Puasa Ramadhan untuk Pesakit Buah Pinggang- Dr Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan

Pengenalan

Umum mengetahui bahawa berpuasa merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, kewajipan berpuasa telah gugur untuk mereka yang sakit dan yang berada dalam musafir. Malah untuk golongan wanita yang mengandung dan menyusukan anak juga diberi kelonggaran untuk menggantikan puasa di kemudian hari. Namun begitu, ramai pesakit yang layak untuk tidak berpuasa, meneruskan juga proses puasa mereka walaupun kemungkinan untuk sakit adalah tinggi. Sebagai contoh, dalam kajian EPIDIAR, seramai 43% pesakit type I diabetes dan 79% pesakit type 2 diabetes berpuasa, walaupun berisiko untuk mendapat hypoglycaemia [1]. Pesakit buah pinggang juga tidak berkecuali. Ramai pesakit yang mempunyai chronic kidney disease, malah yang sedang menjalani rawatan dialisis meneruskan ibadat puasa.

Artikel ini bukanlah fatwa. Artikel ini membincangkan mengenai risiko yang mungkin boleh terjadi kepada pesakit buah pinggang apabila mereka berpuasa. Juga akan disentuh sama ada proses dialisis dikira membatalkan puasa ataupun tidak, serta cadangan sekiranya pesakit ingin meneruskan puasa.

Risiko berpuasa kepada pesakit buah pinggang kronik (chronic kidney disease)

Kita sedar bahawa mereka yang sakit dibenarkan untuk tidak berpuasa, namun pada tahap manakah sakit itu terjadi sebelum kita dibenarkan untuk berbuka puasa? Kalau setakat sakit kaki kerana terlanggar kerusi, itu juga dikira sakit, tapi tidaklah sampai boleh berbuka. Dr Wahbah al-Zuhaily memberikan pengertian ‘sakit’ yang membolehkan berbuka sebagai sakit yang mendatangkan kesukaran yang amat sangat atau ditakuti meneruskan puasa akan mengakibatkan bertambah sakit atau lambat sembuh [2]. Soalan ini juga sukar dijawab secara tepat, walaupun oleh para doktor. Sebagai contoh, kajian telahpun menunjukkan berpuasa untuk pesakit kencing manis meninggikan risiko hypoglycaemia (kekurangan gula dalam darah), namun untuk membuat kenyataan secara keseluruhan bahawa semua pesakit diabetes dibenarkan untuk tidak berpuasa adalah sukar. Lebih-lebih lagi apabila ada antara mereka yang baru didiagnos, kawalan gulanya adalah elok, malah ada yang cuma mengambil satu ubat (contoh: metformin) untuk mengawal diabetes.

Apatah lagi untuk penyakit buah pinggang, di mana kajian yang dilakukan tidaklah sebanyak penyakit kencing manis. Secara teori, berpuasa boleh menyebabkan pesakit buah pinggang kekurangan air. Kekurangan air dalam badan, memang tidak dinafikan, boleh menyebabkan kekurangan darah yang cukup untuk buah pinggang berfungsi, menyebabkan risiko kerosakan buah pinggang (acute kidney injury). Oleh itu, ramai para doktor yang mengesyorkan untuk pesakit buah pinggang tahap tinggi untuk tidak berpuasa, dibimbangi boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar.

Untuk mereka yang mempunyai masalah buah pinggang pada tahap awal (eGFR > 50-60 mls/min) kajian menunjukkan bahawa puasa tidak menyebabkan keadaan buah pinggang mereka semakin rosak [3, 4]. Ini termasuklah mereka yang telah menjalani rawatan pemindahan buah pinggang [5, 6]. Kajian juga menunjukkan mereka yangmempunyai fungsi buah pinggang dengan eGFR < 60mls/min, terdapat 11% risiko untuk mereka mendapat acute kidney injury semasa berpuasa [3]. Namun perlu diingatkan bahawa kajian yang dijalankan ini biasanya adalah kecil dan untuk pesakit yang mempunyai fungsi buah pinggang yang stabil. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa subclinical damage mungkin berlaku kepada pesakit yang berpuasa [7], namun setakat mana perkara ini memberi kesan kepada kesan jangka panjang tidaklah diketahui.

