Selamat Hari Malaysia: Kedudukan Kesihatan Malaysia – Dr Mohd Shaiful Ehsan

Sumber gambar: Sinar Harian

Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kini Malaysia berusia 55 tahun dan masih terus membangun. Sejak penubuhannya, Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan dan mencipta nama di persada antarabangsa. Perkhidmatan kesihatan di Malaysia juga telah mencapai tahap yang membanggakan, daripada pertambahan bilangan hospital pakar kerajaan kepada penambahbaikan perkhidmatan kesihatan primer untuk keperluan masyarakat setempat. Namun bagaimana dengan pencapaian tahap kesihatan penduduknya berbanding negara-negara lain? Cemerlang? Memuaskan? Atau Juara?

Merujuk kepada Laporan Sedunia Terhadap Penyakit Tidak Berjangkit 2014 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penduduk Malaysia mempunyai nilai kebarangkalian kematian akibat penyakit-penyakit kronik utama sebanyak 19.6 %, iaitu hampir dua kali ganda berbanding negara jirannya Singapura. Biarpun ianya antara nilai yang hampir serupa berbanding negara-negara membangun yang lain seperti Thailand, China dan Brazil, namun ia merupakan antara nilai yang tertinggi di rantau Asia Tenggara selepas Filipina dan Indonesia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2018, penyakit-penyakit tidak berjangkit ini menyumbang kepada 73% punca kematian di kalangan rakyat Malaysia, iaitu termasuk 35% penyebab kematian muda pada penduduk Malaysia. Fenomena ini jelas menunjukkan tahap kesihatan penduduk Negara adalah di tahap yang membimbangkan. Sekaligus boleh menggugat daya saing dan produktiviti negara untuk jangka masa yang panjang jika tidak dibendung. Walau bagaimanapun, jangka hayat penduduk Malaysia dijangka berjaya dilanjutkan sehingga mencecah umur 72 tahun bagi lelaki dan mencecah umur 77 tahun bagi wanita, sejajar dengan pencapaian negara jirannya berkat penambahbaikan perkhidmatan kesihatan dan peningakatan tahap kemajuan negara.

Sumber gambar: Kosmo

Namun begitu, kewujudan risiko-risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit adalah semakin tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Kebanyakannya juga adalah yang tidak dapat dikesan awal. Malaysia merupakan juara Asia tenggara berturut-turut dari segi peratusan penduduk menghidapi penyakit kencing manis, berlebihan berat badan dan obesiti, iaitu masing-masing sebanyak 17.5%, 30.0% dan 17.7 % untuk data terkini pada 2015. Ini adalah penigkatan yang mendadak dalam masa 5 tahun akibat kemunculan kes-kes baru yang semakin meningkat. Mengikut kajian kaum di Malaysia, komuniti India adalah kaum tertinggi menghidap penyakit kencing manis berbanding kaum lain. Manakala kaum Melayu merupakan yang tertinggi yang tidak sedar akan penyakit kencing manis yang dihidapi. Amat mengemparkan apabila hampir 80% daripada pesakit kencing manis di Malaysia tidak mampu mengawal kencing manis mereka secara optima.

Sumber gambar: utusan.com.my

Penduduk Malaysia juga adalah penduduk paling gemuk di Asia tenggara (merangkumi jumlah obesiti dan berlebihan berat badan) iaitu sebanyak 44.2%, jauh meninggalkan pesaing kedua Thailand dengan perbezaan 10%. Lagi membimbangkan apabila kanak-kanak di Malaysia adalah antara yang paling gempal di rantau ini, iaitu mencecah sehingga 10% kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan dan 6% mengalami masalah kegemukan (obesiti). Fenomena ini dijangka berterusan dan bertambah teruk sehingga 20 tahun mendatang sekiranya cara hidup rakyat Malaysia tidak berubah. Ianya banyak disumbangkan oleh faktor pemakanan dan kurangnya pergerakan fizikal yang aktif di kalangan penduduk. Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia jelas menunjukkan Malaysia antara negara yang tertinggi di dunia selepas Columbia, Kepulauan Cook Arab Saudi dan Kuwait yang mana mempunyai kadar penduduk tidak aktif secara fizikal.

Secara purata, seorang penduduk di Malaysia mengambil kira-kira 3.5 hingga 4.25 gram garam sehari. Iaitu tergolong dalam kategori kedua tinggi mengikut kajian berbanding jumlah pengambilan sedunia. Ianya lebih tinggi berbanding negara jiran Indonesia, namun sedikit rendah berbanding Singapura. Biarpun merupakan sebuah negara Islam, jumlah perokok aktif di Malaysia adalah sekitar 23.3%, iaitu jumlah yang hampir sama dengan jumlah perokok secara purata di antara negara-negara membangun. Ini sekaligus merupakan faktor yang menyumbang kepada fakta bahawa hampir separuh penduduk Malaysia yang berusia 30 tahun dan ke atas adalah pesakit darah tinggi (43.5%). Namun, hanya 35% daripada jumlah pesakit ini mampu mencapai bacaan darah tinggi yang terkawal.

Purata pengambilan alkohol per kapita bagi penduduk Malaysia berusia 15 tahun pada tahun 2012 ialah 1.4 liters, antara yang terendah berbanding negara Asia tenggara yang lain. Namun ianya dua kali ganda lebih tinggi berbanding negara jiran Islamnya, Indonesia. Pengambilan alkohol yang berlebihan bukan sahaja boleh merosakkan fungsi hati, tetapi juga menyumbang kepada penyakit kardiovaskular dan komplikasi darah tinggi.

Kesimpulannya, tahap kesihatan penduduk Malaysia terutama dari segi penyakit-penyakit kronik dan cara hidup adalah semakin meruncing dari tahun ke tahun. Ini jelas berpunca daripada sikap rakyat Malaysia itu sendiri. Apalah guna penambahbaikan kemudahan kesihatan yang giat disediakan oleh pihak kerajaan, sekiranya kesedaran rakyat Malaysia itu sendiri berada pada takuk yang lama. Marilah “Merdekakan” sikap dan peranan kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah ambil tanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri. Salam Hari Malaysia!!!!

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

 

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau. Artikel ini ditulis sempena Hari Malaysia. 

Rujukan:

  • WHO Malaysia – Country Cooperation Strategy at a Glance May 2018
  • WHO World Health Statistics 2015
  • National Health Morbidity Survey Report 2015.
  • WHO Global Status Report on Non-communicable Disease 2014

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box