Tips Penyusuan susu ibu di bulan Ramadhan – Dr Nurjasmine Aida Jamani

Bulan Ramadhan telah pun bermula. Sudah pasti pelbagai perasaan yang timbul bagi ibu-ibu yang menyusukan anak mereka tidak kira yang masih bayi kecil mahupun yang sudah pandai berlari dan petah berkata-kata.

“Laratkah nanti saya berpuasa?”

“Cukupkah susu saya untuk si kecil?”

“Perlukah saya berpuasa?”

Persoalan-persoalan ini pasti bermain di fikiran si ibu. Ibu-ibu berasa bimbang akan ketidakcukupan susu, kuantiti susu menjadi sedikit berbanding sebelum ini dan mungkin menyebabkan bayi mereka tidak kenyang.

Jadi, apakah cara terbaik untuk menghadapi bulan Ramadhan ini? Boleh kah ibu-ibu meninggalkan puasa mereka dan menggantikan pada waktu lain?

Penyusuan dan Puasa

Sumber gambar: Utusan Online

Banyak kajian telah dibuat tentang penyusuan susu ibu dan puasa terutama di bulan Ramadhan. Kebanyakkan kajian mendapati bahawa berpuasa tidak memberi kesan yang signifikan kepada zat-zat utama atau makro dalam susu ibu itu sendiri. Zat-zat utama seperti protein, karbohidrat dan lemak adalah zat yang penting dan utama yang diperlukan dalam kuantiti yang banyak untuk tumbersarn bayi yang optimum. Walau bagaimanapun, berpuasa didapati boleh memberi kesan kepada paras zat- zat yang lain yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit seperti magnesium,zink dan potassium.(1)

Selain itu juga, ulasan yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik mendapati bahawa berpuasa tidak memberi kesan yang signifikan terhadap faktor pertumbuhan bayi seperti berat badan, ukur-lilit kepala dan ketinggian mereka sepanjang tempoh tumbesaran.

Namun begitu, ibu-ibu yang mempunyai masalah perubatan kronik yang tidak terkawal seperti kencing manis atau darah tinggi harus mendapat kebernaran atau lampu hijau dari doktor yang merawat mereka kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka dan bayi.

Rukhsah Puasa bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka

Di dalam Islam, ibu-ibu yang menyusukan anak mereka merupakan antara golongan diberikan rukhsah atau kelonggaran berpuasa. Antara wanita yang diharuskan berbuka puasa dan wajib menggantikannya selagi mana puasa ganti tersebut tidak menjangkaui Ramadhan tahun berikutnya adalah ibu yang menyusukan anaknya dan khuatir akan kesihatan dirinya atau dirinya dan anaknya. Bagi ibu yang menyusukan anak dan khuatir akan kesihatan anaknya diharuskan berbuka dan menggantikannya serta membayar fidyah. (2)

Tips di bulan Ramadhan jika ibu mahu berpuasa:

  • Mesti mengambil sahur
  • Melewatkan sahur
  • Ambil makanan yang berat ketika sahur bagi memberi tenaga secukupnya
  • Ambil kurma sebagai makanan tambahan semasa sahur
  • Teruskan corak jadual pengepaman susu ibu seperti biasa
  • Jangan panik jika kuantiti susu yang dipam sedikit ketika siang hari
  • Minum air secukupnya ketika sahur dan selepas berbuka
  • Teruskan penyusuan secara langsung kepada bayi sekiranya bekerja di siang hari
  • Tangguhkan dahulu kerja-kerja yang memerlukan tenaga yang banyak

Sekiranya anda tidak bermaya berpuasa dan menyebabkan kesihatan anda dan bayi terjejas, anda dibolehkan untuk berbuka puasa dan menggantikkannya di waktu lain. Moga ibu-ibu lebih bersedia menghadapi cabaran penyusuan di bulan Ramadhan dengan lebih tenang. Adalah tidak menjadi kesalahan untuk anda tidak berpuasa kerana terdapat kelonggaran yang diberikan.

Rujukan:

  1. A.Benera, S.Galadari, M.Gillett, N.Osman,H.Al-Taneijia, M.H.H.Al-Kuwaiti, M.M.A.Al-Sabosy. Fasting during the holy month of Ramadan does not change the composition of breast milk. Nutr Res. 2001;21(6):859–64.
  2. Khasasi MZA. Wanita Dambaan Syurga. Pertama. Kuala Lumpur: Inspirasi-i Media; 2013. 454 p.
  3. Mazidi M, Rezaie P, Nematy M. The Effects of Ramadan Fasting on Growth Parameters: A Narrative Review. J Fasting Heal. 2014;2(1):41–4.

This article was written by:

Dr Nurjasmine Aida Binti Jamani

Pakar Perubatan Keluarga/ Pensyarah Perubatan/Perunding Laktasi

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box