Kajian untuk pesakit buah pinggang yang mempunyai fungsi buah pinggang yang lebih parah (tahap 3-5) juga telah dilakukan, walaupun tidak banyak. Dalam kajian terbaru, 45 pesakit buah pinggang yang berpuasa (average eGFR 42 mls/min) dibandingkan dengan 50 pesakit buah pinggang yang tidak berpuasa (average eGFR 31 mls/min). Didapati tidak ada perbezaan antara mereka yang berpuasa dan mereka yang tidak berpuasa daripada segi kerosakan buah pinggang. Terdapat 12-15% pesakit secara keseluruhan untuk kedua-dua belah pihak mengalami penurunan fungsi buah pinggang melebihi 25%, terutama mereka yang lebih berusia [8]. Satu kajian lagi membandingkan 52 pesakit yang berpuasa (average eGFR 28 mls/min) dan 54 lagi yang tidak berpuasa (average eGFR 21 mls/min). Didapati selepas minggu pertama, 60% pesakit yang berpuasa mengalami penurunan GFR hampir 10%. Namun pada penghujung puasa, perbezaan ini tidak menjadi begitu ketara [9].

Oleh itu, adalah perlu untuk pesakit buah pinggang yang ingin berpuasa mempunyai fungsi buah pinggang yang stabil. Bagi mereka yang mempunyai stage 4 chronic kidney disease, ujian darah yang lebih kerap mungkin perlu dilakukan semasa berpuasa [10]. Untuk pesakit stage 5 chronic kidney disease yang belum menjalani dialisis, tiada kajian yang dibuat. Secara logik, risiko untuk mereka adalah tinggi. Oleh itu mereka tidak dinasihatkan untuk berpuasa.

Adakah proses dialisis membatalkan puasa?

Sebelum kita berbincang mengenai risiko berpuasa untuk pesakit dialisis, persoalan yang sering ditanya adalah, adakah dialisis (haemodialysis ataupun peritoneal dialysis) membatalkan puasa? Bergantung di mana fatwa itu diberikan, para sarjana Islam berbeza pendapat. Beberapa pendapat mengatakan puasa itu terbatal [11, 12], manakala beberapa lagi pendapat mengatakan puasa tidak terbatal oleh proses dialisis itu sendiri [13-15]. Resolusi dari 9th Fiqh-Medical Seminar di Morocco pada tahun 1997 (oleh Islamic Organisation for Medical Science, IOMS) yang menghimpunkan para ulama dan doktor perubatan berpendapat perkara yang tidak membatalkan puasa termasuklah inhalers, pendermaan darah, endoscopi dan rawatan dialisis (hemodialisis mahupun peritoneal dialysis).

Perbezaan fatwa tersebut disebabkan oleh perbezaan mazhab dan juga perbezaan dalam memahami sama ada terdapat infusi berbentuk nutrisi semasa proses tersebut. Sebagai contoh, fatwa Arab Saudi berpendapat dialisis itu membatalkan puasa kerana disamakan dengan proses berbekam (cupping), yang pada pandangan mereka, itu membatalkan puasa [11]. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada tahun 2001 merumuskan bahawa seboleh-bolehnya hemodialisis dilakukan selepas waktu berbuka, namun sekiranya terdapat kekangan, berpuasa di siang hari tidaklah terbatal [15]. Di Malaysia, tiada fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dikeluarkan berkaitan perkara ini. Semasa penulis membentangkan perkara ini pada tahun 2013, terdapat fatwa daripada negeri Johor yang dikeluarkan pada 18 Ogos 2009 yang menyebut rawatan peritoneal dialysis membatalkan puasa disebabkan terdapat unsur glukosa dan amino asid di dalamnya. Namun begitu, carian terbaru di halaman e-fatwa tidak menjumpai lagi fatwa tersebut.

Hemodialisis melibatkan proses pengeluaran darah melalui fistula, dilalukan melalui filter pada mesin dialysis, yang akan menjalani proses diffusion untuk menyahkan toksin yang terkumpul di badan pesakit. Hasilnya, darah yang dikembalikan mempunyai kurang toksin. Dalam hemodialisis, pada kebiasaan terdapat sedikit heparin infusion. Terdapat juga infusi normal saline yang digunakan untuk priming. Ada kalanya, segelintir kecil pesakit diberikan nutrisi semasa dialysis (intradialytic parenteral nutrition). Sama ada proses ini membatalkan puasa ataupun tidak bergantung kepada perbincangan majlis fatwa. Dr Hamidah Mat, pensyarah Bahasa Arab di UIAM melalui tesis PhD-nya pada tahun 2014 bertajuk ‘Kaedah Rawatan Perubatan dan Kesannya Ke Atas Hukum Puasa’ berpendapat proses hemodialisis dan peritoneal dialisis membatalkan puasa [16].

Peritoneal dialysis adalah merupakan rawatan dialisis juga, tetapi melibatkan cecair tertentu (yang kebanyakannya mengandungi glukosa) yang diletakkan ke dalam perut (peritoneal cavity) pesakit melalui kateter (Tenckhoff catheter). Air glukosa di dalam peritoneal dialysis solution yang berfungsi untuk mengeluarkan air daripada badan pesakit melalui proses osmosis berpotensi untuk memberikan jumlah tenaga yang sama seperti pesakit mengambil oral glukosa [17]. Namun, sama ada perkara ini boleh dianggap sebagai makan/minum yang boleh membatalkan puasa, sekali lagi bergantung kepada perbicangan pakar-pakar.

