SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA Bagi Minggu 7/2014 (9 – 15 Februari 2014) – KKM

logo-KKMPada minggu ke 7 tahun 2014, sebanyak 2,265 kes telah dilaporkan iaitu meningkat 68 kes (3.1%) berbanding dengan minggu sebelumnya 2,197 kes. Jumlah kumulatif kes Denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah 13,915 kes berlaku peningkatan sebanyak 302.2% (10,455 kes) berbanding dengan hanya 3,460 kes dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun 2013. Terdapat sepuluh (10) negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang 24 kes (150%), Kelantan 20 kes (20%), Johor 20 kes (18%), Pulau Pinang 17 kes (46%), Perak 16 kes (12%), Terengganu 11 kes (110%), Melaka 10 kes (14%), Kedah 4 kes (24%), Sabah 4 kes (24%) dan Sarawak 3 kes (11%).

Pada minggu lepas, terdapat enam (6) kematian denggi dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian Denggi sehingga kini adalah sebanyak 25 kematian, meningkat sebanyak 17 kematian (213%) berbanding hanya lapan (8) kematian direkodkan bagi tempoh yang sama tahun 2013.

Berikutan situasi denggi yang masih melaporkan kes dan kematian yang tinggi, Kementerian Kesihatan meneruskan pemantauan rapi dan tindakan proaktif dalam mengawal situasi denggi diseluruh negara. Disamping perlaksanaan kaedah kawalan baharu, peringkat tertinggi Kementerian Kesihatan mengadakan mesyuarat setiap minggu bersama statsnegeri – negeri yang bermasalah denggi termasuk bersama pakar penyelidik, pakar klinikal dan agensi lain yang berkaitan. Antara perkara yang akan dilaksanakan hasil keputusan mesyuarat tersebut adalah:

  1. Bagi kawasan hotspots semburan kabus secara kombinasi iaitu menggunakan racun serangga (insecticide) dan temephos bagi membunuh nyamuk dewasa dan larva secara serentak bagi memastikan aktiviti kawalan lebih berkesan.
  2. Pemantauan rapi di kawasan berwabak akan diteruskan termasuk mempastikan pegawai pegawai dari setiap daerah dan negeri “turun padang” dan membuat pemantauan di lapangan.
  3. Setiap Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti punca punca pembiakan utama termasuk di tapak tapak binaan dan memfokus intervensi mengikut masalah setempat.
  4. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan agar kesedaran masyarakat terhadap menghapuskan tempat tempat pembiakan di praktikkan dalam amalan harian mereka.
  5. Kementerian Kesihatan akan mengadakan gotong-royong secara serentak di sepuluh lokaliti hotspots pada awal bulan Mac. Penyertaaan agensi lain termasuk Badan Bukan Kerajaan di alu alukan.
  6. Meningkatkan kesedaran masyarakat bagi melindungi diri gigitan nyamuk melalui penggunaan repellen dan penggunaan aerosol.
  7. Mempertingkatkan aktiviti kawalan melalui pengurangan sumber pembiakan Aedes yang lebih menyeluruh dilokaliti melalui penglibatan semua agensi. Ianya berkesan dalam kawalan denggi untuk tempoh yang lebih lama.

Diharapkan dengan perlaksanaan perkara-perkara ini, ianya dapat mengekang peningkatan kes dan kematian denggi yang berlaku pada ketika ini. Cara paling berkesan mencegah denggi adalah mempastikan tiada nyamuk Aedes di persekitaran kita. Oleh itu, saya ingin menyeru semua masyarakat meningkatkan aktiviti mencari dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes setiap minggu dan menjaga kebersihaan dalam rumah serta persekitaran mereka.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Kenyataan akhbar ini diambil daripada Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia dengan izin Ketua Pengarah Kesihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box