Sebatang Gigi Untuk Setiap Kehamilan? – Dr Husna Razak

Hujan renyai di luar. Seorang wanita yang sarat mengandung mengalami kesukaran berjalan ke klinik pergigian, berhenti setiap beberapa langkah tercungap-cungap. Wanita tersebut memegang bahagian kiri mukanya. Selepas pendaftaran, dibawa masuk bilik rawatan. “Doktor, sepatutnya saya dimasukkan ke Hospital X hari ni untuk melahirkan anak tetapi mereka menolak kerana muka saya bengkak,” katanya.

Pemeriksaan teliti menunjukkan pesakit mengalami facial cellulitis (jangkitan bahagian muka) yang disebabkan oleh gigi and gusi yang rosak. Dengan segera saya rujukkan kepada hospital awam terdekat di mana dia akan diberi rawatan sewajarnya.

Anda mungkin tertanya, bolehkah situasi cemas ini dielakkan? Dan apakah implikasi jangkitan pergigian terhadap ibu hamil? Mungkin anda pernah dengar cerita orang tua, “sebatang gigi untuk setiap kehamilan”? Saya telah mendengar ramai yang mendakwa setiap kali mereka hamil, sekurang-kurangnya sebatang gigi perlu dikeluarkan. Sesetengah masyarakat berpendapat kehilangan gigi ketika kehamilan adalah normal dan merupakan pengorbanan ibu untuk bayi.

Sejauh manakah kebenarannya?

“Doktor, gigi saya bergerak-gerak dan longgar bila saya hamil, lama-lama semua tanggal sendiri.” Kehamilan tidak menyebabkan penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis tetapi boleh memburukkan penyakit gusi yang telah ada sebelum kehamilan. Ini bermaksud sekiranya anda tidak mengalami gingivitis sebelum kehamilan, gusi anda akan kekal sihat ketika kehamilan dan tidak akan mengalami kelonggaran gigi.

“Tapi bagaimana kehamilan memburukkan gingivitis sedia ada?”

Hormon-hormon kehamilan.

Kandungan estradiol atau progestreron yang tinggi ketika kehamilan dikaitkan kepada keadaan gingivitis yang semakin buruk. Kajian menunjukkan hormon-hormon ini boleh menambah bengkak pada gusi dan pendarahan, menyebabkan gusi menjadi lebih merah, lembut, dan lebih mudah berdarah. Bakteria dalam plak gigi (lapisan putih lembut di permukaan gigi) menggunakan menadione (vitamin K) sebagai faktor pertumbuhan. Akan tetapi, pengkaji juga mengusulkan bahawa estradiol atau progesteron juga boleh menggantikan menadion, dan seterusnya menambahkan jumlah bakteria yang menyebabkan penyakit gusi.

Tindak balas imun ibu

Sering difikirkan tindak balas imun ibu ditahan ketika kehamilan. Jumlah sel-sel pertahanan yang melindungi badan dari jangkitan berkurangan, menjadikan gusi lebih terdedah kepada jangkitan. Hormon kehamilan juga merangsang pengeluaran prostaglandin iaitu perantara kimia yang membantu menahan sistem imun.

“Mengapakah ianya penting untuk menjaga gigi dan gusi ketika hamil? Mulut saya tidak bersambung pada rahim.”

Salah! Penyakit gusi atau kereputan gigi boleh membahayakan diri anda DAN bayi. Bakteria atau toksin yang dihasilkan oleh bakteria dalam mulut boleh memasuki aliran darah dan…. meresapi rahim. Oleh sebab bakteria atau toksin benda asing kepada persekitaran rahim, rahim akan cuba mempertahankan dengan mengeluarkan kandungannya (bayi anda!) lebih awal dari yang dijangka. Perkara ini boleh mengakibatkan kelahirah awal dan berat lahir rendah.

“Wow, tidak tahu pula boleh terjadi begitu menakutkan! Bagaimana boleh saya elakkan perkara ini daripada berlaku?”

Kehamilan itu sendiri TIDAK MENYEBABKAN penyakit gusi. Kehamilan hanya memburukkannya. Anda mungkin telah mengalami gingivitis tanpa disedari sebelum hamil. Sekiranya anda merancang untuk hamil, ideal bagi rawatan pergigian dilengkapkan sebelum permulaan kehamilan. Jika tidak, masih belum terlambat. Di bawah program Kementerian Kesihatan, semua ibu-ibu hamil perlu dirujuk kepada doktor gigi untuk rawatan pergigian menyeluruh, jika perlu. Kebanyakan rawatan pergigian untuk ibu-ibu hamil adalah percuma di klinik pergigian kerajaan di seluruh negara.

Berikut adalah beberapa langkah mudah untuk penjagaan gigi ketika kehamilan yang boleh diamalkan:

Kawalan plak gigi

Jika wang ialah akar segala kejahatan, plak pula akar segala masalah pergigian. Plak ialah mendapan lembut putih atau kuning pada permukaan gigi yang mengandungi berjuta-juta bakteria. Oleh sebab ianya lembut, membersihkannya semudah 1,2,3. Menggosok gigi menggunakan berus gigi lembut dan penggunaan flos pergigian dua kali sehari atau selepas makan cukup untuk membersihkan plak. Tiada plak terkumpul, tiadalah penyakit mulut, semudah itu.

Lawat doktor gigi anda

Doktor gigi akan menjalankan pemeriksaan dan mungkin juga rawatan yang perlu seperti pengskaleran (scaling), penggilapan (polishing) dan pengisian gigi yang telah reput bagi mengawal perebakan dan perkembangan penyakit mulut sedia ada. Trimester kedua (4-6 bulan) masa paling selamat untuk rutin penjagaan gigi. Walaupun keselamatan radiograf pergigian telah lama disahkan, kebanyakan doktor gigi lebih gemar mengelakkan sebarang penggunaan x-ray ketika kehamilan terutamanya dalam trimester pertama (1-3 bulan) kerana fetus paling terdedah kepada kerosakan radiasi di peringkat ini. Namun begitu, sekiranya x-ray diperlukan, apron perlindungan plumbum akan digunakan untuk melitupi badan. Kajian menunjukkan apabila perlindungan plumbum digunakan, jumlah radiasi yang mencapai badan terlalu kecil untuk disukat.

Ketahui cara menangani mabuk hamil.

Kemuntahan kandungan perut boleh menyebabkan hakisan gigi. Sekiranya ini berterusan, gigi anda akan menipis, terhakis, dan kelihatan kuning. Perkara ini berlaku kerana kandungan perut berasid. Jangan terus menggosok gigi selepas muntah kerana hakisan akan menjadi lebih teruk apabila menggosok asid pada gigi. Sebaliknya, berkumuh dengan air dan tunggu setengah jam sebelum memberus gigi.

Sekiranya anda telah lama tidak melawat doktor gigi, inilah masanya. Bukan sahaja gigi anda akan dibersihkan secara profesional, anda juga boleh mendapatkan tip-tip kesihatan berguna yang boleh diamalkan sepanjang kehamilan. Buat pilihan yang tepat. Kesihatan gigi anak bermula dengan anda!

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang bertugas di bahagian Pembedahan Oral dan Maksilofasial di Kota Bharu. Ketahui lebih lanjut di laman The Team. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/a-tooth-for-every-pregnancy-dr-husna-razak/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box