“Urat Lutut Saya Putus, Doktor!”- Dr. Ahmad Mahyuddin

anterior_cruciate_ligament_1“Lutut saya rasa longgar la doktor!”

“Doktor, saya kalau nak turun tangga memang tak selesa lutut ni!”

Tahukah anda kecederaan ligamen lutut amat kerap terjadi? Di Malaysia, ia kerap menimpa pemain-pemain futsal, bola sepak, tenis, badminton dan bola jaring. Sendi lutut manusia merupakan antara sendi yang menanggung beban yang banyak ketika pergerakan seseorang manusia. Ia distabilkan oleh bentuk tulang peha (femur) dan betis (tibia), pelapik sendi (meniscus) serta kehadiran beberapa ligamen di sekeliling sendi lutut. Antara ligamen yang memainkan peranan penting adalah:

  1. Anterior Cruciate Ligament (ACL)
  2. Posterior Cricuate Ligament (PCL)
  3. Medial Collateral Ligament (MCL)
  4. Lateral Collateral Ligament (LCL)
  5. Postero-Lateral Complex (PLC) – struktur yang terdiri daripada LCL, Popliteus tendon, Popliteofibular ligament dan kapsul lutut.

Di antara struktur-struktur ini, Anterior Cruciate Ligament (ACL) merupakan ligamen yang paling kerap tercedera semasa bersukan dan menjadi sebab utama pesakit-pesakit mendapatkan rawatan. Ia tiga kali ganda lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki. Ia dikaitkan dengan perbezaan dari segi anatomi dan kekuatan otot berbanding lelaki. 

Mekanisma Kecederaan

ACL boleh terputus disebabkan pergerakan kaki yang berpusing ketika tapak kaki sedang berpijak di tanah (implanted foot). Ini dikenali sebagai ‘pivoting injury’. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang berhenti secara mendadak ketika sedang berlari. Tidak kurang juga pesakit yang mengalami masalah ini akibat kemalangan jalanraya.

Ia biasanya disertai dengan bunyi “pop” yang boleh didengari sendiri oleh pesakit semasa kecederaan itu berlaku serta sendi lutut pesakit akan membengkak dengan kadar yang cepat. Ia disebabkan oleh sendi lutut dipenuhi dengan darah (haemarthrosis). Pesakit yang mengalami kecederaan ini tidak akan dapat meneruskan permainan.

Pemeriksaan

Pesakit yang mengalami kecederaan ACL akan mengadu lutut tidak stabil, bergoyang dan mengalami kesukaran semasa menuruni tangga. Pemeriksaan tidak dapat dijalankan pada peringkat awal kecederaan kerana sendi lutut pesakit kebiasaannya amat bengkak dan pesakit sedang dalam kesakitan. Bengkak ini akan surut selepas 2 hingga 4 minggu selepas dituam dengan ais.

Ada beberapa perkara yang doktor akan lakukan semasa pemeriksaan. Ia melibatkan prinsip “LOOK-FEEL-MOVE-SPECIAL TEST” yang dipraktikkan oleh doktor Ortopedik.

LOOK – Doktor akan melihat kebengkakkan sendi sekiranya ada, keadaan otot peha pesakit sama ada mengecil (atrophy) atau tidak serta luka atau parut sekiranya ada.

FEEL – Doktor akan memeriksa sekiranya terdapat sebarang kesakitan pada ligamen dan meniscus pesakit. Ia melibatkan doktor menekan pada kedudukan ligamen-ligamen ini serta garisan sendi lutut (knee joint line).

MOVE – Doktor akan memeriksa julat pergerakkan sendi lutut pesakit sama ada terbatas atau tidak. Pergerakan yang penuh adalah amat penting bagi memastikan hasil rawatan yang optimum.

SPECIAL TEST – Ada 3 pemeriksaan khusus yang biasanya akan dilakukan iaitu Anterior Drawer Test, Lachman Test dan Pivot shift test. Pemeriksaan ini adalah bagi memastikan integriti ACL pesakit.

X-ray dan MRI

X-ray secara amnya tidak perlu dilakukan kerana ACL tidak dapat dilihat melalui x-ray. Namun X-ray akan dilakukan sekiranya doktor merasakan terdapat kemungkinan ada kepatahan. MRI atau Magnetic Resonance Imaging pula boleh didapati di sesetengah pusat rawatan bagi melihat integriti ACL serta ligamen lutut yang lain. Mesin MRI dengan spesifikasi khusus juga dapat menunjukkan kerosakan pada tulang rawan dan meniscus.

Rawatan      

Rawatan ACL yang putus dibuat berdasarkan keperluan setiap pesakit secara individu. Seseorang doktor akan mengambil kira umur, tahap aktiviti pesakit, keperluan bersukan, kestabilan sendi lutut serta kecederaan struktur lutut yang lain, sekiranya ada.

Tanpa Pembedahan

Kecederaan ACL boleh dirawat secara tanpa pembedahan (conservative management) pada peringkat awal. Ia melibatkan penggunaan brace dan fisioterapi bagi menguatkan otot peha bagi menambah kestabilan sendi lutut.

Untuk jangkamasa panjang, sekiranya ACL yang putus ini tidak digantikan, ia boleh meningkatkan risiko kecederaan meniscus dan juga kecederaan tulang rawan (cartilage injury) kerana permukaan sendi lutut yang tidak sekata dan sendi yang tidak stabil. Pesakit juga berisiko bagi mendapat sakit sendi lebih awal daripada yang sepatutnya (Early Osteoarthritis).

Pembedahan

Bagi mendapatkan kembali kestabilan sendi lutut, pembedahan menggantikan ACL yang putus perlu dilakukan (ACL reconstruction) dimana ligament ACL yang putus digantikan dengan menggunakan autograft iaitu dengan menggunakan urat (tendon) pesakit sendiri.

Ia melibatkan penggunaan teknik arthroscopy dimana hanya beberapa luka kecil perlu dibuat di luar lutut pesakit dan prosedur penggantian ACL ini dilakukan secara melihat kepada monitor melalui kamera yang dipasangkan pada arthroscope.

Urat tendon yang digunakan bagi menggantikan ACL yang putus pula biasanya diambil daripada pesakit sendiri. Terdapat beberapa pilihan tendon yang boleh digunakan temasuk tendon Hamstring, Quadriceps tendon dan Patella tendon. Keputusan ini bergantung kepada perbincangan antara doktor dan pesakit. 

Fisioterapi

Fisioterapi merupakan antara komponen terpenting dalam rawatan ACL. Ia dimulakan sebelum pembedahan lagi bagi meningkatkan kekuatan otot dan mendapatkan pergerakan sendi yang sepenuhnya.

Pasca pembedahan, pesakit perlu menjalani program fisioterapi yang diatur khusus mengikut tahap menyembuhan pesakit bagi mendapatkan hasil terbaik dan pesakit dapat kembali ke fungsi sebelum kecederan berlaku.

Proses rehabilitasi selepas pembedahan ACL reconstruction memerlukan kerjasama dan komitmen jitu daripada pesakit. Ia perlu melalui beberapa tahap bergantung kepada temoh selepas pembedahan serta perkembangan setiap pesakit secara individu. Secara keseluruhannya, ia boleh mengambil masa sehingga 9 bulan sebelum pesakit dapat kembali bersukan dan melakukan aktiviti lasak.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. P202-204
  • Review of Orthopaedics, 5th edition. Mark D. Miller. P257-260

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box