Tuberkulosis Tulang Belakang – Dr Ahmad Mahyuddin

IndianJRadiolImaging_2009_19_4_256_57205_u6Penyakit Tuberkulosis atau TB (Tibi) lebih dikenali di Malaysia sebagai Batuk Kering dan dikaitkan dengan masalah paru-paru. Namun, di luar pengetahuan masyarakat, Tibi bukan sahaja terhad kepada paru-paru tetapi sebenarnya boleh menjangkiti tisu dan organ di luar paru-paru termasuk selaput otak (meninges), kelenjar, darah dan sendi. Keadaan ini dikenali sebagai “extra-pulmonary tuberculosis”.

Tempat yang paling kerap dijangkiti selepas paru-paru ialah tulang belakang. Ia boleh menyebabkan kemusnahan tulang, sakit belakang yang kronik malah melumpuhkan pesakit.

Kuman Tibi

Jangkitan kuman Tibi ini disebabkan oleh sejenis kuman yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis. Ia boleh disebarkan secara droplets (cecair batuk, selsema) dan juga secara melalui peredaran darah. Sekiranya kita tinggal bersama ahli keluarga atau rakan yang menghidap Tibi, kita juga berisiko untuk dijangkiti. Begitu juga sekiranya kita terdedah dengan persekitaran pekerja asing yang tidak mendapat immunisasi daripada kuman ini.

Ia bermula dengan menjangkiti salah satu daripada tulang belakang (vertebra) dan dan ia merebak melalui Anterior Longitudinal Ligament iaitu ligament yang memegang bahagian depan tulang vertebra. Jangkitan Tibi boleh merebak ke vertebra bersebelahan dan boleh juga menyebabkan skip lesion di mana terdapat vertebra yang tidak dijangkiti dan ia melompat ke vertebra yang lebih jauh daripada vertebra asal yang dijangkiti. Skip lesion ini berlaku di dalam 15 peratus daripada kes-kes jangkitan Tibi tulang belakang.

Kuman tuberkulosis ini akan ‘memakan’ dan menghancurkan tulang vertebra pesakit dan ada juga kes di mana ia menghasilkan nanah yang menyebabkan tekanan pada saraf dan struktur-struktur berhampiran.

Simptom

Pesakit yang mengalami Tibi tulang belakang ini datang kerana mengalami rasa sakit atau tidak selesa pada tulang belakang. Tidak kurang juga yang datang lewat dengan kepatahan dan tekanan pada saraf tunjang tulang belakang. Sekiranya tekanan saraf berlaku, ia boleh menyebabkan kekebasan dan kelemahan pada anggota tangan dan kaki pesakit.

Pesakit juga boleh mengalami semua atau sebahagian daripada simptom-simptom lain yang dikaitkan dengan Tuberkulosis seperti di bawah.

Simptom Tuberkulosis Tulang Belakang

  1. Sakit atau tidak selesa pada mana-mana bahagian tulang belakang
  2. Demam
  3. Berpeluh-peluh pada waktu malam
  4. Susut berat badan secara mendadak
  5. Hilang selera makan
  6. Kebas tangan atau kaki atau kedua-duanya
  7. Lemah atau hilang kekuatan tangan atau kaki atau kedua-duanya

Tulang belakang membonjol

Sekiranya pesakit lambat mendapatkan rawatan, tulang pesakit boleh ‘dimakan’ oleh kuman yang menyebabkan pesakit kelihatan membongkok ke depan dan terjadinya benjolan keras atau gibbus pada bahagian tulang belakang yang dimakan kuman tersebut.

Apakah siasatan yang biasa dibuat?

