“Tapi Mak, Adik Tak Nak Jumpa Doktor Gigi!” – Dr Husna Razak

Sumber: http://www.canada.com

Sumber: http://www.canada.com

Adakah anak-anak membuatkan anda terjaga di tengah malam kerana sakit gigi tetapi berdegil tidak mahu berjumpa doktor gigi dan meyukarkan rawatan? Jika jawapannya “ya”, anda tidak keseorangan. Ini merupakan perkara biasa bagi kanak-kanak untuk rasa bimbang dan kurang selesa sekiranya mereka tidak biasa ke klinik gigi. Lebih-lebih lagi berhadapan dengan pemakai topeng misteri mencungkil mulut dengan peralatan logam yang mengilukan. Lagipun siapa seronok jumpa doktor gigi?

Walaupun berjumpa doktor gigi membuat anak anda gelisah, ibu bapa perlu sedar akan pentingnya kesihatan gigi. Gigi yang sihat dan senyuman yang berseri memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak dari segi keperibadian, keyakinan, dan kesihatan jasmani. Gigi yang rosak pada peringkat awal pertumbuhan kanak-kanak menjejaskan keupayaan mereka untuk makan dan bercakap. Akibatnya badan mereka kekurangan zat makanan dan dari segi perkembangan sahsiah diri, anak-anak ini akan kurang keyakinan diri.

Ibu bapa dan doktor gigi berperanan penting menyelesakan rawatan gigi pertama anak-anak. Ibu bapa perlu tenang dan ceria kerana tanda-tanda keresahan pada ibu bapa dirasai anak-anak dan secara tidak langsung menyebabkan mereka takut. Doktor-doktor gigi masa kini dilatih cara mengurus kanak-kanak. Pengalaman rawatan gigi kanak-kanak dan orang dewasa biasanya berlainan; suasana klinik pergigian pediatrik lebih tenang, riang, dan mesra kanak-kanak berbanding suasana klinik pergigian dewasa yang lebih senyap, rasmi, dan ‘sterile’.

Perlu diingat bahawa ketakukan anak-anak terhadap rawatan gigi merupakan perkara biasa. Berikut adalah cara-cara mudah menangani ketakutan tersebut dan menyelesakan perjumpaan dengan doktor gigi:

Elak butiran berlebihan kepada anak-anak

Simpan kisah seram cabutan gigi, penggerudian, rawatan akar atau saraf gigi. Ketakutan ibu bapa terhadap doktor gigi hanya memburukkan rasa cemas anak-anak. Anak-anak mengikut jejak ibu bapa. Rentetan itu, apa-apa yang ditakuti ibu bapa akan dianggap bahaya oleh mereka.

Gunakan ayat-ayat positif

Sebelum rawatan pertama, beritahu anak anda mereka akan berjumpa dengan kawan baru untuk menjadikan gigi lebih kuat dan senyuman lebih cantik. Elakkan berkata seperti, “Tak sakit kalau adik duduk baik-baik” atau “jangan risau, tak sakit” kerana ayat-ayat negatif hanya meninggalkan kesan negatif terhadap minda muda yang mudah terpengaruh. Sebolehnya elak menjanjikan ganjaran sebagai rasuah supaya anak-anak menjaga kelakuan di klinik gigi kerana ini boleh menyebabkan mereka berasa sangsi.

Permulaan awal

Lebih awal anak-anak dibawa berjumpa doktor gigi, adalah lebih baik. Disarankan membawa anak ke klinik gigi sebaik sahaja gigi pertama tumbuh. Permulaan awal bukan sahaja menyahpeka kanak-kanak terhadap persekitaran klinik tetapi juga memberi rasa selamat dan selesa bersama doktor dan kakitangan di klinik tersebut.

Lakon peranan

Cuba berlakon sebagai doktor gigi dengan anak-anak anda menggunakan anak patung atau boneka dan berus gigi. Pegang cermin di hadapan anak anda dan kira gigi satu per satu. Jangan buat bunyi gerudi. Cara ini membantu kanak-kanak membiasakan diri dengan tatacara rawatan gigi serta membuat mereka lebih selesa ketika rawatan sebenar.

Tegaskan kepentingan kesihatan gigi dan mulut

Sesetengah perkara memerlukan ibu bapa bersikap tegas, misalnya perihal kesihatan gigi dan mulut anak-anak. Jelaskan kepada mereka bahawa berjumpa doktor gigi satu keperluan, bukan pilihan. Didik kepentingan gigi sihat dan kuat untuk makan dengan baik dan senyuman yang ceria untuk masa akan datang serta bagaimana doktor gigi boleh membantu.

Bincang bersama doktor gigi

Ibu bapa digalakkan berbincang bersama doktor gigi sebelum membawa anak untuk rawatan. Beritahu doktor gigi apa-apa rasa musykil, jangkaan anda, dan mungkin pendekatan berbeza yang boleh diambil untuk membuatkan rawatan gigi anak lebih selesa. Doktor gigi seharusnya bersifat ramah, mesra, dan cerita dengan kanak-kanak walaupun perlu tegas terhadap kanak-kanak yang tidak memberi kerjasama. Ramai doktor gigi mengalu-alukan perbincangan bersama ibu bapa sebagai peluang mendidik orang ramai tentang kesihatan gigi dan mulut.

Penting bagi ibu bapa dan adik-beradik yang lebih tua menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik yang lebih muda. Perasaan takut terhadap doktor gigi merupakan takut yang subjektif dan boleh diatasi. Tambahan pula, bidang pergigian sentiasa dimajukan; apa yang kita takut pada masa kecil mungkin tidak wujud lagi di masa dewasa.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang bekerja di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Nur Nadhirah. Artikel asal boleh didapati di https://www.mmgazette.com/but-mom-i-dont-want-to-go-to-the-dentist-dr-husna-razak/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box