Sakit, ke mana Saya Perlu Dapatkan Rawatan? Klinik atau Hospital? – PPP Harith Baharudin

Sakit dan manusia adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Setiap manusia yang hidup pasti akan merasai sakit namun ia bergantung kepada individu, dan juga tahap penyakit, sama ada sakit ringan atau berat. Amnya, kesakitan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kesakitan luaran atau dalaman. Kesakitan luaran biasanya disebabkan oleh bahan luar daripada badan sebagai contoh trauma ataupun terkena benda asing, manakala sakit dalaman lebih terjurus kepada penyakit yang melibatkan darah, organ di dalam badan, atau pun penyakit berkaitan keturunan.

Berbalik kepada sakit, pasti setiap daripada kita mahukan kelegaan bagi meneruskan kehidupan seperti sedia kala dalam keadaan selesa. Namun demikian, kemanakah harus di tuju? Klinik atau Hospital? Pemahaman mengenai tempat yang perlu di tuju adalah amat penting untuk diketahui kerana ia akan melibatkan masa menunggu, kaedah rawatan dan intervensi lanjut bagi membuat pengesahan (diagnosis) dan melegakan kesakitan yang dialami oleh seseorang.

Amnya, klinik dalam konteks kesihatan di negara ini, merujuk kepada sebuah fasiliti yang diwujudkan untuk merawat kes ringan ataupun pesakit luar. Di samping itu, klinik juga merupakan tempat untuk rawatan susulan, rawatan berkala, pemantauan kesihatan, serta tempat untuk melakukan prosedur kesihatan yang ringkas. Tambahan lagi, klinik juga menyediakan rawatan awal dan kecemasan sebelum dirujuk ke hospital jika berlakunya sesuatu kes kecemasan serta terdapat intervensi ringkas bagi membantu pendiagnosaan dan ubatan bagi melegakan kesakitan. Contoh klinik di dalam negara kita adalah Klinik 1 Malaysia (K1M), Klinik Kesihatan (KK), Klinik Desa dan klinik-klinik swasta. Di klinik-klinik ini terdapat staf kesihatan seperti Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan Jururawat.

Hospital pula adalah satu fasiliti kesihatan yang lengkap dengan pelbagai disiplin kepakaran, peralatan dan intervensi lanjut bagi membantu membuat pendiagnosaan, mencari dan merawat punca kesakitan dan penyakit. Di fasiliti ini terdapat pelbagai profesion yang berkhidmat di mana setiap seorang daripada mereka berkait antara satu sama lain dalam membantu perawatan pesakit. Hospital juga merupakan fasiliti rujukan daripada klinik-klinik yang memerlukan rawatan kepakaran dan intervensi lanjut. Tambahan lagi, hospital juga mempunyai Jabatan Kecemasan & Trauma yang dikhaskan bagi merawat kes-kes kecemasan.

Bagi memudahkan pemahaman, sekiranya seseorang itu mengalami penyakit dan kesihatan ringan, mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik terlebih dahulu, kerana sememangnya klinik diwujudkan atas tujuan tersebut. Waktu menunggu di klinik juga adalah lebih singkat berbanding dengan hospital kerana penyakit atau kesakitan yang ingin dirawat adalah ringan yang mana boleh dirawat oleh Pegawai Perubatan atau PPP sahaja. Tambahan pula, segala rawatan susulan juga boleh dilakukan di klinik kerana ia tidak perlu rujukan kepada pakar, dan jika perlu, pesakit akan dirujuk terus ke unit berkenaan dengan penyakit dan kesakitan di hospital tanpa melalui Jabatan Kecemasan & Trauma. Sebagai contoh, anda mengalami kesakitan atau penyakit berkaitan sakit puan, anda akan dirujuk terus kepada klinik Obstetrik & Gynaekologi (O&G) daripada klinik kesihatan tanpa melalui Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital.

Selain daripada itu, bagi mereka yang mengalami suatu penyakit atau kesakitan yang kritikal dan tidak stabil bolehlah terus ke hospital di mana anda akan di rawat terlebih dahulu di Jabatan Kecemasan & Trauma dan kemudiannya akan di rujuk kepada pakar disiplin yang bersesuaian dengan kesakitan atau penyakit yang dialami. Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital beroperasi 24 jam sehari dan ianya menyediakan rawatan bagi kes-kes kecemasan dan trauma yang kritikal.

Kebanyakkan daripada masyarakat di Malaysia masih keliru dengan tempat yang ingin di tuju bagi mendapatkan rawatan dan kebanyakkan daripada mereka akan terus ke hospital dengan beranggapan bahawa hospital yang mempunyai fasiliti dan kepakaran lengkap ini boleh memudahkan urusan mereka walapun mengalami kesakitan dan penyakit ringan sahaja. Namun demikian, perkara ini akan menyebabkan peningkatan masa menunggu kerana terpaksa menunggu bagi membenarkan pesakit yang betul-betul memerlukan rawatan kepakaran di hospital menerima rawatan terlebih dahulu; yang akhirnya masa merawat penyakit dan kesakitan ringan yang boleh dirawat pada peringkat klinik menjadi lama sekaligus menjadi salah satu kesilapan terutamanya dalam penyalahgunaan Jabatan Kecemasan & Trauma di hospital.

Kepada rakyat Malaysia, adalah diharapkan anda akan memahami tempat yang perlu dituju bagi mendapatkan rawatan kerana perkara ini mampu mengurangkan masa menunggu dan memudahkan urusan anda di samping memudahakan urusan kami sebagai staf kesihatan. Kepada staf kesihatan pula, diharapkan agar senantiasa memberi nasihat, tunjuk ajar dan pendidikan kesihatan kepada pesakit dalam menentukan tempat yang perlu dituju untuk mendapatkan rawatan agar satu keharmonian dan keselesaan dapat dicapai bagi pihak pesakit dan juga staf kesihatan dalam memberikan rawatan yang terbaik kepada setiap rakyat di negara ini.

 

PPP Harith Baharudin

Penolong Pegawai Perubatan

Jabatan Kecemasan & Trauma

Hospital Melaka

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box