Berapa banyak gelas air perlu diminum untuk keperluan asas puasa Ramadhan – Dr Shaiful Ehsan

Keperluan air seharian merujuk kepada jumlah air yang diperlukan untuk mengekalkan hidrasi badan yang mencukupi, keseimbangan garam dan elektrolit dalam darah serta fungsi fisiologi badan dalam keadaan stabil. Air sangat diperlukan untuk menggantikan: kehilangan yang tidak nyata melalui kulit dan paru-paru ( iaitu 500–800 mL setiap hari bagi orang dewasa), kehilangan melalui air kencing sekitar minima 500 mL sehari, kehilangan melalui najis sebanyak 100–200 mL sehari serta keperluan metabolisma badan terutamanya semasa berpuasa.

Secara umum, anggaran keperluan air seharian bergantung kepada berat badan dan keadaan kesihatan seseorang. Orang dewasa biasanya memerlukan 25–30 mL per kg setiap hari, iaitu kira-kira 1.5–2.5 L sehari. Kaedah alternatif yang lebih ringkas adalah seperti berikut:

100 mL/kg untuk 10 kg pertama,

50 mL/kg untuk 10 kg seterusnya, dan

20 mL/kg untuk baki berat badan.

Sebagai contoh, jika berat badan seorang dewasa ialah 60 kg, keperluan air adalah = (100 × 10) + (50 × 10) + (20 × 40) = 2.3 L sehari.

Walau bagaimanapun, keperluan air minuman perlu disesuaikan berdasarkan suhu badan, kehilangan cecair akibat cirit-birit atau muntah, penyakit tidak berjangkit seperti kegagalan buah pinggang, jantung atau hati, serta keadaan perubatan tertentu seperti selepas pembedahan. Bagi orang dewasa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, keperluan fisiologi air seharian tidak berubah, hanya masa pengambilannya sahaja yang berubah.

Oleh itu, berikut ialah jadual pengambilan air yang dicadangkan untuk memastikan keperluan harian dipenuhi sepenuhnya:

MasaJumlahPerincian
Iftar 2 gelas (500 mL) 1 gelas selepas azan1 gelas selepas makan kurma atau makanan ringan 
Selepas iftar (semasa/selepas makan utama)2 gelas (500 mL)1 gelas semasa makan1 gelas 30–60 minit selepas makan
Lewat malam / sebelum tidur2 gelas (500 mL)1 gelas pada waktu malam (contohnya selepas solat Tarawih)1 gelas sebelum tidur
Sahur 2–3 gelas (500–750 mL)1 gelas selepas bangun tidur1 gelas semasa makan1 gelas sebelum imsak
Total8–9 gelas (2.0–2.25 L) 

Selain di atas, terdapat beberapa tip tambahan yang boleh diikuti. Pilihlah air minuman yang sesuai seperti air kosong, susu segar dan sup jernih. Hadkan pengambilan teh, kopi, minuman bergula dan minuman berkarbonat. Pengekalan hidrasi juga boleh dibantu melalui makanan dengan menggalakkan pengambilan buah-buahan (terutamanya tembikai, oren dan betik), melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan makanan bersup. Elakkan pengambilan makanan terlalu masin (ikan masin, jeruk), makanan terlalu pedas, dan makanan bergoreng secara berlebihan.

Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Shaiful Ehsan Shalihin seorang Pakar Perubatan Keluarga di Kulliyyah of Medicine, International Islamic University Malaysia.

Rujukan:

  • Li S, Teng Z, Liu J, et al. Hydration Status in Older Adults: Current Knowledge and Future Directions. Nutrients. 2023;15(11):2609.
  • McNeil-Masuka J. Insensible Fluid Loss. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023. 
  • Hakam N, Guzman Fuentes JL, Nabavizadeh B, et al. Outcomes in Randomized Clinical Trials Testing Changes in Daily Water Intake: A Systematic Review. JAMA Netw Open. 2024;7(11):e2447621.
  • Sunardi D, Chandra DN, Medise BE, et al. Assessment of water consumption during Ramadan intermittent fasting: Result from Indonesian cross-sectional study. Front Nutr. 2022;9:922544. 
  • National Institute for Health and Care Excellence (NICE) Guideline for Maintenance Fluid Therapy in Adults. Clin Nutr ESPEN. 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box