Pascasiswazah: Antara Kehendak dan Keperluan? – Dr Noraziah Nordin (PhD)

Dalam dunia akademik dan profesional hari ini, melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah menjadi satu topik yang semakin mendapat perhatian. Ada yang melihatnya sebagai kehendak peribadi untuk mencapai kepuasan intelektual dan martabat akademik yang lebih tinggi, sementara yang lain menganggapnya sebagai keperluan strategik untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar. Namun, di antara dua perspektif ini, terdapat realiti yang lebih kompleks dan memerlukan renungan mandalam – adakah pengajian pascasiswazah itu suatu kehendak atau suatu keperluan yang tidak boleh diabaikan?

 Pascasiswazah merujuk kepada pengajian yang lebih tinggi yang diikuti selepas seseorang menamatkan ijazah sarjana muda. Pada tahap ini, terdapat beberapa laluan berbeza yang boleh dipilih mengikut minat dan hala tuju kerjaya. Antaranya ialah Ijazah Sarjana (Master’s Degree) yang dilaksanakan melalui penyelidikan sepenuhnya (by research), kerja kursus (by coursework), atau gabungan kedua-duanya (mixed mode). Seterusnya ialah Doktor Falsafah (PhD) yang memfokuskan kepada penyelidikan mendalam sehingga mampu menyumbang pengetahuan baharu dalam bidang tertentu. Selain itu, terdapat juga Sijil dan Diploma Pascasiswazah yang lebih ringkas dan khusus bagi meningkatkan kepakaran dalam bidang seperti pendidikan, kejuruteraan, pengurusan atau teknologi maklumat. Walaupun setiap laluan ini mempunyai tahap komitmen dan cabarannya tersendiri, semuanya berkongsi matlamat yang sama: mengembangkan ilmu serta membuka ruang lebih luas untuk potensi dan masa depan seseorang.

Kehendak: Impian, Cita-cita dan Aspirasi Diri

Bagi sebahagian individu, keinginan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah berpunca daripada minat mendalam terhadap ilmu dan penyelidikan. Mereka ingin memahami sesuatu bidang dengan lebih mendalam, menyumbang kepada penghasilan pengetahuan baharu, dan menjadi sebahagian daripada komuniti akademik global. Pendidikan pascasiswazah juga dilihat sebagai satu perjalanan rohani dan intelektual. Melaluinya, ketahanan diri, disiplin, dan cara berfikir yang kritikal dapat dibentuk. Ia memberi peluang untuk seseorang menilai semula tujuan hidup, peranan mereka dalam masyarakat, serta impak ilmu terhadap kemanusiaan. Dalam konteks ini, pascasiswazah bukan sekadar tentang ijazah, tetapi tentang pembentukan diri sebagai seorang pemikir.

Islam menekankan bahawa menuntut ilmu bukan semata-mata untuk memperoleh kelayakan akademik, tetapi sebagai ibadah dan jalan menuju kebenaran. Sabda Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” [Riwayat Muslim (4867)]

Ayat ini menggambarkan bahawa pencarian ilmu itu sendiri merupakan satu perjalanan spiritual. Ia bukan semata-mata untuk mendapatkan gelaran “Dr.” atau menaikkan gaji, tetapi satu usaha untuk mengenal diri dan Penciptanya, memahami ciptaan Allah, dan memanfaatkan ilmu demi kemaslahatan ummah. Setiap tesis, eksperimen, dan penemuan membawa makna ibadah jika diniatkan untuk manfaat ummah. Maka, bagi mereka yang melanjutkan pengajian atas dasar kehendak hati dan cinta terhadap ilmu, perjalanan ini menjadi satu bentuk ibadah yang sangat mulia. Ia juga satu bentuk jihad ilmu.

