Tempat Pembuangan Sampah Haram di Tanah Lot Kosong Menyumbang dalam Pembiakan Denggi! – KKM

denguePemantauan KKM menunjukkan bahawa terdapat sejumlah 2,549 kes demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara pada minggu lepas, dan ini telah menunjukkan penurunan kes sebanyak 7.2% berbanding 2,747 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya. Dari Januari hingga 25 Julai 2015, jumlah kumulatif kes denggi adalah 67,944 kes berbanding 51,987 kes untuk tempoh yang sama tahun 2014 iaitu meningkat sebanyak 7% (15,957 kes).

Manakala untuk kematian denggi pula, bagi tempoh yang sama sebanyak 185 kematian denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 96.8% berbanding 94 kematian pada tahun 2014.

Untuk mencegah peningkatan kes berulang seperti yang berlaku pada tempoh sama tahun 2014 iaitu pada bulan Julai hingga September, tindakan pencegahan termasuk meningkatkan kempen kebersihan persekitaran kepada masyarakat umum, memastikan isu di kawasan denggi seperti kutipan sampah ditangani dan semua kes serta wabak denggi dikawal dengan effektif dan berkesan. Aktiviti penguatkuasan terhadap pembuangan sampah haram juga perlu dipertingkat oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Aktiviti tindakan bersepadu oleh semua Kementerian hendaklah diteruskan dan diperkukuhan sama ada di peringkat negeri dan juga daerah. Pelaksanaan tindakan yang telah dirancang oleh pihak berkaitan adalah kunci utama kejayaan mengurangkan kejadian denggi.

Sehubungan itu, komitmen daripada semua pihak dalam menangani isu-isu berkaitan denggi adalah diperlukan. Adalah diharapkan strategi yang dirancang daripada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Denggi ini dilaksanakan sepenuhnya dengan kadar segera bagi memberi impak yang positif dan menghalang dari kes serta wabak denggi dari terus meningkat.

Terima kasih diucapkan kepada semua Kementerian yang terlibat dalam pasukan petugas khas ini, yang masih bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha memerangi denggi.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

30 Julai 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box