Senyuman Cantik & Sihat – Dr Marini Ismail

 

“Doktor, bagaimana saya boleh putihkan gigi?”

Soalan yang biasa kedengaran setiap kali bertemu dengan pesakit. Rasanya hampir semua orang inginkan gigi yang putih. Tetapi apalah gunanya jikalau gigi putih tetapi penjagaan gigi dan gusi diabaikan? Ibarat sebuah rumah yang besar dan tampak indah tetapi interiornya kotor dan bersepah-sepah.

Sebenarnya, kecantikan gigi bermula daripada kebersihan dan kesihatan gusi serta gigi. Cara memastikan gusi dan gigi bersih serta sihat sentiasa adalah bukan sahaja dengan mengetahui cara pemberusan gigi yang berkesan, tetapi anda juga harus bertemu dengan doktor gigi bagi menjalani pemeriksaan mulut berkala sekurang-kurangnya 6 bulan sekali. Seperti di tempat kerja kita, pasti ada audit dalaman yang dilakukan supaya dapat memastikan perjalanan gerak kerja di pejabat sentiasa berkeadaan baik atau mutu kerja dapat ditingkatkan, apatah lagi kesihatan mulut kita yang sepatutnya dilakukan/dijalankan ‘audit’ oleh doktor gigi.

Kejayaan rawatan pergigian juga bergantung kepada cara anda menjaga kesihatan mulut. Sekiranya tidak dijaga, plak gigi mudah terkumpul dan lama kelamaan bertukar menjadi karang gigi.Ini menyebabkan gusi bengkak dan mudah berdarah. Kebersihan mulut yang buruk dengan gusi yang bengkak dan mudah berdarah menyukarkan doktor gigi untuk membuat tampalan dengan sempurna sekiranya terdapat kaviti (karies) pada gigi. Jika dapat ditampal sekalipun, kebarangkalian untuk tampalan itu tertanggal adalah lebih tinggi. Oleh sebab itu, seringkali rawatan pergigian seperti pengskaleran (pencucian gigi) dimulakan terlebih dahulu bagi membuang kotoran seperti plak, karang gigi dan ‘stain’ (penyahwarnaan).

Cuba anda bayangkan sekiranya gigi sudah ditampal dengan baik tetapi kesihatan gusi tidak diendahkan, lalu gigi tersebut akhirnya menjadi longgar dan mungkin terpaksa dicabut. Jadi apalah gunanya membuat tampalan tetapi akhirnya gigi terpaksa dicabut? Begitu juga dengan rawatan pergigian yang lain seperti pembinaan korona danjambatan, gigi palsu dan rawatan salur akar (root canal treatment) yang memerlukan kesihatan gusi optimum bagi menjamin kejayaan rawatan tersebut, serta gigi yang sedia ada mampu bertahan hingga ke hujung usia. Sudah pasti anda tidak mahu wang yang dilaburkan bagi mendapatkan rawatan pergigian terbuang dengan sia-sia, bukan?

Gusi dan gigi yang sihat bukan sahaja menjamin kejayaan sesebuah rawatan pergigian malah ia membantu mengembalikan keyakinan anda untuk bersosial di khalayak ramai. Anda pastinya malu untuk senyum atau bercakap sekiranya gigi hadapan anda berlubang besar atau bergoyang, bukan? Anda juga pasti akan mengelakkan diri untuk berbicara dengan teman sekiranya mulut anda berbau!

Usah malu bertemu dan berbincang dengan mana-mana doktor gigi di klinik gigi yang diiktiraf berdekatan dengan anda. Terdapat pelbagai pilihan rawatan pergigian pada zaman serba moden ini daripada menggantikan gigi yang hilang, tampalan, pemutihan gigi sehinggalah tahap untuk mendapatkan senyuman menawan seperti artis di Hollywood! Namun begitu, utamakanlah kesihatan dahulu, demi mendapatkan ‘kecantikan’ yang sebenar dan berkekalan!

Dr. Marini adalah seorang pegawai pergigian yang berkhidmat di Selangor.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

2 comments for “Senyuman Cantik & Sihat – Dr Marini Ismail

  1. Karina
    August 14, 2015 at 11:41 pm

    Apakah rawatan untuk dental fluorosis?

    • Aswani
      January 12, 2016 at 3:36 pm

      Rawatan untuk dental fluorosis bergantung kepada keterukan/severity keadaan tersebut
      Untuk kes yang ‘mild’- rawatan microabrasion dan tampalan adalah memadai tetapi untuk kes yang lebih teruk, pesakit mungkin memerlukan veneer atau crown

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box