Syarat Membawa Masuk Ubat ke Malaysia – Ahmad Najib bin Ahmad Afandi (Pegawai Farmasi)

Secara umumnya, ubat yang dibawa ke Malaysia perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa. Statistik daripada Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menunjukkan seramai 26.1 juta pelancong telah mengunjungi negara ini pada 2019 dan 4.3 juta pada 2020. Daripada jumlah ini, sebahagiannya didapati membawa masuk ubat tertentu kerana perlu mengambil ubat tersebut secara berkala. Selain itu, ubat turut dibawa masuk ke Malaysia melalui pembelian produk kesihatan secara dalam talian yang kian meningkat.

Akta dan peraturan yang berkuat kuasa

Secara dasarnya, hanya produk farmaseutikal termasuk vitamin, suplemen kesihatan dan produk tradisional yang berdaftar serta produk kosmetik bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh dibawa masuk atau diimport ke Malaysia. Produk-produk yang hendak dibawa masuk ke Malaysia sama ada bagi kegunaan peribadi atau tujuan komersial dikawal selia di bawah Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Penguatkuasaan undang-undang tersebut termasuklah bagi ubat-ubatan yang dibeli secara dalam talian dan seterusnya dibawa masuk ke Malaysia melalui perkhidmatan pos atau kurier. Pengimportan ubat-ubatan bagi tujuan komersial perlu dilakukan oleh pengimport yang mempunyai lesen yang diiktiraf oleh KKM.

Membawa ubat masuk bagi kegunaan peribadi

Terdapat pengecualian di bawah peruntukan undang-undang bagi pengunjung atau warganegara yang pulang dari luar negara yang ingin membawa masuk ubat dari luar negara untuk kegunaan peribadi. Kuantiti ubat yang dibenarkan untuk dibawa masuk adalah bekalan untuk satu orang bagi tempoh satu bulan. Kesilapan yang sering dilakukan ialah kuantiti ubat yang dibawa masuk terlalu banyak dan tidak munasabah untuk tujuan kegunaan peribadi. Pastikan juga ubat yang dibawa adalah untuk kegunaan sendiri ataupun ahli keluarga yang tiba bersama-sama.

Ubat yang dibawa masuk hendaklah lengkap dilabel dengan nama pesakit, nama ubat, dos serta kekerapan pengambilan ubat tersebut. Kuantiti ubat yang dibenarkan untuk dibawa masuk adalah bergantung kepada dos ubat yang tertera pada label. Selain itu, maklumat yang lengkap dapat memudahkan ubat dikenal pasti semasa pemeriksaan bagasi di pintu masuk.

Preskripsi yang sah atau surat daripada doktor yang merawat di luar negara perlu dibawa sekali. Preskripsi yang sah perlulah dalam Bahasa Inggeris dan terjemahan harus disertakan sekiranya preskripsi ditulis dalam bahasa lain. Preskripsi harus lengkap dengan nama ubat dan dos serta kuantiti yang dibawa. Preskripsi atau surat daripada doktor boleh ditunjukkan kepada pegawai penguat kuasa farmasi atau pegawai kastam bagi memudahkan pemeriksaan jika diminta.

Individu yang berhasrat untuk tinggal di Malaysia melebihi tempoh satu bulan dan memerlukan bekalan ubat yang berterusan dinasihatkan berjumpa doktor di Malaysia untuk mendapatkan preskripsi dan bekalan ubat. Mereka juga disarankan untuk mendapatkan maklumat berkaitan prosedur membawa masuk ubat ke Malaysia sebelum tiba di pintu masuk.

Mengimport ubat bagi tujuan komersial

Ubat yang hendak dipasarkan dalam pasaran Malaysia perlulah berdaftar dengan KKM. Pengimportan hanya dibenarkan melalui pihak yang memegang Lesen Import yang dikeluarkan oleh KKM. Tindakan membawa masuk ubat terus dari negara luar ke dalam Malaysia tanpa memiliki lesen atau tanpa mendaftar produk terlebih dahulu dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan jika dikesan semasa pemeriksaan pengimportan di pintu masuk.

Kepentingan pemeriksaan ubat di pintu masuk Malaysia

Pemeriksaan ubat yang dibawa masuk ke Malaysia, sama ada melalui kargo, bungkusan (parcel) atau bagasi yang dibawa oleh pengunjung penting untuk memastikan semua ubat yang masuk ke negara ini mematuhi peruntukan undang– undang. Pemeriksaan ini dilakukan secara bersama-sama oleh pegawai penguat kuasa farmasi yang bertugas di semua pintu masuk utama negara dan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Panduan membawa ubat–ubatan masuk ke Malaysia dan panduan pembelian ubat secara dalam talian boleh diperoleh di laman web www.pharmacy.gov.my. Pertanyaan lanjut berkaitan perkara boleh juga dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui e-mel pelesenanbpf@moh.gov.my atau talian 03- 7841 3320.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

Artikel ini disediakan oleh,

En. Ahmad Najib bin Ahmad Afandi Pegawai Farmasi UF48
Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box