Wabak? Gunalah Akal Fikiran – Dr Helmy Hazmi

Health specialists prepare for work in an isolation ward for patients at the Doctors Without Borders facility in GuÈkedou, southern Guinea. Guinea's President Alpha Conde warned of a "health emergency" as authorities raced to contain a spiraling Ebola epidemic which has killed 78 people and prompted neighboring Senegal to close its border. AFP PHOTO / SEYLLOUSEYLLOU/AFP/Getty Images

Kita telah melalui beberapa siri wabak penyakit di Malaysia. Antaranya SARS, virus Nipah, Japanese encephalitis, dan H1N1.

Kesan daripada wabak-wabak tersebut sangat dahsyat. Bapa kehilangan anak, anak kehilangan ibu, dan unit asas keluarga terjejas. Pekerja kesihatan juga tidak terlepas kerana perlu meninggalkan keluarga demi menjaga pesakit di pusat kuarantin. Teruk. Tetapi tidak perlu terjadi begitu dengan bantuan anda. Dengan sedikit pengetahuan dan akal fikiran, anda boleh mengharungi laut bergelora dengan hanya sedikit gegaran pada kapal.

Terdapat beberapa perkara yang wajar difikirkan apabila menghadapi musim wabak penyakit.

PERATURAN 1: PANIK? SIAPA PANIK?

Apabila sedang panik, anda tidak berfikir dengan baik. Process pemikiran meracau dan logik tidak dapat dibezakan daripada yang tidak logik.

Bayangkan sekiranya juruterbang panik ketika pendaratan kecemasan. Dengan pelbagai butang kawalan berkelipan di papan pemuka kokpit, panik tidak akan membantu. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya untuk berfikiran tenang dalam membuat keputusan yang betul, iaitu mendaratkan kapal dengan lebih lancar.

Jangan terpengaruh dengan cerita filem. Tema wabak cerita filem biasanya sangat grafik dan melampau.

Ketika berlakunya wabak, anda akan dihujani maklumat yang banyak. Ramai akan ingin menolong dan berkongsi pengalaman serta apa yang telah membantu mereka. Anda mungkin berasa lemas dan menekan butang panik. Menekan butang ‘share’ pula menucuch dan merebakkan api panik.

Oleh itu, menghentikan panik bermula dengan anda.

PERATURAN 2: DAPATKAN SUMBER MAKLUMAT YANG TEPAT

Pihak berkuasa kesihatan tempatan bertanggungjawab memberikan maklumat sahih terkini bagi membantu mengawal panik. Dalam senario tempatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia serta pihak berkuasa kesihatan negara-negara jiran dalam menangani wabak berskala antarabangsa. Negara-negara di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia bertanggungjawab berkongsi maklumat yang sah dan tepat bersama negara-negara lain. Semua ini dilakukan atas nama membantu umat manusia.

Sesetengah pihak akan cuba mengambil kesempatan ketika situasi tersebut. Misalnya, para penjual membuat dakwaan sensasi tentang produk mereka. Sekiranya penjual-penjual ini sangat pasti bahawa produk mereka menyelamatkan nyawa, sepatutnya terdapat bukti dalam bentuk data dan hasil saintifik – bukan testimoni. Penawar yang terbukti seharusnya dikongsikan secara antarabangsa.

Atau mungkin ianya berkesan, saya tidak patut menghentikan keseronokan dengan menolak kesan placebo.

PERATURAN 3 : PASTIKAN VAKSINASI ANDA DIKEMASKINI

Vaksinasi paling penting dalam mengelak penyakit. Lebih kemas kini jadual pemvaksinan anda, situasi anda lebih baik, terutama sekali sekiranya wabak tersebut boleh dicegah dengan vaksin.

Peka kepada maklumat terkini daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan tentang ketersediaan vaksin terbaru untuk wabak yang sedang berlangsung.

PERATURAN 4: IKUTI ARAHAN PIHAK BERKUASA

Kementerian kesihatan mempunyai tinjauan umum situasi yang dihadapi. Mereka mempunyai akses kepada pakar-pakar terbaik negara dan antarabangsa untuk mengawal wabak tersebut.

Dengan itu, apabila anda diberitahu untuk tidak membawa anak-anak ke taman permainan, sila akur dan tinggal dirumah! Jika diberitahu untuk mencuci tangan, amalkannya!

