Ubat-ubatan “Pencair Darah” & Prosedur Pergigian – Dr Marini Ismail

Pembekuan darah merupakan proses penting yang menghalang pendarahan berlebihan apabila salur darah tercedera. Pembekuan darah berlaku apabila platelet (sejenis sel darah) dan protein dalam plasma (bahagian cecair darah) bertindak bersama untuk menghentikan pendarahan dengan membentuk gumpalan pepejal menyeliputi bahagian yang cedera. Sekiranya pembekuan darah berlaku di bahagian dalam salur darah tanpa kecederaan ketara atau tidak larut secara semulajadi, peraliran darah dalam badan mungkin terhalang dan membahayakan kesihatan.

Ubat-ubatan antitrombotik termasuk antikoagulan dan antiplatelet adalah jenis ubat yang digunakan untuk menghentikan atau menurunkan risiko pembekuan darah. Ubat-ubat ini juga dipanggil pencair darah walaupun tidak mengubah kadar kepekatan sel-sel darah.

Doktor-doktor gigi hari ini mendapat lebih banyak pesakit yang turut menghidapi penyakit-penyakit kronik. Antaranya ialah pesakit-pesakit yang mengambil ubat pencair darah bagi mengekalkan konsistensi darah dan mengelakkan pembekuan darah. Ubat-ubat ini diberi kepada mereka yang mempunyai kecenderungan tinggi mengalami trombosis (kejadian pembekuan darah) dalam saluran darah atau bagi mengelakkan pembekuan darah pada mereka yang pernah mengalaminya. Kebimbangan utama dalam pengurusan pesakit pergigian yang mengambil agen pencair darah ialah risiko pendarahan berlebihan selepas prosedur pergigian invasif.

Jadual 1. Ubat-ubatan antitrombotik dan indikasi:

Antikoagulan Antiplatelet
l   Warfarin (Coumadin)

l   Dabigatran (Pradaxa)

l   Rivaroxaban (Xarelto)

Indikasi warfarin (kadar terapeutik yang disyorkan untuk kebanyakan kondisi INR 2.5-3.5)

l   Pemfribilan atrium

l   Injap jantung tiruan

l   Disfungsi ventrikel kiri atau trombus

l   Sejarah trombosis vena dalam atau embolism

l   Sejarah serangan iskemia sementara atau strok

l   Aspririn

l   Clopidogrel (Plavix)

l   Ticlopidine (Ticlid)

l   Cilostazol (Pletal)

l   Dypyridamol (Persantine)

Indikasi aspirin

l   Pemfribilan atrium

l   Sejarah angina serangan jantung

l   Pencegahan penyakit arteri koronari

l   Sejarah pembedahan pintas arteri koronari

l   Sejarah serangan iskemia sementara atau strok

l   Penyakit arteri koronari asimptomatik

Sumber: www.rdhmag.com

Kadangkala, pesakit yang mengambil ubat pencair darah memerlukan pembedahan pergigian major atau prosedur seperti penanaman atau pencabutan gigi. Oleh itu, manfaat dan potensi risiko menghentikan ubat-ubat pencair darah perlu dinilai terlebih dahulu. Perkara paling penting ialah memberitahu doktor gigi bahawa anda sedang mengambil ubat pencair darah sebelum dijadualkan untuk prosedur pergigian. Bukan sahaja ubat antikoagulan, tetapi setiap ubat yang sedang diambil seharusnya dibincangkan bersama doktor gigi. Nama ubat dan kadar pengambilannya akan dicatatkan pada rekod. Pakar kardiologi/perubatan akan dibawa berunding jika perlu untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk anda. Sesetengah situasi memerlukan anda berhenti mengambil ubat beberapa hari sebelum prosedur dan menjalankan ujian darah. Tetapi JANGAN HENTI AMBIL UBAT tanpa bertanya kepada doktor dahulu kerana perkara ini membuat anda berisiko mengalami pembekuan darah.

Garis panduan standard bagi prosedur pergigian ketika mengambil antikoagulan untuk setiap pesakit adalah berbeza. Namun begitu, ubat pencair darah tidak memberi kesan kepada kebanyakan prosedur pergigian. Untuk prosedur-prosedur pergigian invasif minima seperti pembersihan, penampalan, atau pemutihan, adalah lebih selamat bagi pesakit untuk terus mengambil ubat pencair darah daripada menghentikan pengambilan ubat sepenuhnya. Prosedur pergigian seeloknya dijadualkan pada awal pagi supaya pesakit mempunyai masa yang cukup untuk rehat dan memberi peluang untuk mengawal sebarang pendarahan yang berlaku.

Prosedur yang berpotensi invasif dan berkait dengan pendarahan termasuk:

  • Subgingival scaling (pembersihan gigi dalam)
  • Pembedahan periodontal (gusi)
  • Anaesthesia setempat
  • Pencabutan gigi (tunggal dan berbilang)
  • Pembedahan oral minor
  • Pemasangan implan pergigian
  • Biopsi
  • Endodontik (rawatan saluran akar)

Tip-tip penjagaan gigi untuk pesakit yang mengambil ubat pencair darah:

  • Gunakan berus gigi lembut dan flos lembut
  • Berus gigi dan flos dengan perlahan dan elakkan tekanan berlebihan
  • Gunakan pelindung mulut sekiranya anda terlibat dalam aktiviti sukan lasak

Dr. Marini Ismail ialah seorang pegawai pergigian yang bertugas di Selangor. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/blood-thinner-medications-dental-procedures-dr-marini-ismail/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box