Spinal Stenosis: Apabila Jarak Perjalanan Anda Terbatas- Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Pak Amir       : Ya Allah doktor, sakitnya kaki Pakcik ni kalau nak jalan jauh-jauh.

Doktor           : Sakit kat mana tu Pakcik, peha ke, lutut?

Pak Amir       : Kat belakang peha ni doktor, pastu menjalar ke belakang betis Pakcik ni…

Doktor           : Kalau Pakcik duduk, sakit kaki Pakcik tu hilang tak?

Pak Amir       : Kalau duduk sakit tu hilang la Doktor, tapi kalau Pakcik jalan balik, sakit tu  datang balik..

 

Soal jawab seperti di atas adalah tipikal bagi kondisi yang dikenali sebagai Spinal Stenosis. Mengikut definisi, Spine bermaksud ‘tulang belakang’ dan stenosis pula membawa maksud ‘sempit’. Jadi, secara mudahnya, Spinal Stenosis bermaksud ‘ruang tulang belakang yang sempit’.

 

Sakit yang menjalar

Individu yang mengalami masalah Spinal Stenosis biasanya mengadu mengalami kesakitan di bahagian belakang pinggang, punggung atau peha dan menjalar ke betis.

Kesakitan ini hanya terjadi sekiranya pesakit berjalan untuk jarak yang tertentu, dan ia memaksa pesakit untuk berhenti dan duduk. Apabila pesakit duduk, secara automatis kesakitan akan hilang. Kesakitan akan kembali apabila pesakit kembali berjalan untuk jarak yang serupa. Ini memaksa pesakit membongkok ketika berjalan bagi mengurangkan kesakitan mereka.

 

Spinal Stenosis terbahagi kepada 3 bergantung kepada lokasi tekanan saraf berlaku (lihat gambar):

  1. Central Stenosis
  2. Lateral Recess Stenosis
  3. Foraminal Stenosis

Lokasi dan tahap tekanan ini akan menentukan simptom yang akan anda alami, samada sakit kedua belah kaki atau hanya sebelah, kebas atau lemah kaki dan sebagainya. Mengenalpasti lokasi tekanan ini penting kerana ia menentukan rawatan yang bakal diberikan ke atas anda seterusnya.

Punca-punca Spinal Stenosis

Spinal Stenosis terjadi disebabkan oleh tekanan pada saraf tunjang (spinal cord) atau anak saraf (nerve root). Antara punca-punca yang dikenalpasti boleh menyebabkan masalah ini berlaku adalah:

  1. Osteophytes atau penumbuhan tulang-tulang kecil akibat proses penuaan mengakibatkan ruang saraf tunjang menjadi sempit.
  2. Kesan daripada kepatahan tulang belakang menyebabkan anatomi tulang berubah.
  3. Tekanan pelapik tulang atau intervertebral disc yang tidak normal
  4. Spondylolisthesis – tulang belakang beralih atau menggelungsur
  5. Scoliosis – kebengkokkan tulang belakang yang serius
  6. Ketumbuhan pada tulang belakang atau kawasan sekitarnya
  7. Jangkitan kuman yang menyebabkan pengumpulan nanah atau kerosakan pada struktur tulang belakang

 

 Perlukah CT scan atau MRI dilakukan?

Imbasan X-ray akan dilakukan terlebih dahulu bagi melihat struktur tulang belakang pesakit. CT scan biasanya dilakukan bagi melihat struktur tulang manakala MRI atau Magnetic Resonance Imaging pula lebih menjurus kepada melihat keadaan soft tissue (otot dan ligament) dan bagi memastikan sekiranya terdapat ketumbuhan atau pengumpulan nanah.

CT scan dan MRI akan dilakukan sekiranya perlu, selepas doktor melakukan pemeriksaan ke atas anda.

 

Rawatan

Pic source: SpineUniverse

Spinal stenosis boleh dirawat secara konservatif atau pembedahan bergantung kepada tahap kondisi yang dialami dan keadaan setiap pesakit secara keseluruhan.

Pada peringkat awal, doktor akan menasihati anda supaya berehat dan melakukan modifikasi terhadap cara hidup anda. Pesakit akan diberi ubat penahan sakit dan ubat anti-radang bagi mengurangkan kesakitan.

Fisioterapi termasuk menggunakan kaedah haba dan ultrasound membantu bagi sesetengah pesakit. Senaman bagi menguatkan otot belakang dan teknik lumbar traction (menarik pinggang pesakit dengan pemberat bagi meregangkan ruas antara tulang belakang pesakit) juga memberikan hasil yang berbeza bagi setiap pesakit.
Namun sekiranya terdapat bukti tekanan saraf yang serius, pembedahan mungkin perlu dilakukan bagi membesarkan kembali ruang yang sempit.

Sekiranya anda atau saudara anda mengalami simptom sebegini, saya nasihatkan anda segera berjumpa doktor bagi memastikan punca sebenar ia berlaku.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

  1. Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Banaszkiewicz, p265-269
  2. Gambar: http://www.myspinefeelsgreat.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box