Sekiranya anda terdedah kepada kes dalam kapal terbang dan diminta menguarantinkan diri di rumah, sila ambil serius. Lagipun, ini adalah rehat dari kesibukan kehidupan yang sangat diperlukan.

PERATURAN 5: ELAKKAN KE KAWASAN WABAK

Perkara ini sering dingkari ramai. Sama ada mereka tidak mendengar berita atau jahil.

Manfaat melakukan sedemikian adalah anda tidak terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit dan tidak menyebarkan apa-apa kuman dari kawasan wabak. Anda mungkin berasa baik selepas kembali dari lokasi tersebut, tetapi sesetengah kuman mempunyai tempoh inkubasi yang lama. Ini sebab mengapa sesetengah penyakit menunjukkan simptom beberapa minggu selepas terdedah pada kuman tersebut.

PERATURAN 6: HADKAN SENTUHAN WALAUPUN ANDA SIHAT, TERUTAMA SEKALI WARGA TUA, KANAK-KANAK, DAN IBU-IBU HAMIL

Pernahkah terfikir mengapa kebanyakan iklan TV disasarkan kepada kanak-kanak, warga tua, dan ibu-ibu hamil? Mereka dalam golongan berisiko.

Sistem imun mereka kurang kuat dan tidak cukup kukuh untuk mengatasi pelbagai jenis kuman. Simptom akan menjadi lebih teruk sekiranya berlaku jangkitan. Oleh demikian, jika anda tinggal bersama mereka, hadkan sentuhan fizikal di luar sekiranya anda tinggal dalam kawasan wabak. Perlu berkomunikasi? Lakukannya online!

PERATURAN 7: KEBERSIHAN

Kebersihan ialah asas kepada gaya hidup sihat. Jika anda seorang yang pembersih, tiada peluang untuk agen penyakit (kuman, tikus, nyamuk, lipas) untuk bertahan dan membiak.

Mandi dengan baik, cuci tangan selalu, tutup hidung apabila bersin, bersihkan rumah, apa-apa yang anda lakukan pastikan persekitaran rumah bersih dan dijaga dengan baik untuk menyukarkan kuman berkembang. Anda berhak untuk rumah yang sihat. Siapa yang berbangga untuk memandu Ferrari yang berlumpur?

Kebersihan berkait rapat dengan kesihatan. Kebersihan tidak seharusnya terbatas kepada rumah sahaja. Longkang tersumbat, tong sampah berlimpahan, kayu-kayu mati di hadapan rumah dibawah tanggungjawab anda, bukan majlis perbandaran.

PERATURAN 8: LAPORKAN KEPADA PIHAK BERKUASA KESIHATAN TEMPATAN SEKIRANYA ANDA MENGESYAKI SEBARANG SIMPTOM

Bantu diri anda dan orang lain dengan “menyerahkan” diri kepada pihak berkuasa kesihatan sekiranya anda menunjukkan sebarang simptom yang berkait kepada wabak di kawasan anda. Pertama, anda akan mendapat rawatan awal dan lebih awal rawatan diberi, lebih tinggi peluang untuk sembuh. Jangan laporkan diri kepada bomoh atau sinseh kerana mereka tidak akan tahu tentang penyakit tersebut selain daripada namanya.

Kedua, anda menyelamatkan ramai orang lain daripada menjadi “down-line”. Mereka yang terdedah kepada anda akan diawasi atau diberi rawatan pencegahan. Orang ramai akan berterima kasih kerana menyelamatkan nyawa mereka apabila anda mendapatkan rawatan awal.

Pihak berkuasa kesihatan memandang serius kejadian wabak dan anda juga perlu demikian. Jika anda sedang berfikir apa yang boleh dilakukan untuk negara, perkara-perkara ini antara langkah permulaan mudah yang boleh dilaksanakan. Harus diingati, anda memainkan peranan dalam kejadian wabak.

Dr. Helmy Hazmi seorang pakar perubatan dan mengkhusus dalam bidang Epidemiologi dan Biostatistik. Kini bertugas di bandar halaman beliau, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Ketahui lebih lanjut di laman The Team. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/outbreak-its-just-common-sense-really-dr-helmy-hazmi/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box