Tempat Kerja Sihat – Dr Lim Jac Fang

Kesihatan ialah kesejahteraan fizikal, mental, serta sosial dan bukan sahaja ketiadaan penyakit atau kelemahan akal atau tubuh (WHO).

“Tempat Kerja Sihat adalah tempat kerja yang sentiasa mencipta dan memperbaiki persekitaran sosial dan fizikal yang membolehkan pekerja saling menyokong satu sama lain dalam menjalankan tugas-tugas mereka dan mengolah keupayaan ke peringkat maksima.”

Oleh itu, mana-mana tempat kerja boleh menjadi Tempat Kerja Sihat tanpa mengira tahap kesihatan terkini, tetapi apa yang diperlukan adalah komitmen untuk mempertingkatkan kesihatan di tempat kerja.

 

Mengapa kita memerlukan tempat kerja sihat?

Setiap pekerja meluangkan lebih kurang 50% masa aktif mereka setiap hari di tempat kerja. Syarikat-syarikat yang menyediakan program kesihatan mendapati bahawa apabila pekerja berasa sihat, mereka bekerja lebih baik, kurang mengambil cuti sakit, dan memilih untuk bekerja dengan syarikat tersebut lebih lama. Tempat kerja yang sihat adalah bagus untuk perniagaan kerana ianya bermanfaat bagi individu-individu yang bekerja di sana. Oleh demikian, adalah penting untuk memberi pekerja peluang untuk memperbaiki kesihatan diri.

Persekitaran tempat kerja memberi impak secara langsung kepada kesihatan pekerja. Stres, gangguan, keganasan di tempat kerja, merokok, alkohol dan penyalahgunaan dadah, pilihan pemakanan yang kurang baik, dan rekaan ergonomik yang tidak bagus semua menyumbang kepada penyakit dan ketidakhadiran di kalangan tenaga kerja.

Tempat Kerja Sihat adalah komprehensif dan terdiri daripada tiga faktor utama kesihatan :

Persekitaran

Faktor-faktor di persekitaran rumah atau tempat kerja memberi kesan terhadap kesihatan pekerja seperti udara, kebisingan dan pencahayaan, kualiti mesin dan peralatan, jenis kerja, tanggungjawab di tempat kerja, hubungan bersama penyelia dan rakan sekerja, dan hubungan bersama keluarga di rumah.

Sumber peribadi

Perasaan pekerja akan pengaruh mereka terhadap kesihatan diri dan kerja, kadar sokongan mereka rasa mereka terima daripada orang lain, dan tahap usaha mereka meningkatkan kesihatan diri.

Amalan sihat

Amalan yang memberi kesan terhadap kesihatan seperti senaman, pengambilan alkohol, tabiat tidur dan makan, dan juga penggunaan ubat-ubatan atau dadah.

Ciri-ciri tempat kerja sihat

  • Persekitaran fizikal yang bersih dan selamat
  • Keperluan asas pekerja disediakan
  • Hubungan yang saling menyokong, kuat, bersepatu dan tidak memperalatkan pekerja
  • Menggalakkan gaya hidup sihat
  • Kemudahan kepada pelbagai jenis pengalaman, interaksi, dan komunikasi
  • Kadar tinggi penglibatan pekerja

Langkah-langkah ke arah tempat kerja yang sihat

Tempat kerja sihat boleh dimulakan dengan mempunyai:

  • Visi
  • Misi
  • Objektif
  • Strategi
  • Merancang aktiviti
  • Bahan : Komitmen, pendidikan/maklumat, budaya korporat, dan polisi

Tambahan; Kenalpasti – Penyingkiran – Pengasingan – Pengurangan – Latihan

Kenalpasti

Majikan anda hendaklah mengenalpasti secara sistematik semua perkara merbahaya di tempat kerja. Pekerja hendaklah diberitahu tentang semua bahaya mereka didedahkan kepada di tempat kerja, atau bahaya yang mungkin disebabkan oleh mereka ketika bekerja.

Penyingkiran

Setelah bahaya dikenalpasti, majikan perlu mengambil langkah-langkah untuk menyingkirkan bahaya-bahaya besar dari tempat kerja. Misalnya : menggantikan wayar elektrik yang berjurai, membaiki tangga yang rosak.

Pengasingan

Kadang kala adalah sukar untuk menyingkirkan semua bahaya besar di tempat kerja. Dalam kes ini, majikan hendaklah mengasingkannya. Ini bermaksud mengasingkan pekerja dari bahaya. Contohnya : meletakkan mesin yang berbunyi kuat di bilik berasingan. Sekiranya lantai licin, letakkan tanda amaran licin sehingga perkara tersebut diselesaikan.

Pengurangan

Ada masanya sesuatu yang merbahaya tidak dapat dielakkan. Bahaya yang sukar disingkirkan atau diasingkan perlu dikurangkan sebanyak mungkin.

Contohnya menggunakan pelindung telinga untuk mengurangkan risiko kerosakan pendengaran.

Latihan

Mengikut undang-undang, majikan wajib memberi latihan agar pekerja boleh menjalankan tugas dengan selamat.

Ini bermaksud majikan haruslah :

  • Memberitahu dan menunjukkan segala bahaya pekerja mereka terdedah kepada ketika bertugas dan bagaimana untuk mengelakkan kecederaan akibatnya.
  • Mengajar cara-cara mengurangkan dedahan kepada bahaya.
  • Memastikan pekerja mempunyai kebolehan dan pengalaman untuk melakukan tugas.
  • Mengajar cara bertindak ketika kecemasan. Sebagai contoh : bagaimana untuk menghentikan mesin ketika kecemasan, lokasi-lokasi pintu kecemasan, langkah-langkah keluar dengan selamat ketika kecemasan, dan tempat terletaknya alat pemadam api serta peralatan keselamatan.

Antara isu-isu yang sering dihadapi adalah :

Stres

Adakah stres sebuah isu di tempat kerja? Jika ya, adakah anda tahu bagaimana untuk mengukur tahap stres atau mengendalikannya? Adakah terdapat polisi-polisi bagi menangani gangguan seksual, fizikal, dan mental di tempat kerja?

Penyakit jantung koronari/strok

Adakah terdapat pilihan makanan bernutrisi bagus di tempat kerja atau maklumat tentang senaman?

Dadah dan alkohol

Adakah terdapat polisi untuk menangani kemabukan atau penjualan/penggunaan bahan-bahan terlarang di tempat kerja? Menurut undang-undang, majikan bertanggungjawab bagi sebarang penyalahgunaan atau kemalangan akibat penyalahgunaan bahan di tempat kerja.

HIV/AIDS/kesihatan seksual

Adakah anda mempunyai strategi/polisi untuk menangani gangguan terhadap pesakit HIV/AIDS di tempat kerja? Adakah anda faham tentang langkah-langkah membuang objek-objek tajam dengan selamat?

Barah

Adakah terdapat maklumat tentang pengesanan awal/pemeriksaan diri bagi lelaki dan wanita?

Pencegahan kemalangan

Adakah terdapat isu berkaitan dengan teknik pengendalian selamat?

Dr. Lim Jac Fang seorang pakar kesihatan pekerjaan di Sabah dan salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  • WHO documents on Healthy Cities

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box