Risiko berpuasa kepada pesakit dialisis

Tidak kira sama ada seseorang itu berpendapat proses dialisis itu membatalkan puasa ataupun tidak, umum bersetuju bahawa mereka dibenarkan untuk tidak berpuasa. Namun sekiranya seseorang pesakit itu masih lagi ingin berpuasa, apakah risiko yang boleh terjadi kepadanya?

Dalam satu kajian, hanya 13% daripada pesakit dialisis yang berpuasa [18]. Jumlah kajian puasa Ramadan terhadap mereka yang menjalani dialisis adalah lebih kecil berbanding kajian kepada pesakit yang belum menjalani rawatan dialisis. Kebanyakan kajian dilakukan di negara yang menganggap dialisis itu membatalkan puasa. Oleh itu, jadual perawatan dialisis ditukar kepada keadaan yang tidak membatalkan puasa. Sebagai contoh, untuk pesakit hemodialisis, mereka menjalani rawatan pada waktu malam berbanding kebiasaan pada waktu siang [4]. Untuk pesakit peritoneal dialysis, dialysis solution mengandungi glukosa yang digunakan pada waktu siang kebiasaanya ditukar kepada icodextrin, yang tidak mengandungi glukosa. Cecair yang mengandungi glukosa hanya digunakan pada waktu malam sesudah berbuka [19].

Berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan, termasuk daripada Malaysia [4, 18, 20, 21], pesakit hemodialisis yang berpuasa berpotensi untuk mengalami pengurangan berat badan. Adalah penting untuk para doktor dan jururawat di pusat-pusat dialisis untuk memerhatikan perkara tersebut. Pengurangan phosphate dalam darah dan peningkatan albumin dalam darah mungkin disebabkan oleh kurangnya air yang diambil [20]. Namun terdapat juga kajian yang menunjukkan phosphate dan potassium di dalam darah meningkat semasa berpuasa, berkemungkinan besar disebabkan oleh makanan yang diambil semasa berbuka [21]. Satu kajian retrospective di Pakistan menunjukkan kadar kematian untuk pesakit dialisis pada bulan Ramadan adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain. Namun begitu, sukar untuk dipastikan sama ada ini secara terus disebabkan oleh mereka yang berpuasa ataupun sebab-sebab lain [22].

Cadangan untuk pesakit buah pinggang yang ingin berpuasa Ramadan

  1. Mendapatkan nasihat daripada pakar buah pinggang sebelum Ramadan, untuk mengetahui risiko berpuasa untuk diri anda.
  2. Pengambilan ubat-ubatan, terutama yang lebih daripada 2x sehari, perlu dibincang dan diubah dengan nasihat doktor.
  3. Pastikan buah pinggang anda adalah stabil (tidak mengalami penurunan yang signifikan), selok-eloknya melebihi paras eGFR >50mls/min.
  4. Bagi pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang yang lebih parah (eGFR <45), pesakit boleh berbincang dengan pakar sekiranya ujian darah perlu dilakukan dengan lebih kerap. Sekiranya buah pinggang mereka merosot fungsinya semasa berpuasa, mereka digalakkan untuk tidak berpuasa [10].
  5. Untuk pesakit yang tidak menjalani rawatan dialysis dan tidak mempunyai masalah fluid overload, pastikan mereka minum dengan cukup. Kehilangan berat badan secara mendadak boleh menjadi petanda bahawa mereka mengalami kekurangan air.
  6. Untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis, mereka akan kehilangan berat badan semasa tempoh berpuasa. Juga adalah penting untuk mereka tahu bilakah perlu mereka untuk membuka puasa (tekanan darah rendah, hypoglycaemia dan sebagainya).
  7. Berjaga-jaga dengan makanan yang diambil, kerana makanan tertentu mempunyai kandungan potassium yang tinggi, seperti kurma, apricot dan fig. Berbincang dengan pakar pemakanan adalah sangat perlu. Ini mungkin tidak terpakai kepada pesakit peritoneal dialysis memandangkan mereka lebih berkemungkinan mengalami hypokalaemia.

Rumusan

Berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib, tetapi kelonggaran diberikan kepada mereka yang sakit dan tidak mampu. Walaupun kajian yang dilakukan terhadap pesakit buah pinggang kronik (termasuk pesakit transplan) menunjukkan secara umumnya, berpuasa adalah selamat, namun perlu disedari bahawa kajian-kajian ini adalah pada skala kecil dan selalunya tidak melibatkan pesakit yang mengalami kemerosotan buah pinggang dengan laju. Pesakit dialisis pula perlu lebih berjaga-jaga kerana risiko mendapat komplikasi untuk mereka adalah lebih tinggi.

