yang bengkak di MMG (https://www.mmgazette.com/bengkak-kelenjar-leher-perlukah-saya-risau-dr-ahmad-nordin/). Saya ada menyatakan bahawa kelenjar tersebut boleh menjadi satu struktur yang keras kepada lembut yang berisi nanah.

Saya ingin memberi peringatan kepada sesiapa yang sedang menjamu selera sekarang, anda mungkin hilang selera makan selepas melihat imej-imej selepas ini.

Keadaan ini biasanya bermula dengan bengkak kecil yang menyakitkan dan sejurus itu akan adanya demam. Kadangkala mungkin terdapatnya sakit gigi , sakit tekak, susah menelan, jangkitan kulit kepala atau gejala kepala dan leher yang lain- bergantung dengan tempat asal jangkitan.

Kita perhatikan di sini (imej 1), leher kiri bengkak dan merah. Kami tandakan di lapisan kulit di mana belahan akan dilakukan.

Imej 1: Bisul di leher sebelum pembedahan

Kami biasa menjalankan imbasan Computed Tomography (CT scan) untuk menganalisa sejauh mana kumpulan nanah tersebut dan untuk memastikan tiada struktur utama di leher termasuk dalam kandungan nanah (imej 2). Ini memandangkan wujudnya pelbagai ruang di leher yang berhubung antara satu sama lain di leher.

Imej 2: Kumpulan nanah kelihatan di sebelah kiri leher (bayangan hitam yang tidak sekata di bahagian bengkak di kanan tengah imej tersebut)

Pembedahan biasanya dijalankan dengan bius penuh. Kawasan pembedahan disterilkan dengan ‘povidone iodine’ dan dilapis dengan kain. (Imej 3)

Imej 3: Kawasan disterilkan dan dilapiskan dengan kain.

Belahan pertama dilakukan dengan pisau tajam di kulit. (Imej 4)

Imej 4: Belahan kulit

Pembedah seterusnya dilakukan dengan mesin diatermi (imej 5). Ini mengurangkan kesan perdarahan. Saya pernah menyatakan kegunaan mesin diatermi dalam artikel tonsil saya sebelum ini ( https://www.mmgazette.com/pembedahan-tonsil-bagaimanakah-caranya-dr-ahmad-nordin/ )

Imej 5: Pembedahan menggunakan diatermi

Bahagian sisi kulit ditarik dengan ‘retractor’. Pembedahan diteruskan sehingga kapsul nanah ditemui. Satu belahan kecil akan dilakukan. Setelah lapisan kapsul tersebut bocor, nanah akan mencurah keluar. Satu sampel kultur dan sensitiviti bakteria akan diambil dengan putik kapas steril dan akan disimpan di media yang sesuai sebelum dihantar ke makmal (imej 6)

Imej 6: Sampel nanah diambil untuk kultur & sensitiviti bakteria

Belahan dalam kemudian dilebarkan dengan ‘artery forcep’ yang tumpul untuk memudahkan lebihan nanah melimpah keluar (imej 7). Dalam pesakit ini, lebih kurang 30ml nanah dikeluarkan.

Imej 7: Nanah pekat mengalir dari bisul tersebut

Kumpulan nanah biasanya ada beberapa ruang terpisah oleh beberapa selaput nipis. Ruang tersebut perlu dipecah untuk mengeluarkan kumpulan nanah dari ruang-ruang yang lebih kecil ini. Cara dengan menggunakan jari bersarung tangan adalah cara yang selamat untuk mengelakkan kecederaan pada struktur utama di sekelilingnya (imej 8)

Imej 8: Memecahkan ruang-ruang kecil berisi nanah dengan jari kecil

Ruang nanah tersebut dicuci dengan cecair steril untuk membersihkan nanah dan darah. Ini dilakukan berulang kali sehingga cecair yang keluar menjadi jernih (imej 9).

Imej 9: Mencuci ruang nanah dengan cecair

Seterusnya, kain kasa reben (ribbon gauze) diletakkan ke dalam ruang kosong tersebut (imej 10). Ini mencegah ruang tersebut dari menjadi sempit. Ruang ini perlu ada tempat untuk bendalir atau lebihan nanah mengalir dalam beberapa hari berikutnya. Jika kulit tersebut tutup terlalu awal, nanah akan terperangkap dan masalah yang sama akan berulang.

Imej 10: Meletakkan ruang nanah dengan kain kasa reben (ribbon gauze)

Akhirnya, luka tersebut ditutup dengan kain kasa dan ‘pressure dressing’ (imej 11). Luka tersebut akan dibuka untuk pemeriksaan pada hari berikutnya.

Imej 11: ‘Dressing’ pada leher yang digunakan pada akhir pembedahan.

Cucian luka akan dilakukan setiap hari. Setelah luka tersebut bersih dan demam telah reda, pesakit dibenarkan pulang. Dia perlu pergi ke klinik untuk mencuci luka setiap hari sehingga luka tersebut menjadi bersih. Dengan penjagaan rapi, kebanyakkan luka akan tutup dan sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan jahitan.

Saya berharap saya telah memberi sedikit pengetahuan dan juga mengekalkan selera makan bagi segelintir dari kalangan pembaca MMG.

Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan:

2 comments for “Pembedahan Leher Bengkak & Bernanah – Dr Ahmad Nordin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box