Selaput Mata: Katarak atau Pterygium? – Dr Siti Sarah Seri Masran

Kebelakangan ini telah menular di media sosial mengenai seseorang yang menawarkan servis untuk merawat dan menghilangkan penyakit selaput mata. Selaput mata yang didakwa katarak dapat sembuh dengan cara beliau. Lebih meyakinkan lagi, ada video disertakan. Maka berpusu-pusu pembaca media sosial menyatakan minat untuk mencuba.

Melihatkan situasi ini, mencetuskan suatu kebimbangan buat para doktor dan semestinya pakar mata. Bukan kerana kami takut akan adanya pesaing baru tapi bimbang akan kesannya pada pesakit. Amat penting bagi pesakit khususnya di Malaysia ini untuk tidak sewenang wenangnya percaya akan berita rawatan yang tidak pasti kesahihannya. Pesakit disarankan untuk bertanya atau lakukan sedikit selidikan mengenai penyakit tersebut sebelum pergi melakukan rawatan.

Selaput mata, di kalangan masyarakat Malaysia khususnya kaum melayu agak sinonim dengan penyakit katarak. Namun ada juga yang beranggapan selaput mata itu adalah selaput yg berada di bahagian depan mata. Ada juga yang beranggapan selaput yang di bahagian depan mata itulah katarak. Ini adalah kecelaruan yang agak biasa pesakit hadapi. Namun kecelaruan yang berterusan boleh menjadi suatu penyakit yang lebih merbahaya, lantas bertanyalah pada orang yang berilmu dan tidak punya agenda bisnes disebaliknya.

Mengenai selaput mata yang dikelirukan sama ada katarak atau “ pterygium”.

Katarak (cataract) merupakan suatu penyakit mata yang berkaitan dengan kanta mata. Dimanakah kanta tersebut berada di dalam mata? Kanta berada di sebalik anak mata dan iris (yang memberikan warna mata). Kanta yang asal dan sihat adalah jernih dan membenarkan cahaya masuk ke lapisan retina untuk proses imej terjadi. Apabila usia semakin meningkat, seawal umur 50 dan ke atas, kanta akan mula menjadi keruh dan berwarna kekuningan.Ini akan menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam mata menjadi kurang tepat dan menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Secara umum, katarak sering berlaku pada usia tua.

“Pterygium” pula adalah selaput yang berada di hadapan mata. Kebiasaannya tumbuh dari tepi di bahagian konjunktiva dan tumbuh perlahan-lahan ke bahagian tengah mata iaitu kornea. “Pterygium” memang senang kelihatan kerana keberadaannya di bahagian paling luar mata. Penyakit ini boleh terjadi pada golongan yang muda dan tua. Kebiasaannya pada pesakit yang mempunyai pekerjaan atau sering terlibat dalam aktiviti yang terdedah pada matahari. Contohnya adalah seperti anggota polis trafik, tentera, ahli sukan, dan tukang kebun.

Apakah rawatan bagi penyakit katarak dan “pterygium”?

Jawapannya adalah pembedahan. Ya, kedua-duanya memerlukan pembedahan yang dilakukan oleh doktor yang terlatih di bahagian mata. Namun, cara pembedahannya adalah berbeza dan perlu dilakukan di dewan bedah dan menggunakan peralatan yang bersih. Pembedahannya memerlukan latihan dan tidak semua doktor dapat melakukannya melainkan doktor yang sudah dilatih di bahagian mata. Ianya tidak semudah seperti yang ditular di media sosial. Tiada ubat titis yang bisa mencairkan “pterygium” dan menjernihkan katarak semula. Tiada juga pemakanan tambahan yang bisa menghilangkan semua penyakit mata. Segala kerunsingan dan pertanyaan pesakit disarankan bertanya terus kepada doktor pakar mata. Semoga kita tidak dizalimi oleh perbuatan kita sendiri.

 

Dr Siti Sarah seorang pakar mata yang bertugas di USIM.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box