Suntikan Insulin: Bukanlah Satu Kegagalan Tetapi Suatu Pencapaian! – Dr Mohd Shaiful Ehsan

Sumber: healthbeat.spectrumhealth.org

Sumber: healthbeat.spectrumhealth.org

Pesakit kencing manis seringkali dikatakan tidak bijak mengawal pengambilan gula lalu menyebabkan bacaan gula mereka tidak terkawal. Malah, apabila mereka dinasihati untuk menggunakan insulin, ianya seringkali dilihat sebagai satu HUKUMAN kepada “kegagalan” mereka untuk mengawal gula. Ianya seperti suatu titik akhir dalam kisah kencing manis mereka malah sering digambarkan sebagai satu mimpi ngeri.

Adakah insulin SETERUK itu?

Sesungguhnya ini adalah anggapan yang salah lagi memesongkan!

Insulin bukanlah suatu cara penyembuhan TERAKHIR untuk para pesakit kencing manis. Namun, ianya lebih kepada alternatif dan langkah bijak dalam pengawalan gula. Malah, ianya boleh dimulakan di peringkat AWAL penyakit kencing manis, bagi mereka yang bermotivasi untuk mengamalkannya.

Apakah perkara yang ditakuti serta sering disalah anggap oleh para pesakit? Mari kita senaraikan :

  1. Penggunaan insulin menyakitkan kerana perlu menggunakan jarum
  2. Insulin boleh merosakkan buah pinggang
  3. Insulin menyebabkan saya tidak boleh bergerak aktif
  4. Insulin menyekat kebebasan saya untuk melakukan kerja seharian
  5. Saya mudah mendapat gejala “hypoglycaemia” apabila menggunakan insulin
  6. Saya akan menjadi gemuk secara mendadak dengan insulin
  7. Insulin bermaksud saya tidak pandai mengawal gula, salah saya?

Mari kita nilai kembali andaian-andaian tersebut satu persatu:

Insulin itu menyakitkan?

Kebanyakan pesakit berasa “trauma” dengan jarum yang digunakan ketika mengambil darah di klinik mahupun di hospital. Mereka sering membayangkan penggunaan jarum dan tiub yang besar dalam penggunaan insulin. Anggapan ini adalah salah. Kini insulin tersedia dalam bentuk suntikan pen dengan “ultrafine” needle yang sangat halus dan tidak menyakitkan. Tambahan pula, cara suntikan menegak kepada permukaan kulit adalah kurang menyakitkan berbanding menyuntik jarum secara mendatar di permukaan kulit seperti yang dibayangkan.

Bimbang akan kesan sampingan insulin termasuk kerosakan buah pinggang?

Insulin yang tersedia dalam bentuk “cartridge” sebelum ini diekstrak daripada sumber haiwan, yang mana telah diproses dengan lebih terperinci untuk mengubah ciri-ciri dan bentuknya kepada bentuk atau formulasi yang boleh diterima oleh tubuh manusia tanpa sebarang tindak balas atau kesan sampingan. Perlu anda fahami, insulin tersebut mengandungi unsur-unsur protein seperti enzim-enzim lain yang selamat untuk proses fisiologi dalam badan manusia. Apatah lagi, kini telah tercipta insulin “analogue” yang dihasilkan daripada teknologi makmal menggunakan pengubahsuaian DNA dan genetik yang canggih untuk membentuk semula struktur molekul insulin secara terperinci dan selamat. Struktur insulin ini hampir sama dengan struktur insulin dalam badan manusia yang mana lebih mesra dengan fungsi fisiologi manusia. Sesungguhnya, penekanan perlu diberikan kepada para pesakit, bahawa kegagalan/kerosakan buah pinggang adalah kesan sampingan daripada tahap gula yang sangat tinggi dan bukannya daripada kesan ubat. Pesakit perlu tahu kesan yang akan terjadi jika mereka tidak mengawal paras gula dalam badan. Ia boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah yang sekaligus merosakkan fungsi organ-organ dalaman seperti jantung, otak, buah pinggang dan mata.

Insulin menyebabkan saya tidak boleh bergerak aktif?

Perlu difahamkan bahawa pen insulin boleh dibawa ke mana-mana sahaja asalkan tidak terdedah kepada cuaca yang terlalu panas. Ia boleh dimasukkan ke dalam kocek seluar, di dalam beg tangan wanita malah di dalam beg kerja. Pesakit juga boleh membawa insulin tersebut sekiranya perlu berjalan jauh atau bercuti bersama keluarga. Namun ia tidak boleh ditinggalkan di dalam kereta serta cuaca panas. Sekiranya anda berada di tempat awam, anda hanya perlu pergi ke bilik air sebentar untuk meyelak pakaian untuk memberi suntikan insulin di badan atau duduk sebentar di dalam kereta untuk melakukan suntikan. Ternyata, penggunaan insulin tidak menghalang pesakit yang senantiasa aktif bergerak dan bekerja.

Insulin mengganggu kerja seharian kita?

