Cagu : Masalah Kecil Yang Menyebabkan Kesakitan Besar – Dr Ahmad Mahyuddin

ingrown-toenail-surgery-stage1Baru-baru ini seorang gadis berusia datang ke klinik saya dan mengadu kesakitan pada ibu jari kaki kanan beliau. Ibu jari kaki kanan beliau kemerahan pada kedua sisi, membengkak dan berbau busuk. Kuku jari tersebut pula hampir tidak kelihatan akibat kebengkakan tisu yang berlaku.

“Sebenarnya doktor, ini sudah kali kedua ia terjadi. Sebelum ni, lepas doktor cabut kuku tu, ia baik la sekejap. Bila kuku tu panjang, cagu tu jadi balik”. Getus beliau, kecewa.

Anda pernah mengalami masalah ini?

Apa itu Cagu

Cagu atau di sesetengah tempat dikenali sebagai cengkam adalah keadaan di mana kuku jari menumbuh ke sisi dan menekan tisu di bahagian tepi jari. Sebagai tindakbalas, tisu di sisi kuku mengalami keradangan dan menjadi tebal. Ia paling kerap berlaku pada ibu jari kaki. Kerap kali pula ia dijangkiti kuman dan mengeluarkan nanah.

Ia menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat. Ia juga mengakibatkan gangguan emosi terhadap pesakit akibat bau yang kurang menyenangkan dan pesakit tidak boleh memakai kasut akibat kesakitan.

screen-shot-2016-11-07-at-10-04-58-amKenapa ia terjadi?

Cagu terjadi akibat cara memotong kuku yang tidak betul. Ia menyebabkan kuku tumbuh secara tidak betul dan mula menekan tisu di bahagian tepi kuku. Ia juga boleh disebabkan oleh pemilihan kasut yang terlalu ketat atau berbentuk tirus sehingga mengakibatkan tekanan pada tisu di bahagian sisi kuku. Tekanan berpanjangan pada tisu akan menyebabkan keradangan berlaku.

Keadaan lebih teruk apabila berlaku jangkitan kuman pada kuku yang terlibat. Ini mengakibatkan ia mengeluarkan nanah dan berbau busuk.

Rawatan

  1. Mencuci dan merendam kuku terlibat dengan air suam setiap hari. Kemudiannya gauze bersih dilapik pada hujung kuku di tempat cagu berlaku. Krim antibiotik disapu jika terdapat jangkitan kuman. Ini akan memberi masa bagi kuku bahagian cagu untuk tumbuh melepasi tisu yang mengalami radang.
  2. Antibiotik akan diberikan sekiranya terdapat bukti jangkitan kuman berlaku. Ia termasuk keadaan jangkitan kulit (Cellulitis) dan nanah. Pembedahan biasanya tidak akan dilakukan sehinggalah jangkitan kuman telah sembuh.
  1. Ubat anti-radang berfungsi bagi mengurangkan kesakitan akibat keradangan yang berlaku. Contoh ubat anti-radang adalah seperti mefenemic acid (Ponstan), diclofenac (Voltaren) dan celecoxib (Celebrex).
  1. Pemilihan kasut yang sesuai bagi mengurangkan tekanan pada bahagian cagu dapat membantu mengurangkan kesakitan
  1. Mengurangkan aktiviti berjalan kaki, berlari dan bersukan semasa kondisi ini berlaku bagi mengawal kesakitan dan keradangan yang berlaku.
  1. Pembedahan hanya akan dilakukan jika:
  • Rawatan tanpa pembedahan tidak berjaya
  • Cagu berlaku berulangkali
  • Cagu menyebabkan jangkitan kuman berlaku. Pembedahan hanya akan dilakukan setelah jangkitan kuman tersebut sembuh

Terdapat 2 jenis pembedahan yang biasa dilakukan.

  1. Nail avulsion
  2. Zadek Procedure

Nail avulsion (Pembuangan kuku)

Nail avulsion ialah prosedur dimana kuku pesakit yang mengalami cengkam itu dibuang secara keseluruhannya.

Zadek Procedure (Prosedur Zadek)

Prosedur Zadek ialah sejenis prosedur dimana hanya sebahagian daripada kuku pesakit dibuang iaitu di sebelah yang mengalami cengkam. Bahagian pangkal kuku iaitu bahagian yang dikenali sebagai nail fold dan germinal matrix dibersihkan dengan menggunakan currete, diarthermy atau phenol bagi memusnahkan sel-sel precursor kuku dengan harapan kuku tidak lagi tumbuh di bahagian sisi. Ini akan dapat mengelakkan daripada cengkam daripada berulang.

Bagaimana mengelakkan ia dari terjadi?

Apa yang paling penting ialah kita mengetahui cara-cara memotong kuku dengan betul. Hujung kuku kaki perlu dipotong secara lurus mulai daripada sisi kuku. Elakkan daripada memotong kuku secara menyerong pada bucu kuku kerana ini boleh menyebabkan cagu berlaku.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  • Pediatric Orthopaedic Secret, 3rd Lynn T. Staheli, Kit M. Song, page 285-6

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box