Usaha Jurupulih Cara Kerja Demi Pesakit Mental – Nurhafida Mohd Daud

Amy Bucciarelli, MS ATR-BC, LMHC, Board Certified Art Therapist, helped Frank "Dylan" Dinkins make a painting for his parents. Bucciarelli works with pedatrics patients at UF Health Shands Children's Hospital.

Siapa kami? Apa usaha kami?

Pesakit mental juga mampu untuk kembali bersama komuniti seperti pesakit lain. Cuma sokongan yang diperlukan adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan pesakit lain. Setiap hari kami akan berusaha mempersiapkan pesakit-pesakit agar mereka dapat kembali menikmati kehidupan seperti pesakit lain walaupun tidak sepenuhnya. Oleh kerana itu semua pihak hendaklah sama-sama berganding bahu bersama kami dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan pesakit mental.

Apa yang kami lakukan?

Work habit. Adakah kalian pernah mendengarnya? Kami pasti ada sesetengah daripada kalian pernah manakala ada juga yang tidak pernah mendengarnya. Work habit adalah nilai-nilai positif yang perlu ada dalam diri seseorang pekerja untuk menjadikan beliau seorang pekerja yang baik. Setelah pesakit mental mampu berdikari dalam pengurusan diri, pengurusan dan pengambilan ubat-ubatan serta pengurusan masa, kami akan mula melatih dan menerapkan semua nilai-nilai ini kepada semua pesakit kami agar mereka dapat kembali ke alam pekerjaan.

Nilai pertama yang kami akan terapkan adalah ketepatan masa di mana pesakit akan dilatih untuk mengikut masa bekerja seperti pekerja lain. Pelbagai cara yang akan kami gunakan semasa proses penerapan ini dijalankan. Antaranya penggunaan kad ketik (punch card) dan jadual bekerja yang telah disediakan. Semua pesakit yang telah dipilih untuk mengikuti latihan ini akan dibekalkan serta dimestikan untuk mengikut jadual yang telah disediakan. Penilaian akan dilakukan pada setiap hujung bulan sebelum token diberikan. Token adalah insentif ataupun perkataan mudahnya adalah gaji untuk pesakit yang terlibat.

octSelain itu, kami juga akan melatih pesakit untuk bekerja secara berkumpulan kerana seperti yang semua sedia maklum kebanyakan pekerjaan diluar sana memerlukan kerjasama dan kesepakatan antara semua pekerja bagi menyiapkan tugasan yang diberikan. Terdapat banyak latihan yang diberikan kepada pesakit samada dari segi aktiviti, permainan dan kerja yang memerlukan mereka bekerjasama dalam menyiapkannya. Sudah pastinya demonstrasi akan kami tunjukkan kepada semua tugasan yang kami berikan agar pemahaman dan penerimaan arahan menjadi lebih berkesan. Latihan ini akan dijalankan secara berulang-ulang agar hasilnya menjadi lebih baik dan terbaik. Antara contoh tugasan yang kami sediakan adalah penyediaan makanan dan penghasilan barangan kraf yang mana hasil penjualan akan diberikan semula kepada pesakit tersebut.

Produktiviti pula menjadi keutamaan kami. Semua hasil kerja dan tugasan yang kami berikan akan kami nilai supaya semua kelemahan dan kesilapan yang pesakit kami lakukan dapat diperbaiki dari masa ke masa dalam usaha memajukan dan memantapkan kemahiran yang mereka ada itu. Tidak kiralah dari segi kekemasan, kebersihan serta ketepatan hasilnya. Kami pengkritik utama pesakit kami. Pemantauan sentiasa akan kami lakukan sebagai bukti kesungguhan kami melatih mereka. Bebelan manja pastinya akan kami selitkan demi memperbetulkan apa yang kurang.

Inisiatif. Nilai seterusnya yang akan kami terapkan bersama semua nilai-nilai di atas. Pekerja yang mempunyai nilai inisiatif yang tinggi akan menjadi pekerja yang ringan tulang dan berdikari di masa hadapan. Ini kerana mereka dengan sendirinya akan memulakan sesuatu pekerjaan tanpa perlu diarahkan mahupun di minta. Pekerja – pekerja yang ringan tulang akan disenangi oleh rakan-rakan yang lain. Inisiatif tidak berdiri dengan sendirinya tetapi akan diiringi dengan keyakinan diri yang tinggi dalam diri kita. Tanpa keyakinan diri kita takkan mampu melakukannya. Bukan senang untuk seorang pesakit mental bangun dari kejatuhan dan membina keyakinan diri seperti sebelumnya. Galakan dan sokongan dari kami dan orang disekeliling amatlah penting untuk mereka. Kami juga akan menggalakkan pesakit untuk bercakap dan membuat pembentangan dihadapan rakan mereka serta mengetuai mahupun mengelola sesuatu aktiviti bagi membina semula keyakinan diri. Marilah bersama-sama menyokong dan membantu mereka kearah masa depan yang lebih baik.

Banyak lagi usaha yang kami jalankan bersama-sama mereka semasa tempoh latihan diberikan. Semua usaha adalah bersandarkan harapan agar mereka dapat kembali bekerja. Marilah bersama-sama membuang semua stigma dan mentaliti yang telah lapuk dan tidak berasas. Sesungguhnya pesakit mental juga berhak diberikan peluang untuk kembali bersama dengan masyarakat diluar sana. Bersempena bulan kesedaran Mental Awareness ini marilah bersama-sama kita membantu mereka.

Sebelum mengundurkan diri kami pasti pembaca tertanya- tanya akan siapakah gerangan KAMI yang sedang diceritakan mahupun menceritakan ini kan? Kamilah jurupulih cara kerja (occupational therapist). Tapi gelaran popular yang sering kami dapat adalah cikgu. Nak tahu kenapa? Sebab kami selalu mengajar dan mendidik pesakit kami ke arah menjadi pekerja yang baik serta kembali ke pangkuan masyarakat di luar sana. Kerjaya kami tidaklah terkenal seperti kerjaya – kerjaya lain tapi kami tetap akan berusaha untuk membantu apa yang kami mampu. Kami menggunakan permainan dan aktiviti sebagai medium perantara atau rawatan kepada para pesakit kami. Walaupun kadang-kadang rawatan kami seakan mudah dan keanakan tapi setiap satunya terselit seribu manfaat dan kebaikan kepada pesakit kami. Jangan terus menilai tanpa mengetahui nya sepertimana pepatah Melayu ada mengatakan  “tak kenal maka tak cinta”. Sekian sahaja tinta yang mampu kami coretkan sebagai pemberitahuan dan pengenalan kepada SIAPA KAMI serta USAHA KAMI.

Nurhafida Mord Daud adalah seorang jurupulih cara kerja yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box