Keperluan: Tuntutan Dunia Kerja dan Masa Hadapan

Namun, dalam dunia profesional yang berasaskan kompetensi dan inovasi, kelayakan pascasiswazah menjadi keperluan kerana dianggap sebagai satu kelebihan. Banyak sektor kini menilai tahap pendidikan tinggi sebagai syarat untuk kenaikan pangkat, peluang penyelidikan, atau pengiktirafan kepakaran. Dalam bidang sains, teknologi, dan kesihatan, misalnya, pemegang ijazah sarjana dan PhD sering menjadi pemacu utama inovasi, pembangunan produk baharu, penyelesai masalah kompleks dan pembentuk dasar masa depan. Selain itu, sistem ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy) menuntut tenaga kerja yang mampu menganalisis, mencipta dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Ijazah pascasiswazah bukan lagi simbol status, tetapi alat kelangsungan kerjaya dan pembangunan profesional diri.

Dalam konteks ini, menyambung pengajian bukan lagi pilihan semata-mata, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial dan profesional. Ia selaras dengan prinsip Islam bahawa setiap insan adalah khalifah di muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan dunia melalui ilmu dan amal. Tuntutan ilmu dalam Islam bukan sekadar memperoleh pengiktirafan akademik atau gelaran formal, tetapi menekankan penguasaan ilmu yang mendalam serta penghayatannya dalam amal dan akhlak. Keimanan dan ilmu tidak dapat dipisahkan, kerana kemuliaan yang dijanjikan bergantung pada gabungan keduanya. Dalam konteks pascasiswazah, ia menjadikan ilmu sebagai satu keperluan yang mencakupi pembinaan kompetensi intelektual, pemurnian etika ilmiah, dan sumbangan terhadap masyarakat. Dengan memahami keperluan ini, pemegang Ijazah pascasiswazah dapat mengorientasikan tujuan pengajian mereka seiring dengan nilai yang digariskan dalam Islam iaitu menjadikan ilmu sebagai jalan mencapai kemuliaan di sisi Allah.

Cabaran dan Realiti

Walau bagaimanapun, perjalanan pascasiswazah bukan tanpa cabaran. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga, kewangan, dan emosi. Ramai pelajar terpaksa menyeimbangkan antara kerjaya, keluarga, dan penyelidikan. Tambahan pula, tidak semua institusi atau penyelia menyediakan ekosistem penyelidikan yang menyokong, dan tekanan untuk menerbitkan dalam jurnal berimpak tinggi boleh menjejaskan motivasi jika tidak ditangani dengan baik. Di sinilah pentingnya niat dan perancangan. Mereka yang memilih untuk menyambung pengajian hanya kerana trend atau desakan luaran mungkin mudah berputus asa apabila berdepan halangan. Niat yang bersandarkan kepada Allah akan menjadi sumber kekuatan apabila keletihan dan cabaran datang menguji. Ilmu yang dikejar semata-mata untuk nama atau pangkat tidak akan membawa ketenangan, manakala ilmu yang dicari dengan adab dan niat yang benar akan membawa keberkatan dan manfaat kepada orang lain.

Menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) melalui kajian pengesanan graduan 2020, graduan pascasiswazah menunjukkan kadar kebolehpasaran seperti berikut: graduan sarjana mencatatkan kadar 90.5 % dan graduan PhD mencatatkan 89.8 % sama ada di sektor awam, industri, mahupun institusi penyelidikan. Majikan kini lebih menilai kemampuan analitikal, kemahiran penyelidikan, dan kecekapan menyelesaikan masalah yang diasah semasa pengajian pascasiswazah. Justeru, ijazah lanjutan bukan lagi pilihan mewah, tetapi pelaburan jangka panjang. Akhir sekali, sama ada pengajian pascasiswazah itu kehendak atau keperluan, yang penting ialah bagaimana ilmu itu dimanfaatkan. Islam tidak menolak cita-cita duniawi, tetapi mengajarkan keseimbangan antara kejayaan akademik dan tanggungjawab spiritual. Pemegang ijazah pascasiswazah seharusnya melihat diri mereka sebagai duta ilmu yang bukan sahaja bijak untuk ilmu didunia, tetapi juga rendah hati dalam menyebarkan manfaat kepada masyarakat. Apabila ilmu dan iman disatukan, maka lahirlah ilmuwan yang bukan sekadar berfikir, tetapi berhikmah dan berakhlak.

Rujukan

[1] Kementerian Pengajian Tinggi. Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2020. Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 2024. Halaman 60-62.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box