Skoliosis: Jangan Tak Pandang Belakangku – Jonathan Goh

skoliosis

Salah seorang pesakit saya yang didiagnos menghidap lengkung kanan toraks 50o pada 2009 dan dipasang pendakap (pendakap keras) selama dua tahun, tetapi tiada rawatan susulan yang tertib selepas pendakap ditanggal dan lengkung menjadi lebih teruk. Beliau kembali menemui saya pada 2013 dengan lengkung 73o. Disyor supaya mendapatkan rawatan pembedahan. Gambar sinar X diterbitkan dengan izin pesakit.

Selama tiga tahun bekerja sebagai juru fisioterapi, tiada kes yang saya temu atau rawat yang lebih menyentuh hati saya selain pesakit yang menderita skoliosis. Apakah skoliosis? Skoliosis ialah kewujudan lengkung menyisi (ke sisi) pada tulang belakang kita. Anggapkan turus tulang belakang kita sebagai landasan keretapi yang lurus; perhatikan bahawa landasan itu seharusnya seimbang dan jika ada satu bonggol atau belok pada landasan boleh membahayakan keretapi yang lalu? Ya, skoliosis itu hampir serupa dengan bonggol atau belok pada tulang belakang anda. Keparahan keadaan ini boleh dikategorikan dengan mengukur darjah lengkungan tulang belakang pada filem sinar X. Skoliosis ringan boleh merangkumi 10°-15°. Skoliosis sederhana merangkumi 26° ke 40° dan skolios berat – lebih daripada 40°.

Kenapa saya kata ia sangat menyentuh hati apabila remaja berusia 15 ke 24 tahun, diiringi ibu bapa mereka, menemui saya dan berkata “saya nampak anak saya ada bonggol semasa menanggalkan pakaian pagi tadi” atau “anak saya sakit belakang”? Ini kerana perkembangan skolisis boleh disekat jika dikesan lebih awal. Kajian membuktikan bahawa masa terbaik untuk merawat skoliosis ialah semasa tahap pecutan tumbesaran remaja (pertumbuhan yang cepat pada plat-plat hujung dalam tulang belakang) dan ini berlaku pada usia 10-14 tahun. Justeru, merawat anak-anak dalam usia ini dapat memberikan natijah yang lebih baik berbanding belia yang tulang belakangnya sudah matang.

Sangat pilu saya rasa apabila melihat pesakit-pesakit ini, bukan kerana kegagalan ibu bapa mereka mengesan keadaan mereka atau skoliosis mereka melarat daripada tahap ringan kepada berat dalam tempoh kurang setahun, tetapi kerana kita sebagai komuniti perubatan gagal menimbulkan kesedaran. Masyarakat seharusnya diperkasa dengan ilmu untuk menghantar anak-anak mereka untuk saringan tulang belakang. Mereka seharusnya dimaklumkan bahawa skoliosis akan membawa kepada kerumitan-kerumitan sekunder seperti sakit belakang akibat otot tak seimbang atau arthritis awal di tulang belakang, sakit sendi khususnya di lutut dan pinggul akibat pola lenggang yang salah, saraf terhimpit dan kesukaran bernafas sekiranya lengkung mencapai 70 darjah atau lebih.

adam-2

Ujian Bongkok Adam: Duduk di belakang kanak-kanak menghadap belakangnya. Arahkan kanak-kanak itu untuk membongkok serendah yang boleh dengan tangannya diletak di antara lutut atau hujung jarinya menyentuh bahu. Perhatikan sangkar rusuk dan turuti hingga ke bawah. Tulang belakang normal tidak akan membonggol atau belikat yang tak seimbang. Source: http://nwchiroclinic.com/blog/?p=124

Buat masa kini, rawatan skoliosis melibatkan sepasukan pakar bergantung kepada tahap lengkungan. Skoliosis ringan boleh diperbetul dengan senaman-senaman khusus untuk pesakit seperti Metode Schroth dan senaman menguatkan otot teras. Skoliosis sederhana memerlukan gabungan senaman fisioterapi dan pendakap tubuh. Akhir sekali, jika dirasakan perlu oleh pakar bedah, pesakit mungkin dibedah sekiranya lengkungan terlalu teruk dan mengganggu pesakit menjalani kehidupan sehari-hari.

Seorang ahli fizik dan kimia Poland yang ternama, Marie Curie, pernah berkata, “Kita tidak pernah perasan apa yang telah dibuat; Kita cuma boleh nampak apa yang masih perlu dibuat”. Saya rasa berapa banyak yang kita, komuniti perubatan, boleh lakukan dengan menawarkan rawatan tercanggih kepada masyarakat tetapi selebihnya kita perlu sentiasa mendidik dang mengingatkan masyarakat betapa pentingnya kesihatan tulang belakang. Lebih banyak saringan seharusnya dijalankan di sekolah, lebih banyak wacana bersama masyarakat diadakan di balai raya dan mengajar setiap warga dewasa dengan ilmu Ujian Bongkok Adam. Ia ialah saringan yang mudah dan ilmu yang membawa kesan yang besar.

En. Jonathan Goh seorang jurufisioterapi, bertugas di Sarawak. Beliau sangat prihatin dalam menimbulkan kesedaran awam tentang isu-isu penting seperti kesihatan tulang belakang.

Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Malaysian Medical Gazette. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/the-unseen-dangers-of-scoliosis-jonathan-goh/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

2 comments for “Skoliosis: Jangan Tak Pandang Belakangku – Jonathan Goh

  1. Anira
    February 14, 2015 at 10:01 pm

    Doc, Saya pesakit skoliosis dimana tulang sy membengkok 54° dn sy telah jalankan operation pd 3tahun lepas. Alhamdulillah. Kesihatan sy semakin baik dn prnafasan sy juga semakin lancar. Sy seorg yg gemarkan aktiviti lasak. Sy nk tnya adakah sy boleh menyertai aktiviti lasak smula?

  2. rasidah
    June 17, 2015 at 11:23 am

    Hi.
    Memang benar_ amat kurang & tiada langsung “SCOLIOSIS AWARENESS” di Malaysia berbanding negara luar yg mana pada tiap2 tahun pada bulan June di panggil “sColiosis Awareness.

    Sebenarnya dengan ada kesedaran ini dapatlah kita memupuk nilai semangat diri dan juga berani di kalangan remaja or kanak2 yang bakal berdepan dengan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box