Rawatan Pengskaleran Gigi dan Pemutihan Gigi – Dr Marini Ismail

Rawatan pengskaleran gigi dan pemutihan gigi merupakan rawatan pergigian yang berbeza. Rawatan pengskaleran gigi adalah rawatan pergigian yang paling utama sebelum rawatan pergigian lain seperti rawatan tampalan dan rawatan pemutihan gigi dijalankan. Namun begitu, ramai yang masih terkeliru dengan rawatan pengskaleran gigi dan rawatan pemutihan gigi.

Rawatan pengskaleran gigi atau dipanggil ‘mencuci gigi’ ialah rawatan untuk menyingkirkan plak dan karang gigi (kalkulus/tartar). Rawatan ini juga dapat membersihkan gigi dari extrinsic stain atau tompok kotoran yang berpunca dari tabiat menghisap rokok ataupun pengambilan makanan/minuman seperti teh dan kopi. Rawatan ini tidak menghakis gigi dan tidak menukarkan warna asal gigi. Pesakit juga akan merasa sedikit tidak selesa semasa prosedur rawatan dijalankan sekiranya karang gigi terlalu banyak dan tebal. Rawatan ini juga bertujuan untuk mencegah dan merawat penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis.

Sebelum dan selepas rawatan pengskaleran gigi. Sumber gambar: http://vibrantsmilesga.com/scaling-and-root-planing/

Rawatan pemutihan gigi di klinik pula ialah rawatan kosmetik pergigian yang menukarkan warna gigi asal kepada warna gigi yang lebih putih. Namun begitu, sebelum rawatan pemutihan gigi dijalankan, rawatan seperti pengskaleran dan rawatan tampalan yang diperlukan,hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. Manakala keadaan dan kesihatan gigi dan gusi dipastikan supaya berada dalam keadaan sihat dan baik. Rawatan ini melibatkan penggunaan bahan atau gel pemutihan yang disapu pada permukaan gigi dengan mengikut prosedur rawatan yang telah ditetapkan. Kadar keputihan gigi dari seorang individu ke individu yang lain adalah berbeza-beza. Oleh yang demikian, kod warna gigi asal anda dicatatkan terlebih dahulu sebelum prosedur rawatan pemutihan dijalankan. Setelah prosedur selesai, kod warna gigi diambil dan dinilai dengan kod warna asal yang telah direkodkan. Kadang-kala, prosedur pemutihan gigi perlu di jalankan berulang kali dengan nasihat dan pengawasan Doktor Pergigian bagi mendapatkan gigi yang lebih putih berseri. Arahan dan nasihat pergigian selepas prosedur pemutihan gigi dari Doktor Pergigian hendaklah dipatuhi bagi menjamin kejayaan rawatan pemutihan gigi.

Sebelum dan selepas rawatan pemutihan gigi. Sumber gambar: http://www.mgdentistry.com

Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan hasil prosedur tersebut, masih lagi terdapat pilihan prosedur rawatan pergigian untuk menampakkan gigi anda lebih putih dan estetik. Walaubagaimanapun, buatlah pemeriksaan pergigian dan dapatkan nasihat daripada Doktor Pergigian di Klinik Pergigian berdaftar sebelum anda membuat pilihan rawatan pergigian yang terbaik untuk diri anda.

Rujukan:

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4058574/
  2. https://www.mouthhealthy.org/en/az-topics/s/scaling-and-root-planing

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Marini Ismail. Beliau seorang pegawai pergigian yang bertugas di Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box