Ubat Gastrik Untuk Sakit Tekak? – Dr Ahmad Nordin

Source: http://www.clivir.com/

Source: http://www.clivir.com/

Ini adalah soalan yang biasa saya dengar sewaktu merawat penyakit LPR. Walaupun dengan penjelasan secukupnya dan pemeriksaan endoskopi, pesakit masih sukar memahami konsep refluks laringofarinks (laryngopharyngeal reflux/ LPR).

Kebanyakan kita kenal penyakit gastrik (gastritis). Di Sabah & Sarawak- penduduk tempatan lebih biasa dengan istilah ‘dugal’ dari sebutan penyakit gastrik. Gejala utama ialah sakit di bahagian perut dan lebih teruk apabila perut kosong  dan permasalahan ini agak biasa dirawat di klinik biasa. Pada sesetengah pesakit, terdapat fenomena yang mereka fahami sebagai refluks (reflux) atau refluks gastroesofagus (gastroesophageal reflux disease/GERD).  Dalam kes sebegini, kandungan dalam perut yang masam dan berasid akan naik ke esofagus dan menyebabkan rasa panas dan sakit di tengah dada- juga dikenali sebagai ‘heartburn’ atau pedih ulu hati.

Permasalahan refluks dalam bidang ENT (Ear, nose and throat) telinga, hidung dan tekak- asid akan naik dari perut ke esofagus ke bahagian salur pemakanan atau pernafasan. Ini meyebabkan berlaku lebih kerosakan pada lapisan tekak (farinks) dan salur pernafasan iaitu peti suara (larinks), dengan itu terbit namanya sebagai refluks laringofarink (laryngopharyngeal reflux, LPR). Lapisan mukosa di tekak adalah lebih nipis dari esofagus, maka lebih banyak kerosakan oleh asid akan terjadi di larinks dan farinks.

Apakah tanda & gejala LPR? Orang dewasa akan mengalami:

  1. Mendehem/ batuk untuk melegakan tekak yang berterusan (98%)
  2. Batuk yang berterusan (97%)
  3. Merasai benda asing di tekak (95%)
  4. Suara yang serak (95%)

Bagaimana pula dengan bayi & kanak-kanak? Mereka juga boleh mengalami LPR, tetapi gejala tidak begitu spesifik dan ketara. Perlu diingatkan bahawa anak anda mungkin mengalami LPR sekiranya mengalami:

  1. Batuk yang berbunyi seakan serak
  2. Penyakit salur pernafasan reaktif (asma)
  3. Nafas berbunyi (‘stridor’) atau berhenti bernafas (apnea)
  4. Masalah diberi makan/ tercekik semasa makan
  5. Kurang berat badan dari umur sepatutnya
Source: http://www.practicalslpinfo.com/

Source: http://www.practicalslpinfo.com/

Diagnosis disokong juga dengan laringoskopi (melihat peti suara) menggunakan kaedah endoskopi yang fleksibel atau yang keras. Didapati peti suara akan kelihatan bengkak, tebal dan terdapat inflamasi di bahagian belakang. Ada kemungkinan terdapat ketumbuhan bukan kanser dikenali sebgai granuloma terbentuk di peti suara.

Kaedah lain untuk memperolehi diagnois sebagai contoh dengan menggunakan kaedah manometri impedans pelbagai saluran dan kajian pemantauan pH tidak dijalankan di kebanyakkan hospital rujukan di Malaysia. Ini kerana kos pemasangan adalah mahal dan memakan masa yang lama iaitu ujian dilakukan selama 24 jam.

Bagaimana saya boleh merawat penyakit ini?

Rawatan mudah termasuk mengubah gaya hidup seperti:

  1. Mengurangkan berat badan
  2. Menghindari alkohol
  3. Mengurangkan pengambilan coklat, lemak, buah sitrus, minuman bergas, produk berasaskan tomato ,makanan pedas, wain merah, kafein (di rantau ini- didapati santan mengendurkan lilitan esofagus dan menyebabkan refluks menjadi lebih teruk)
  4. Elakkan makan pada lewat malam

Ubat seperti ‘proton pump inhibitor’ (omeprazole, pantoprazole, esomeprazole) dan antagonis H2 (ranitidine, famotidine) mengurangkan gejala refluks dan  biasanya diberikan kepada pesakit sehingga 3 ke 6 bulan. Dalam kes yang tidak dapat sembuh melalui gaya hidup sihat , pembedahan seperti fundoplikasi disarankan.

“Doktor- saya tiada penyakit gastrik atau refluks, kenapa saya perlu ambil ubat gastrik untuk masalah tekak?” Satu pertanyaan yang biasa.

Masalah utama yang saya hadapi di klinik ialah untuk meyakinkan pesakit yang mereka mengalami penyakit ini. Hanya 20% pesakit LPR yang mengalami ‘heartburn’ dan refluks- Pesakit LPR mengalami kesukaran untuk menerima hakikat bahawa mereka perlu mengambil ubat gastrik untuk masalah tekak. Yang paling penting, mereka perlu dinasihatkan agar gigih mengubah gaya hidup dan makan ubat yang disarankan.

Walaubagaimanapun, perkara yang amat saya hargai ialah apabila pesakit kembali ke klinik dan berkata “Doktor, betul cakap awak!” Bukan semua yang akan berkata sedemikian, tetapi ia lebih baik dari tidak mengenali diagnosis LPR.

 

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. 

Artikel ini merupakan terjemahan kepada Larynghopharyngeal reflux: An ENT or gastric problem? Ia diterjemah oleh penulis asal.

 

Rujukan

  • Evaluation and Management of Laryngopharyngeal Reflux , Charles N. Ford, MD, JAMA. 2005;294(12):1534-1540. doi:10.1001/jama.294.12.1534.
  • Laryngopharyngeal Reflux- A New Paradigm of Airway Disease, Kamrul Hassan Tarafder, Pran Gopal Datta, Abu Shafi Ahmed Amin , M. Alamgir Chowdhury, Ahmed Tariq, Partho Protim Das: Science Journal of Medicine and Clinical Trials, Volume 2012, Article ID sjmct-138, 5 Pages, 2012 

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box