Terkini: 201 Maut Akibat Denggi pada 2015 – KKM

Source: durangoherald.com

Analisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa kes denggi di seluruh negara secara umumnya menunjukkan tren penurunan kes bermula Julai, di mana kes yang dilaporkan adalah kurang daripada 2,800 kes seminggu berbanding pada akhir Jun di mana kes yang dilaporkan melebihi 3,000 kes seminggu.

Pada minggu lepas (Minggu 31) sebanyak 2,583 kes dilaporkan berbanding 2,736 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 153 kes (5.5%). Diharapkan penurunan kes denggi ini akan dapat dikekalkan sehingga ke penghujung tahun 2015 melalui langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang telah dirancang secara bersepadu oleh pelbagai kementerian dan juga agensi berkaitan.

Jumlah kumulatif kes denggi di seluruh negara dari Januari hingga 8 Ogos 2015 adalah 73,263 kes, berbanding 56,810 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 28.9% (16,453 kes).

Pada masa sama, jumlah kumulatif kematian denggi sehingga minggu ke 31 adalah sebanyak 201 kematian, berbanding 110 kematian bagi tempoh yang sama pada 2014, iaitu meningkat sebanyak 91 kematian (82.7%).

Bagi mengekalkan pengurangan kes denggi, aktiviti pencegahan denggi perlu dikekalkan pada momentum yang sama atau lebih tinggi. Pendidikan kesihatan kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan persekitaran hendaklah dipertingkatkan agar amalan kebersihan dijadikan sebagai budaya seharian mereka. Penjagaan kebersihan persekitaran juga perlu diterap dari peringkat sekolah. Di samping itu, Program Kitar Semula juga perlu dihebahkan kepada pihak masyarakat agar mereka turut bekerjasama ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersih. Oleh itu, peranan dan tindakan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kommunikasi dan Multi Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian lain, amat diperlukan bagi melaksanakan aktiviti dan rancangan ini.

Saya juga amat berharap melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Kebersihan Nasional, agenda kebersihan yang dirancang akan dapat direalisasikan. Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM perlu menyelaraskan perkara ini dengan kadar segera dengan mengaturkan semula bengkel bersama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan

Sekian, terima kasih.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box