Apakah “Shaken Baby Syndrome” ? – Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Siapa yang tidak gembira apabila mendapat cahaya mata. Seorang bayi adalah umpama anugerah terindah buat pasangan suami isteri, dan juga keluarga besar bayi itu termasuk datuk, nenek, ibu dan bapa saudara, malah sepupu-sepupu kepada anak itu.

Pantun lama orang Melayu ada yang berbunyi, “buai laju-laju, sampai cucur atap”, kerana masyarakat kita ramai yang menidurkan anak di dalam buaian. Namun hakikatnya menidurkan bayi di dalam buaian, mahupun menimang bayi ada bahayanya tersendiri.

Shaken Baby Syndrome atau Sindrom Bayi Digoncang, ada kalanya berlaku dengan tidak disengajakan. Ibu bapa atau datuk dan nenek yang terlalu teruja dengan bayi yang comel, mungkin menimang bayi tersebut dengan keterlaluan hingga menggoncang bayi tersebut. Apabila bayi dipegang pada badannya dan digoncang, leher bayi yang masih lembut, tidak mampu menampung berat kepalanya yang lebih besar, hingga berlaku pergerakan kepala ke hadapan dan ke belakang, dan seterusnya pergerakan otak di dalam tengkorak boleh menyebabkan salur darah pecah dan pendarahan berlaku di dalam otak (“subdural” atau “sub-arachnoid haemorrhage”) dan mata (1). Selain itu, kecederaan yang boleh berlaku adalah retak pada tengkorak jika terhentak ke permukaan yang keras. Kecederaan akibat Sindrom Bayi Digoncang ini boleh menyebabkan hilang penglihatan, kecacatan anggota badan yang kekal mahupun kematian (2).

Sumber gambar: Statistic Brain

Sindrom Bayi Digoncang ini juga dikenali sebagai Abusive Head Trauma (AHT) kerana ia sering berlaku dalam kes penderaan kanak-kanak. Ia adalah antara penyebab utama kecederaan kepala yang serius di kalangan bayi iaitu 64% daripada semua kecederaan kepala, dan 95% daripada semua kecederaan kepala yang serius, adalah disebabkan Sindrom Bayi Digoncang ini. (3) Oleh itu, setiap kes yang dimasukkan ke hospital akan disiasat dengan teliti bagi memastikan bayi ini mahupun kanak-kanak lain yang mungkin di bawah jagaan penjaga yang sama, tidak menghadapi risiko penderaan.

Bayi yang berisiko untuk mendapat kecederaan sebegini adalah bayi yang berusia kurang daripada setahun terutamanya yang kurang daripada 6 bulan, bayi yang kuat menangis dan bayi yang mana penjaganya menghadapi tekanan perasaan sama ada kemurungan atau masalah psikologi yang lain. Ibu bapa yang terlalu muda, keadaan keluarga yang tidak stabil, kelas sosio-ekonomi yang rendah dan bayi yang pramatang atau kurang upaya juga merupakan antara faktor risiko bayi didera. (4)

Antara simptom bayi yang mengalami Sindrom Bayi Digoncang ini adalah nampak letih (lethargy), meragam (irritability), petanda meningitis, sawan, kejang atau tona lembik pada anggota kaki atau tangan, tidak sedarkan diri, muntah, tidak mahu makan atau minum, masalah pernafasan atau apnea. Bayi yang mengalami mana-mana simptom seperti ini harus dibawa ke hospital dengan segera.

Di unit kecemasan, bayi ini akan dirawat dengan rawatan kecemasan dan seterusnya pemeriksaan lanjut dijalankan apabila bayi sudah stabil. Bayi ini selalunya akan menjalani pengimbasan otak (CT atau MRI), X-Ray tulang bagi memeriksa jika ada patah tulang, dan ujian darah bagi memastikan bayi ini tidak mengalami masalah pembekuan darah.

Pemeriksaan mata bayi yang mengalami Sindrom Bayi Digoncang ini, kelihatan normal sahaja dari luar, tiada lebam, bengkak atau pendarahan di luar kelopak mata dan sekitarnya. Namun apabila pemeriksaan di dalam mata dijalankan, kebiasaannya mereka mengalami pendarahan di dalam atau di atas retina, bengkak saraf retina atau saraf retina merekah dan melekang antara satu sama lain (retinoschisis). Gel yang terdapat di dalam bola mata juga mungkin mengandungi darah, dan keadaan ini dipanggil “vitreous haemorrhage”.

Adakah bayi yang mengalami Sindrom Bayi Digoncang akan mengalami hilang upaya kekal?

Kebiasaannya pendarahan di dalam retina boleh sembuh sepenuhnya tanpa sebarang pembedahan, namun pendarahan di dalam gel vitreous boleh menghalang penglihatan mata bayi, dan seterusnya menyebabkan mata malas atau amblyopia. Jika pendarahan banyak dan berlarutan sehingga 4 minggu, pembedahan akan dijalankan bagi membersihkan darah di dalam gel vitreous tersebut.

Hilang penglihatan kekal boleh berlaku jika kecederaan berlaku pada saraf optik (ibu saraf) menyebabkan saraf itu mati (optic atrophy), parut pada saraf retina (retinal scarring) atau cedera pada otak yang terlibat dengan deria penglihatan.

Selain hilang penglihatan, kecederaan pada otak bayi juga boleh menyebabkan perkembangan yang terbantut (developmental delay), sawan, lumpuh mahupun kematian. Menurut laporan statistik, 15-30% daripada bayi yang mengalami Sindrom bayi Digoncang ini, meninggal dunia, dan hanya 10% daripada mereka yang sembuh sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi(5). Satu kajian di Jepun pula menunjukkan, selain 32% daripada bayi meninggal dunia, 34% yang lain mengalami kecacatan yang serius hingga mereka terlantar di atas katil hingga akhir hayat mereka (vegetative state) (6).

Memandangkan kesan Sindrom Bayi Digoncang ini adalah satu keadaan yang serius, ia harus diambil berat oleh ibu bapa, masyarakat, kakitangan kesihatan dan badan berwajib bagi membendung kejadian ini, serta membolehkan tindakan diambil dengan pantas sekiranya berlaku.

Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan UiTM

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan

  1. Shaken Baby Syndrome: a review. Mian M, Shah J, Dalpiaz A, Schwamb R, Miao Y, Warren K, Khan S. Fetal Pediatr Pathol. 2015 Jun;34(3):169-75. doi: 10.3109/15513815.2014.999394. Epub 2015 Jan 23.
  1. Shaken Baby Syndrome, American Association for Pediatric Ophthalmology and Strabismus, https://aapos.org/terms/conditions/97 (Date Accessed: ?)
  1. Billmire ME, Myers PA: Serious head injury in infants: accident or abuse? Pediatrics 75: 340– 342, 1985. [PubMed]
  1. Starling SP, Holden JR, Jenny C: Abusive head trauma: the relationship of perpetrators to their victims. Pediatrics 95: 259– 262, 1995. [PubMed]
  1. Reece RM: Controversies in shaken baby/shaken impact syndrome, in Palusci VJ, Lazoritz S, editors. (eds): The Shaken Baby Syndrome. A Multidisciplinary Approach. Binghamton, The Haworth Press, 2001, pp 367– 388
  1. Miki T: Child abuse with head injury in Japan. Neurotraumatology 25: 71– 77, 2002.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box