Situasi Terkini Kejadian Gigitan Anjing Berkaitan Rabies – KKM

Sumber: www.thinglink.com

Sumber: www.thinglink.com

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dimaklumkan sehingga 17 September 2015, terdapat tiga (3) negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang diwartakan sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Rabies). Untuk makluman, TIADA pesakit/manusia yang positif dijangkiti Rabies.

Sehingga 17 September 2015, terdapat 39 kejadian gigitan anjing pada manusia (25 di Perlis, sembilan (9) di Kedah dan lima (5) di Pulau Pinang) yang melibatkan 39 ekor anjing di mana 10 telah disahkan positif Rabies. Kesemua mereka yang digigit telah pun mendapatkan rawatan berserta dengan vaksin anti-Rabies di hospital, berkeadaan stabil dan tiada gejala penyakit Rabies. Mereka ini akan terus dipantau dalam satu tempoh tertentu bergantung kepada status kesihatannya.

Pihak KKM termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, JKN Perlis dan JKN Pulau Pinang telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini melalui aktiviti berikut:

  1. Pengurusan kes indeks (pesakit) terkena gigitan;
  2. Pengeluaran health alert kepada pengamal perubatan;
  3. Pengukuhan aktiviti survelan pemantauan kes gigitan;
  4. Pengukuhan pengurusan kes gigitan anjing;
  5. Penyediaan stockpile vaksin rabies dan immunoglobulin; dan
  6. Pengukuhan aktiviti promosi kesihatan.

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkaitan Pemantauan Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Liar oleh KKM sebagai kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan jangkitan Rabies di kalangan manusia telah pun dikeluarkan pada 28 Ogos 2015 sebagai makluman awal kepada orang awam bagi mengambil langkah-langkah pencegahan.

Penyakit Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirusyang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti Rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies. Tempoh inkubasi Rabies pada manusia adalah dalam tempoh 2 – 12 minggu tetapi terdapat laporan menyatakan boleh sehingga enam (6) tahun. Individu atau manusia yang dijangkiti Rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma. Penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian 100% pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Sehingga tahun 2014, Malaysia adalah bebas daripada Rabies di mana kejadian terakhir penyakit Rabies menjangkiti manusia adalah pada tahun 1998 dan kes di kalangan haiwan adalah pada tahun 1999. Namun begitu, negara-negara jiran di Asia Tenggara masih melaporkan kejadian penyakit Rabies dari masa ke semasa. KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan pemantauan kejadian gigitan anjing (manusia dan anjing yang terlibat) di Malaysia terutamanya di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila dan kawasan penampan Rabies (Rabies Immune Belt) sebagai tindakan kawalan dan survelan.

Oleh yang demikian, KKM ingin menasihati orang awam di Malaysia terutama yang tinggal di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila dan kawasan penampan Rabies agar dapat mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelak dijangkiti penyakit Rabies:

  1. Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan anjing peliharaan atau anjing liar;
  2. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  3. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

19 September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box