Sekiranya doktor mengesyaki anda dijangkiti Tibi, terdapat beberapa siasatan yang akan dilakukan:

  1. Ujian Saringan Mantoux – Ujian Saringan Mantoux melibatkan suntikan 0.1mm Purified Protein Derivative (PPD) dibawah kulit lengan pesakit dan melihat reaksi pada kulit pesakit. Sekiranya selepas 3 hari, terdapat benjolan (palpable, harden raised area) kulit pada tempat suntikan dengan diameter melebihi 10mm, ia mungkin mencadangkan yang pesakit dijangkiti Tibi. Namun bacaan ini perlu ditakrif bersama keputusan darah dan x-ray.
  1. Erythrocyte Sendimentation Rate (ESR) – ESR ialah sejenis ujian darah yang dilakukan baru melihat proses keradangan yang berlaku di dalam badan pesakit. Bacaan normal ESR adalah antara 0-25 mm/jam dan berubah-ubah mengikut umur. Ia akan meningkat di dalah pesakit yang menghidap penyakit tertentu, kanser, keradangan dan jangkitan kuman. Bagi pesakit yang menghidap Tibi, bacaan ESR boleh meningkat sehingga melebihi 100mm/jam.
  1. Ujian Liver Function Test (LFT) – dilakukan bagi melihat fungsi hati pesakit. Ujian ini amat perlu kerana ubat-ubatan yang diberi bagi menghapuskan Tibi boleh memberi kesan kepada hati pesakit. Doktor akan memastikan fungsi hati pesakit adalah normal sebelum ubat diberi. Sekiranya bacaan tidak normal, pilihan lain akan diberikan.

Perlukah x-ray dibuat?

Xray akan dibuat bagi memastikan tahap penglibatan tulang belakang. Kebiasaannya, jangkitan Tibi akan memusnahkan bahagian depan vertebra terlebih dahulu menyebabkan ia berbentuk ‘wedge’. Selain daripada itu, antara karakter jangkitan ini ialah ia memusnahkan bahagian permukaan vertebra iaitu bahagian yang disebut sebagai ‘end plate’.

Magnetic Resonance Imaging (MRI)

MRI juga akan dibuat sekiranya doktor mengesyaki penglibatan saraf dan berlakunya pengumpulan nanah di kawasan yang dijangkiti. MRI ini digunakan bagi merancang pembedahan yang perlu dibuat bagi memastikan tekanan saraf dapat dibebaskan dan nanah dapat dikeluarkan dengan selamat.

Rawatan

Rawatan Tuberkulosis Tulang Belakang boleh dibahagikan kepada:

  1. Ubat-ubatan
  2. Pembedahan

Ubat

Pesakit yang menghidap Tuberkulosis Tulang Belakang ini akan dirawat dengan beberapa ubat-ubatan bagi membunuh kuman tersebut. Regime yang paling kerap diberikan ialah:

  1. Rifampicin
  2. Isoniazide
  3. Pyrazinamide
  4. Ethambutol

Rawatan bagi penyakit Tuberkulosis Tulang Belakang memakan masa 9 hingga 12 bulan dan sepanjang tempoh tersebut, pesakit akan diperhatikan dari segi bacaan darah termasuk sel darah putih dan bacaan keradangan ESR (Eryhrocyte Sendimentation Rate) bagi melihat tindakbalas pesakit terhadap rawatan yang diberi.

Pembedahan

Pembedahan bagi pesakit Tuberkulosis Tulang Belakang hanya dilakukan sekiranya:

  1. Terdapat nanah yang berkumpul dan menyebabkan tekanan pada saraf dan struktur berhampiran
  2. Jangkitan kuman menyebabkan tulang belakang menjadi tidak stabil
  3. Terdapat tekanan pada saraf yang menyebabkan kelemahan atau kebas anggota badan

Justeru, bukan semua kepatahan tulang yang melibatkan Tuberkulosis Tulang Belakang memerlukan pembedahan. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai pilihan yang terbaik jika anda atau saudara anda mengalaminya.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini ditulis sempena sambutan Hari Tuberkulosis Sedunia 2016.

Rujukan

  • Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Banasziewicz, page 263-264
  • Review of Orthopaedics, Mark D. Miller, page 491-492
  • https://en.wikipedia.org/wiki/Erythrocyte_sedimentation_rate

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box