Waswas: Jangan Terbabas – Dr Ahmad Nabil Md Rosli

Salim merupakan seorang pelajar yang rajin dan pintar. Namun akhir-akhir ini ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Kalau dahulu beliau orang yang pertama yang tercegat depan pintu kelas di awal pagi, kini Salim kerap lewat, hatta kadang kala tidak hadir ke kuliah. Rakan-rakan juga perasan akan beberapa perubahan ketara pada perangainya. Kalau masuk ke bilik air, hampir satu jam tak keluar-keluar, bersuci katanya. Bila di surau pun sama, Imam sudah rakaat kedua, Salim baru habis wuduknya. Ramai yang menggeleng kepala melihat gelagat Salim namun tiada pula yang bertanya akan isi hati serta perilakunya. Sehinggalah suatu hari beliau didekati seorang Imam selepas solat. Imam Ali mula bertanya tentang tingkah laku Salim.

“Awak ada apa-apa masalah ke yang boleh saya bantu?”

“Saya waswas Imam, ada ganguan Iblis ketika wuduk”,

“Rasa macam tak sempurna sahaja wuduk tadi..”

“Setiap kali basuh muka, ada sahaja lintasan di hati, macam tak sempurna basuhannya…”

“Kalau tak buat betul-betul, nanti solat tidak sah…saya tak mahu masuk neraka Imam”

Imam Ali, yang pernah berkhidmat sebagai seorang ‘chaplain’ Muslim di sebuah hospital di Eropah sudah biasa dengan keadaan pesakit begini. Berbekalkan sedikit ilmu agama dan psikologi, beliau mendengar keluhan Salim sebelum mengajarnya tentang tatacara wuduk yang sebenar, perkara-perkara berkaitan keyakinan dan keraguan dalam Islam, serta rawatan terbaik untuk masalah yang Salim hadapi. Katanya, masalah waswas ini boleh ditangani dengan cara melawan kehendak waswas tersebut. Iblis ingin menghilangkan tumpuan manusia pada ibadah, lalu dimasukkan keraguan yang tidak munasabah dalam hati. Tambahnya lagi, “maka kalau diturutkan waswas, kamu bukan lebih dekat dengan Tuhan, waswas bahkan jadi babas…”

 

Sumber gambar: Tazkirah.net

Kisah di atas bukanlah sesuatu yang janggal bagi rata-rata rakyat Malaysia, terutama sekali yang beragama Islam. Secara umumnya, waswas dengan maksud ragu-ragu, boleh berlaku pada sesiapa sahaja dan itu adalah sesuatu yang biasa. Namun apabila waswas mengganggu fungsi seseorang itu; pembelajaran, pekerjaan, dan hubungan sosial, ianya bolehlah diklasifikasikan sebagai satu kecelaruan (disorder) yang memerlukan rawatan. Nama lain bagi waswas jenis kedua ini ialah kecelaruan obsesif dan kompulsif (obsessive and compulsive disorder). Ianya boleh hadir dalam perbagai bentuk dengan tema-tema yang berbeza seperti: kekotoran, simetri, keganasan dan agama. Kebiasaanya, perkataan waswas dikaitkan dengan jenis tema yang terakhir. Seseorang yang menghidapi kecelaruan ini, akan mengalami fikiran, imej, keraguan yang berulang-ulang di dalam mindanya (obsesif). Lalu pesakit terdorong untuk meneutralkan fikiran atau imej ini dengan melakukan ritual tertentu (kompulsif). Sekiranya gagal, pesakit akan berasa cemas dan susah hati.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi kewujudan dan bentuk waswas dalam diri pesakit. Contohnya, seorang remaja pada umur akil baligh boleh sahaja mempamerkan gejala waswas. Pada umur ini, remaja sedang menyesuaikan diri, berubah dari fasa kanak-kanak ke fasa remaja yang mana soal tanggungjawab dan disiplin itu sering diutamakan. Sekiranya ianya berlaku pada umur ini, tunjuk ajar serta dorongan yang positif dari ibu-bapa dan guru-guru boleh membantu mereka untuk mengatasi gejala waswas. Namun, sekiranya ia berterusan, rawatan lanjut ke pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal haruslah dibuat dengan segera bagi mengelakkan komplikasi lain seperti kemurungan (major depressive disorder).