Pihak berkuasa agama dan pakar buah pinggang juga mungkin perlu duduk semeja dan berbincang mengenai hukum pembatalan puasa oleh proses dialisis. Namun begitu, ketiadaan fatwa nasional boleh dianggap sebagai sesuatu yang baik juga kerana pesakit dan para doktor masih bebas untuk memilih fatwa yang dikira sesuai untuk mereka.

Dr Wan Ahmad Hafiz seorang pakar buah pinggang (nephrologist) yang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

References

  1. Salti, I., et al., A population-based study of diabetes and its characteristics during the fasting month of Ramadan in 13 countries: results of the epidemiology of diabetes and Ramadan 1422/2001 (EPIDIAR) study. Diabetes Care, 2004. 27(10): p. 2306-11.
  2. JAKIM. Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit. Available from: http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/garis_panduan_berpuasa_bagi_pesakit.pdf.
  3. Mbarki, H., et al., Effects of fasting during Ramadan on renal function of patients with chronic kidney disease. Saudi J Kidney Dis Transpl, 2015. 26(2): p. 320-4.
  4. Al Wakeel, J.S., Kidney function and metabolic profile of chronic kidney disease and hemodialysis patients during Ramadan fasting. Iran J Kidney Dis, 2014. 8(4): p. 321-8.
  5. Ghalib, M., et al., Does repeated Ramadan fasting adversely affect kidney function in renal transplant patients? Transplantation, 2008. 85(1): p. 141-4.
  6. Qurashi, S., et al., Effect of fasting for Ramadan on kidney graft function during the hottest month of the year (August) in Riyadh, Saudi Arabia. Exp Clin Transplant, 2012. 10(6): p. 551-3.
  7. El-Wakil, H.S., et al., Fasting the month of Ramadan by Muslims: could it be injurious to their kidneys? Saudi J Kidney Dis Transpl, 2007. 18(3): p. 349-54.
  8. Kara, E., et al., Fasting in Ramadan is not associated with deterioration of chronic kidney disease: A prospective observational study. Saudi J Kidney Dis Transpl, 2017. 28(1): p. 68-75.
  9. NasrAllah, M.M. and N.A. Osman, Fasting during the month of Ramadan among patients with chronic kidney disease: renal and cardiovascular outcomes. Clin Kidney J, 2014. 7(4): p. 348-353.
  10. Bragazzi, N.L., Ramadan fasting and chronic kidney disease: A systematic review. J Res Med Sci, 2014. 19(7): p. 665-76.
  11. Islamqa. May 24, 2017]; Available from: https://islamqa.info/en/49987.
  12. Report, A.W. May 24, 2017]; Available from: http://www.arabwestreport.info/en/year-2000/week-50/5-saudi-committee-fatwas-kidney-dialysis-spoils-fasting.
  13. Islamweb. May 24, 2017]; Available from: http://www.islamweb.net/emainpage/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=38982.
  14. May 24, 2017]; Available from: http://dar-alifta.org/Foreign/ViewFatwa.aspx?ID=6180.
  15. 2001 May 24, 2017]; Available from: https://muisfatwa.pressbooks.com/chapter/medicine-health-and-treatment/.
  16. Mat, D.H., Kaedah rawatan perubatan dan kesannya ke atas hukum puasa. 2014: University of Malaya.
  17. Delarue, J., et al., Glucose oxidation after a peritoneal and an oral glucose load in dialyzed patients. Kidney Int, 1994. 45(4): p. 1147-52.
  18. Imtiaz, S., et al., Clinical and Biochemical Parameters of Hemodialysis Patients Before and During Islamic Month of Ramadan. Iran J Kidney Dis, 2016. 10(2): p. 75-8.
  19. Al Wakeel, J., et al., Recommendations for fasting in Ramadan for patients on peritoneal dialysis. Perit Dial Int, 2013. 33(1): p. 86-91.
  20. Wan Md Adnan, W.A., et al., The effects of intermittent fasting during the month of Ramadan in chronic haemodialysis patients in a tropical climate country. PLoS One, 2014. 9(12): p. e114262.
  21. Alshamsi, S., et al., Changes in biochemical, hemodynamic, and dialysis adherence parameters in hemodialysis patients during Ramadan. Hemodial Int, 2016. 20(2): p. 270-6.
  22. Imtiaz, S., et al., Mortality trend among hemodialysis patients during the islamic month of Ramadan: a 24 years retrospective study. J Coll Physicians Surg Pak, 2015. 25(3): p. 189-92.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box