Ini adalah tidak benar. Kini terdapat pelbagai jenis insulin, termasuk insulin yang bertindak untuk jangka masa panjang (24 jam) seperti glargine yang memerlukan suntikan insulin diberikan sebanyak satu kali sahaja sehari. Kekerapan paling banyak insulin perlu diberikan adalah empat kali sehari, yang mana ianya boleh dilewatkan mengikut waktu makan utama para pesakit kencing manis. Malah untuk suntikan semasa hendak tidur, insulin boleh diberikan selewat yang mungkin apabila pesakit siap sedia untuk tidur. Justeru, tidak timbul isu suntikan insulin memberi ganguan kepada kualiti kerja seharian pesakit. Masa yang diambil untuk penyediaan suntikan insulin dan simpanan juga memerlukan kurang daripada dua minit pada satu-satu masa. Melainkan jika anda perlu menggunakan insulin dari catridge yang baru daripada peti sejuk. Kebiasaannya, tiada kesan darah dilihat pada kawasan suntikan.

Insulin meyebabkan saya mudah mendapat gejala kurang gula?

Insulin yang diambil pada masa yang betul dengan cara serta teknik yang tepat tidak akan menyebabkan pesakit mengalami masalah kurang gula (hypoglycaemia) yang melampau. Gejala hipoglisemia tidak akan berlaku jika pesakit makan pada masa yang ditetapkan selepas pengambilan insulin. Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, kini terdapat insulin analogue yang lebih mesra kepada tubuh manusia dan kurang memberi risiko hipoglisemia, di samping tidak menyebabkan perubahan mendadak pada paras gula sebelum dan selepas makan. Ini dapat meningkatkan kepuasan pesakit terhadap penggunaan insulin. Pesakit juga digalakkan untuk menggunakan mesin glukometer di rumah sekiranya terdapat tanda-tanda kurang gula dan sentiasa menyediakan gula ringkas bersama mereka sekiranya terdapat gejala kurang gula.

Saya mudah menjadi gemuk sejak menggunakan insulin?

Sejujurnya, progres dan pengawalan paras gula semuanya bergantung pada jati diri dan tahap disiplin pesakit tersebut. Insulin tidak akan menyebabkan kegemukan secara mendadak melainkan pesakit sering mempunyai rasa lapar yang kerap akibat pengambilan insulin tidak tepat pada masanya dan pesakit mengambil makanan yang tidak seimbang dengan nilai insulin yang diberi. Ambillah air masak yang kerap dan makanlah banyak sayur-sayuran sebelum makan makanan utama untuk mengelakkan/mengawal nafsu daripada makan dengan banyak. Pastikan suntikan dilakukan selari dengan masa makanan utama bagi mereka yang menggunakan “pre-meals” insulin (insulin jangka pendek). Insulin analogue juga amat membantu dalam memberi kesan penurunan gula yang lebih mesra, tanpa pengurangan gula secara mendadak atau kelaparan yang kerap.

Penggunaan insulin menggambarkan kegagalan saya mengawal gula?

Keperluan menggunakan insulin tidak bermaksud kesalahan/kegagalan pesakit kencing manis dalam mengawal paras gula mereka. Kencing manis adalah penyakit yang berterusan dan tidak boleh sembuh dalam masa beberapa hari atau bulan. Dari setahun ke setahun, fungsi organ pankreas yang merembeskan insulin akan berkurangan dan menjadi tenat, yang mana akhirnya ia tidak mampu lagi mengeluarkan insulin yang mencukupi dan berkesan seperti pada peringkat awal. Justeru, di dalam diari pesakit kencing manis tersebut, akan tiba masanya bila mereka perlu bergantung pada rawatan insulin untuk merehatkan organ pankreas yang telah tenat dan kembali mengawal bacaan gula ke paras normal secara lebih efektif. Perlu ditegaskan, insulin adalah rawatan unggul yang memberi peluang kepada pesakit untuk turut sama terlibat dalam mengawal bacaan gula mereka. Ini juga merupakan simbol amanah di mana pengamal perubatan telah memberikan kepercayaan tinggi terhadap pesakit mereka ketika berada di rumah. Justeru pesakit harus berasa bangga dengan penggunaan insulin ini.

Secara kesimpulannya, segalanya bergantung kepada PEMAHAMAN pesakit kencing manis itu sendiri terhadap penyakit yang dihadapinya dan cara rawatan diberi. Bak kata pepatah; “NAK SERIBU DAYA TAK NAK SERIBU DALIH”. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab para doktor perubatan; bukan sahaja di peringkat kesihatan primer tetapi semua doktor yang mempunyai pesakit kencing manis untuk memberikan penerangan yang terperinci tentang penyakit kencing manis serta kaitannya dengan insulin. Segala salah faham tentang insulin harus diperbetulkan dengan cara yang penuh berilmiah dan sabar. Akhir kata, TAHNIAH kepada pesakit kencing manis kerana telah memilih dan bakal memilih insulin. Mari berfikiran POSITIF!

 

Artikel in ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box