Sayangi Buah Pinggang Anda – Dr Nur Hidayati

2015-01-29-WorldKidneyDay

Picture: www.huffingtonpost.com

Antara perkara yang paling saya benci adalah memberitahu seorang pesakit bahawa mereka perlukan khidmat dialisis. Saya benci kenapa ramai di kalangan masyarakat tidak peka tentang betapa berharganya buah pinggang mereka. Tahukah anda bahawa buah pinggang adalah antara organ yang sukar untuk diganti. Walaupun kita ada mesin dialisis dan rawatan transplan buah pinggang, ianya tidak dapat setanding dengan buah pinggang milik anda sendiri.

Apakah fungsi buah pinggang?

Buah pinggang adalah organ yang bertanggungjawab untuk menyingkirkan sisa buangan dan toksin daripada badan kita. Tahukah anda – setiap hari – buah pinggang kita menapis sebanyak 110 hingga 140 liter darah untuk menghasilkan 1-2 liter air kencing. Air kencing ini mengandungi bahan buangan dan air yang berlebihan.

Penghasilan air kencing membabitkan beberapa proses penyingkiran dan penyerapan semula yang amat kompleks. Proses ini penting untuk memastikan keseimbangan kimia dalam badan kita.

Buah pinggang juga menjaga keseimbangan kandungan garam potassium, sodium dan asid dalam badan. Jika keseimbangan ini tidak dijaga, tahap kandungan garam dan asid dalam badan kita boleh menjadi tinggi dan ini boleh membahayakan nyawa kita.

Buah pinggang juga menghasilkan berbagai hormon yang mempengaruhi fungsi organ lain dalam badan kita. Contohnya, ia menghasilkan hormon erythropoietin untuk merangsang penghasilan sel darah merah. Ia juga menghasilkan hormon yang mengawal tekanan darah kita. Ia juga berkerja keras untuk memastikan tulang kita kuat dan sihat melalui metabolisme kalsium serta penghasilan vitamin D.

Apa yang berlaku kalau buah pinggang tidak berfungsi?

Antara simptom penyakit buah pinggang termasuk berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih, lesu atau sakit badan. Individu yang mengalami kegagalan buah pinggang juga boleh mengalami kencing yang berkurangan, air kencing berbuih atau air kencing yang mengandungi darah. Mereka juga boleh mengalami edema atau bengkak pada muka, kaki, abdomen sehingga ke seluruh badan. Bagi peringkat yang serius, ada yang mengalami pengumpulan air dalam paru-paru hingga mengakibatkan kesukaran bernafas.

Malangnya, semua gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang mengalami kerosakan yang teruk. Ada juga kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang tanda berkenaan walaupun buah pinggang sudah tidak berfungsi lagi.

Oleh sebab itu, kita perlu mengesan pengakit kegagalan buah pinggang ini dari peringkat awal lagi. Ini amat penting bagi individu yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit buah pinggang seperti pesakit kencing manis dan darah tinggi. Masyarakat kita juga perlu peka dan mengelakkan penggunaan ubat-ubatan atau supplemen yang boleh merosakkan buah pinggang kita.

Buah pinggang kita adalah organ yang bijak. Ianya tahu bahan mana yang perlu disingkirkan. Itu sebabnya kita tidak memerlukan terapi detoksifikasi yang khusus, supplemen ataupun ubatan khas untuk menyingkirkan toksin dalam badan kita. Oleh itu adalah penting untuk kita menjaganya dengan sempurna untuk memastikan buah pinggang kita dalam keadaan yang efisien untuk terus berkerja.

Artikel ini diterbitkan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia (12 Mac 2015). Mari bersama sayangi buah pinggang masing-masing kerana buah pinggang yang sihat merupakan anugerah yang tidak ternilai. Dr Nur Hidayati merupakan doktor bahagian perubatan dalaman di sebuah universiti tempatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

1 comment for “Sayangi Buah Pinggang Anda – Dr Nur Hidayati

  1. mohamad Bin Latif kp 530417-11-5187
    November 5, 2015 at 5:17 pm

    Tahniah Dr Nurhayati, semoga maklumat begini amat penting.Semoga dirahmati Allah SWT sentiasa dan dimurahkan rezeki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box