Selamatkah Rawatan PDE5-I (cth: Viagra) untuk “Mati Pucuk” ?- Dr Mohammad Hj. Che’ Man

Mati pucuk (erectile dysfunction) menjadi igauan pesakit yang biasanya disebabkan oleh kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung koronari yang tidak terkawal. Mereka tidak dapat mempertahankan ereksi (ketegangan penis) seperti yang dimahukan. Melalui kajian yang dijalankan, phosphodiesterase type 5 inhibitor (PDE5-I) adalah penawarnya dan menjadi ubat pilihan utama yang digunakan dalam rawatan “mati pucuk”. Ianya berfungsi dengan meningkatkan paras cyclic guanosine monophosphate(cGMP) di dalam otot penis.

 

Mati pucuk didefinisikan sebagai ketidakupayaan untuk mencapai ereksi atau mengekalkan ereksi yang cukup untuk kepuasan seksual.

Jenis- jenis ubat PDE5-I yang terdapat di dunia:

PDE5-I adalah ubat yang sangat efektif, senang didapati dan kesan sampingan yang tidak teruk yang boleh diramal. Contoh PDE5-I jangka masa pendek adalah seperti sildenafil (Viagra), vardenafil (Levitra) dan avanafil (Stendra) manakala PDE5-I jangka masa panjang adalah seperti Tadalafil (Cialis) dan udenafil (Zydena).

PDE5-I jangka masa pendek: Antara 4 hingga 8 jam keberkesanan

  1. Sildenafil (Viagra- 100mg):Telah disahkan pada tahun 2002 dalam kajian membuktikan bahawa ianya adalah efektif untuk rawatan mati pucuk. Banyak kajian lain telah membuktikan bahawa ianya adalah sangat efektif dan selamat digunakan untuk rawatan mati pucuk. Untuk mencapai tahap keberkesanan yang maksimum, pil sildenafil perlu di makan dengan perut kosong sejam sebelum merancang melakukan hubungan seksual dengan pasangan. Dos permulaan disarankan sebanyak 50mg dan perlu dikurangkan separuh iaitu 25mg jika berlaku sebarang kesan sampingan. Sekiranya dos yang diambil tidak mencapai apa yang diinginkan, tambahan dos iaitu 100mg boleh diambil. Waktu keberkesanannya adalah sehingga 4 jam sahaja.
  1. Vardenafil (Levitra- 5, 10, 20mg): Pada tahun 2005 telah disahkan setanding Viagra untuk rawatan mati pucuk. Mempunyai struktur yang sama, tindakan dan waktu keberkesanan yang hampir sama dengan Viagra iaitu 4 jam. Melalui kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan vardenafil adalah setanding Viagra untuk rawatan mati pucuk ini. Ianya sangat berkesan sekiranya diambil ketika makan. Pengambilan makanan yang berlemak boleh mengurangkan keberkesanan ubat vardenafil. Pil tablet adalah dalam bentuk 10mg dan 20mg.

 

  1. Avanafil (Stendra): Merupakan PDE5-I jangka masa pendek terbaru dan disahkan selamat oleh ‘Food and Drug Administration’ (FDA) pada tahun 2012. Separa hayatnya adalah seperti sildenafil dan vardenafil. Ianya boleh dimulakan dengan pengambilan dos 50mg dan di tingkatkan pada dos 100mg dan juga 200mg diambil apabila perlu.Dinasihatkan supaya mengambilnya 30 minit sebelum hubungan seksual. Pengambilannya adalah tiada perkaitan dengan pemakanan.

 

PDE5-I jangka masa panjang: Tempoh keberkesanan antara 24 hingga 36 jam

 

  1. Tadalafil (Cialis- 10, 20mg): Telah dipasarkan pada tahun 2004 setelah kejayaan Viagra dalam rawatan mati pucuk. Mempunyai struktur kimia yang berbeza dengan sildenafil dan vardenafil. Kajian telah membuktikan bahawa tadalafil adalah setanding sildenafil dan vardenafil tetapi mempunyai keberkesanan yang lebih lama. Dos yang disarankan adalah 10mg untuk permulaan dan boleh dinaikkan sehingga 20mg. Tadalafil juga telah disahkan penggunaannya untuk rawatan pesakit yang mempunyai gejala penyakit prostat.
  1. Udenafil (Zydena- 100, 200mg): Dihasilkan oleh syarikat dari Korea pada tahun 2005 dan terbukti efektif untuk rawatan mati pucuk, selamat dan diterima oleh pesakit melalui kajian-kajian yang dibuat. Tindakan ubat ini adalah sehingga 24 jam. Keberkesanannya terbukti selepas 30 minit pengambilannya. Pengambilan boleh diambil sekiranya perut kosong atau tidak. Dos permulaan disarankan adalah 100mg manakala dos maksimum adalah 200mg.

Rumusan atau “Checklist” sebelum memulakan rawatan PDE5-I:

  1. Pastikan ianya adalah ubat PDE5-I yang tulen.
  2. Perlu memastikan pesakit tidak makan ubat yang berada dalam kumpulan ‘Nitrate’ atau apa- apa kumpulan jenis ubat yang berkaitan.
  3. Masa untuk makan ubat adalah sangat penting. Sesetengah ubat perlu dimakan ketika perut kosong contohnya sildenafil dan vardenafil.
  4. Dos yang diberikan adalah sesuai dengan keadaan pesakit. Untuk orang tua, di sarankan pengambilan separuh dari dos biasa.
  5. Stimulasi/ransangan adalah sangat penting selepas pengambilan ubat. Salah satu cara adalah dengan mengurut kemaluan atau “foreplay”.
  6. Kesan sampingan ubat PDE5-I yang utama adalah sakit kepala.
  7. Kesan sampingan yang jarang adalah ‘priapism’ iaitu ereksi yang melebihi 4 jam yang memerlukan rawatan kecemasan.
  8. Harganya yang mahal sudah diketahui umum tetapi sangat efektif dan selamat.
  9. Tindakbalas setiap jenis ubat PDE5-I adalah berbeza. Sesetengah pesakit efektif dengan sesuatu jenis PDE5-I akan tetapi sesetengahnya tidak efektif.
  10. Kita dapat melabel seseorang itu gagal dengan ubat PDE5-I apabila telah menggunakan dos maksima dan membuat percubaan sebanyak 7 hingga 8 kali untuk setiap jenis PDE5-I.

RUJUKAN:

  1. American College of Physicians (ACP) Clinical Guideline for treatment of erectile dysfunction.
  2. American Urological Association (AUA) guideline for erectile dysfunction 2018.

 

ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA

(MD. UKM, MMED.USM)

SPECIAL INTEREST: MEN’S HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY

DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,

KULLIYYAH OF MEDICINE,

IIUM KUANTAN PAHANG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box