“Ubat Ini Boleh Potong Tak?” – Norvena binti Hisyam

splitting-pillsUbat adalah bahan kimia yang digunakan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Ubat-ubat yang ada di fasiliti kesihatan dan farmasi disediakan dalam pelbagai bentuk dan cara pembungkusan. Ada ubat yang disediakan dalam bentuk cecair, serbuk mahupun ubat biji. Ada yang dibungkus dalam peket, plastik gelap, ampul kaca, silinder aluminium malah menggunakan alat bantuan khas seperti insulin. Yang paling banyak penyediaannya adalah dalam bentuk ubat biji iaitu tablet.

Penyediaan ubat dan cara pembungkusan ubat-ubat ini mempunyai sebab tersendiri. Secara ringkas kebanyakkannya berpandukan kepada kadar serapan ubat oleh badan, tujuan dan tempat tindakan untuk ubat tersebut berfungsi di dalam badan. Kestabilan fizikal ubat untuk penyimpanan oleh pesakit juga adalah salah satu faktor wujudnya bentuk ubat yang pelbagai. Teknologi pembuatan ubat sangat unik kerana pakar farmaseutikal perlu membuat kajian terperinci bagi memastikan bahan kimia di dalam ubat berfungsi secara optimum dan dalam julat dos yang selamat. Setiap peringkat penyediaan ubat perlu melalui ujian-ujian khas sebelum ubat selamat digunakan oleh pesakit. Ubat-ubat ini bukan sembarangan dibuat tau!

Kerana itu ada ubat yang wujud dalam pelbagai bentuk. Bagi jenis ubat biji, soalan paling popular yang ditanya pesakit adalah – ubat ni boleh dipotong tak?

Sebelum itu, secara ringkas mari kita kenal jenis permukaan ubat biji yang kerap diberikan kepada pesakit :

  1. Sugar coated (disaluti gula khas) – berfungsi untuk mengelakkan rasa pahit ubat apabila ditelan
  2. Slow release tablet – dicipta bagi melambatkan proses serapan ubat di dalam badan. Keistimewaan jenis ini membolehkan pesakit mengambil ubat sekali sehari sahaja.
  3. Chewable tablet – jenis ubat biji yang boleh dikunyah terutama bagi penyediaan ubat kepada kanak-kanak.
  4. Enteric coated – Enteric coated bermaksud ubat yang dibuat formulasi khas agar tahan asid perut dan akan dikeluarkan di kawasan yang lebih tinggi pH.

Jadi bagaimana ingin mengetahui jika ubat tersebut boleh dipotong atau tidak? Kebanyakan ubat yang ada garisan tanda (scoring) pada permukaannya adalah jenis ubat yang boleh dipotong. Tetapi bukan sembarangan potong ya! Cara potongan juga perlulah betul. Ubat yang hancur selepas dipotong tidak boleh dimakan oleh pesakit kerana dikhuatiri dos yang diambil oleh pesakit tidak tepat. Ubat kritikal seperti warfarin apabila salah dipotong boleh menyebabkan kesan pendarahan yang serius. Dengan kewujudan pelbagai bentuk ubat yang menarik di pasaran (bentuk hati pun ada) adalah wajib untuk pesakit merujuk Pegawai Farmasi dan anggota kesihatan yang bertauliah sebelum memotong ubat. Bawalah ubat-ubat anda bersama-sama dengan sampul atau kotak arahan ubat apabila berjumpa mereka. Perlu diingatkan juga, arahan pengambilan ubat perlulah sentiasa dirujuk sebelum menelan ubat.

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Rujukan:

  • Basic Physical Pharmacy  By Joseph K. H. Ma, Boka Hadzija

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box