Status Kes Demam Kepialu Di Malaysia & Langkah-Langkah Pencegahan & Kawalan – KKM

Sumber: www.straitstimes.com

Sumber: www.straitstimes.com

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian demam kepialu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor. Pada 25 Oktober 2015, terdapat tiga (3) kes yang kesemuanya dilaporkan dari Selangor. Tiada kes baru dilaporkan di WPKL dan Selangor dari 26 hingga 28 Oktober 2015. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes tifoid yang dikaitkan dengan peningkatan kes tifoid di WPKL semenjak Ogos 2015 sebanyak 55 kes; iaitu 37 di WPKL dan 18 di Selangor. Pada hari ini, tiga (3) kes masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Kes berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan bagi kejadian ini.

Semenjak peningkatan kes dilaporkan pada Ogos 2015, sebanyak 435 premis makanan telah diperiksa dan 80 telah ditutup kerana didapati tidak sanitari (bersih). Manakala 27 notis kompaun telah dikeluarkan kepada tuan punya premis makanan iaitu 25 kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan dua (2) kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan. Seramai 2,229 pengendali makanan telah diperiksa. Dari jumlah ini, seramai 365 (16.4%) pengendali tidak mempunyai status imunisasi tifoid yang sah. Sehingga kini tiada pengendali makanan yang disahkan menjadi pembawa bakteria ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan mengutamakan makanan yang panas dan baru dimasak. Pengusaha dan pengendali makanan pula diingatkan, bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa memastikan premis mereka dalam keadaan sanitari sertapengendalian makanan dibuat secara bersih dan selamat. Edaran risalah berkaitan penyakit tifoid serta pendidikan kesihatan kepada individu dan nasihat berkumpulan juga telah dipergiatkan di premis-premis yang diperiksa.

Maklumat berkaitan tifoid serta langkah pencegahannya boleh diperolehi dari laman sesawang myHealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my.

Sekian dan terima kasih. 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box