Pada sisi lain, faktor kognitif juga memainkan peranan yang penting. Seseorang yang mengalami waswas, sering memberikan makna yang negatif pada fikiran atau gambaran yang hadir dalam minda mereka. Sebagai contoh, seorang pesakit, percaya bahawa dia telah berzina dengan wanita yang berjalan di hadapannya, kerana telah terlintas di mindanya gambar wanita itu mengenakan pakaian yang menjolok mata. Lalu dia berasa bersalah dan terpanggil (secara kompulsif) untuk mandi wajib dek kerana kepercayaannya itu. Di sini faktor makna negatif (telah berzina), jelas sekali memainkan peranan yang penting dalam membentuk gejala penyakit. Ini mungkin disebabkan oleh faktor pembesaran dan pendidikan semasa fasa perkembangan pesakit pada masa lampau.

Sebaiknya, pesakit yang mengalami gejala ini secara berterusan, perlulah mendapatkan penilaian serta rawatan dari pakar. Antara rawatan yang efektif bagi mengatasi penyakit ini adalah terapi dedah dan tahan (exposure and response prevention), di mana pesakit diminta untuk tidak melakukan ritual waswasnya buat tempoh masa tertentu (contoh 20 min). Pada masa ini, pesakit diajar untuk bertenang dengan menggunakan teknik relaksasi seperti teknik pernafasan dalam (deep breathing exercise) atau apa jua teknik yang mampu menenangkan pesakit. Setelah tempoh ini tamat, barulah pesakit boleh melakukan ritualnya. Rutin ini akan diulangi secara berkala dan akhirnya pesakit akan terbiasa dengan tidak melalukan ritual atau waswasnya.

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh rakan-rakan atau ahli keluarga pesakit adalah:

  1. Memberi sokongan emosi pada pesakit. Seringkali pesakit merasakan tiada siapa yang memahami penderitaan yang dialaminya. Maka dengar, faham, empati, kemudian baru nasihat.
  2. Pendidikan tentang soal agama. Ini boleh dilakukan dengan bantuan guru agama. Perbincangan menjurus kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan gejala waswas. Guru agama serta keluarga dinasihatkan supaya tidak memberikan penenteraman palsu (false reassurance) dengan melayan setiap persoalan yang diajukan pesakit. Pesakit waswas sering bertanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali demi untuk mengurangkan rasa cemas yang dialami. Contoh: pesakit bertanya “Sah tidak wuduk kalau saya buat sekian…sekian…?” Sekiranya soalan ini ditanya berulang kali, percayalah, itu sebahagian daripada waswas. Guru agama dan keluarga hanya dibenarkan untuk menjawab persoalan-persoalan baru.
  3. Dan yang terakhir, atas tunjuk ajar nasihat pakar, terapi dedah dan tahan juga boleh dilakukan dirumah. Sekiranya pesakit mempunyai latar agama yang baik, nilai-nilai murni Islam seperti sabar, tawakkal, taubat dan khusyuk boleh lah diterapkan dengan cara yang lembut dan berhikmah.

Bacaan lanjut:

  1. Joseph W. Ciarrocchi. 1995. The doubting disease: help for scrupulosity and religious compulsions. New York: Paulist Press
  1. Said Nursi. 2005. The Words: the reconstruction of Islamic belief and thought (bahagian Second Station of the Twenty-First Word). Terjemahan. H Akarsu. New Jersey: Tughra Books (dari Bahasa Turki)

Penulis, Dr Ahmad Nabil b Md Rosli, merupakan pensyarah dan pakar psikiatri, di Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan Pahang.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box