Warfarin : Pantang yang Bukan Sia-sia – Norvena Hisyam

Bila makan ubat ni pakcik kena jaga pemakanan ya. Kalau nak makan sayur-sayuran hijau kena tahu banyak mana boleh makan.. Saya ajar pakcik yang mana yang pakcik boleh selalu makan, yang mana yang pakcik kena kurangkan ok.. “

“Makcik, INR[1] tinggi ni.. ada apa-apa jenis makanan yang lain dari diet sebelum ni tak? Makcik ada ambil jamu atau ubat-ubat lain?”

“Uncle, luka minggu lepas masih berdarah ke? Uncle ada datang ambil darah tak?”

“Cik, kalau jumpa doktor gigi nanti jangan lupa bawa buku warfarin ni ye. Jangan lupa beritahu doktor gigi cik ada makan ubat warfarin ni..”

Warfarin-and-phentermine-interactionsDialog-dialog biasa yang kami ucapkan setiap kali berdepan dengan pesakit yang mengikuti MTAC[1] Warfarin. Pesakit yang datang dengan latar belakang penyakit yang berbeza tetapi menerima ubat yang sama iaitu warfarin. Ia sejenis antikoagulan yang berfungsi untuk menghentikan pembentukan bahan yang menyebabkan darah beku serta mencegah berlakunya trombosis[2] dan embolism[3]. Warfarin mempunyai banyak interaksi dengan ubat-ubatan, minuman dan makanan terutamanya sayur-sayuran. Ini menyebabkan banyak pantang larang yang perlu dipatuhi oleh pesakit. Ia meresahkan dan kadang-kala ada pesakit yang bertindak berani dengan tidak mengendahkan pantang-larang ini.

Warfarin digunakan untuk menghalang pembentukan darah beku dan menghalang darah beku sedia ada daripada menjadi semakin besar. Ia dipreskripsikan oleh pegawai perubatan untuk pesakit yang mempunyai masalah atau risiko berlakunya pembekuan darah tidak normal. Antara indikasi warfarin ialah :

  1. Atrial Fibrillation – degupan jantung tidak teratur
  2. Heart valve replacement – gentian injap jantung
  3. Deep vein thrombosis – darah beku di kaki
  4. Pulmonary embolism – darah beku di paru-paru

Setiap indikasi di atas mempunyai julat selamat INR yang berbeza.

MEMAHAMI INR DAN FUNGSINYA

INR yang dipantau sangat berkait rapat dengan diet dan ubat-ubatan lain yang diambil bersama warfarin. Pesakit perlu menjalani ujian darah bagi mengetahui bacaan INR. Nombor INR yang lebih tinggi menunjukkan masa yang lebih lama diperlukan untuk darah membeku. Ia menyebabkan risiko berdarah lebih tinggi kepada pesakit. Manakala nombor INR yang rendah membawa maksud sebaliknya. Cabaran kepada pesakit warfarin diakui kerana sekiranya INR yang dipantau melebihi julat selamat, pesakit perlu hadir dalam tempoh seminggu atau dua minggu untuk pemantauan lanjut melalui ujian darah. Ia melibatkan kos perjalanan ulang-alik ke fasiliti kesihatan dan juga masa yang diambil oleh ahli keluarga pesakit yang menemani ke hospital. Bagi pesakit yang didapati ujian INR nya terlampau tinggi, pesakit akan dimasukkan ke hospital dengan segera.

BUKU RAWATAN ANTIKOAGULASI (WARFARIN) SEBAGAI PANDUAN

Pesakit yang dipreskripsi dengan warfarin akan diberikan kaunseling lengkap sebelum dibenarkan pulang. Buku antikoagulan turut dibekalkan sebagai panduan pesakit dan keluarga sepanjang tempoh rawatan. Ia bukanlah untuk menyukarkan hidup pesakit tetapi bagi memberikan pengetahuan kepada pesakit bahawa pengambilan ubat ini tidak boleh diambil ringan. Risiko terbesar iaitu strok dan kematian adalah tinggi sekiranya pematuhan ubat ini tidak diikuti.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) telah mengeluarkan panduan lengkap kepada pesakit iaitu Buku Rawatan Antikoagulasi (Warfarin). Ia bertujuan bagi membantu pesakit memahami keperluan dalam memastikan dos warfarin berada dalam julat selamat.

Salinan buku panduan dengan saiz poket ini boleh dimuat turun melalui laman web rasmi BPF : http://www.pharmacy.gov.my

Oleh yang demikian, amat penting bagi pesakit untuk memahami fungsi ubat ini dan mengikuti panduan pemakanan yang diberikan oleh anggota kesihatan. Elakkan pengambilan produk kesihatan sewenang-wenangnya tanpa pengawasan pegawai perubatan atau pegawai farmasi kerana kosnya ialah nyawa pesakit itu sendiri.

Norvena merupakan seorang Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Melaka.

Rujukan:

http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/buku-warfarin-bahasa-malaysia-2nd-edition-2014-2_0.pdf

[1] MTAC : Medical Therapy Adherence Clinic

[2] Trombosis – embekuan darah di dlm jantung atau pembuluh darah sehingga boleh menyebabkan kematian.

[3] Embolism

[1] INR : International Normalized Ratio

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box