POLYDACTYLY: Bayi Mempunyai Lebih daripada 5 Jari Kaki- Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

1485183024979Encik Yee panik apabila lihat kaki bayi perempuan beliau yang baru lahir. Bayi comel yang masih merah itu mempunyai 6 jari pada kaki kiri manakala kaki kanannya pula normal. Encik Yee risau jari kaki yang lebih tersebut akan mengganggu pergerakan anak kesayangan beliau. Bolehkah anak beliau berjalan secara normal nanti? Adakah jari yang lebih ini dikaitkan dengan masalah-masalah lain? Persoalan-persoalan ini benar-benar menggangu fikiran Encik Yee.

Apakah Polydactyly?

Perkataan Polydactyly adalah gabungan 2 perkataan Greek iaitu Polys yang membawa erti ‘banyak’ dan Daktylos yang bermaksud ‘jari’. Oleh itu Polydactyly ialah keadaan dimana seseorang mempunyai jari yang lebih banyak berbanding populasi normal. Ia adalah masalah congenital iaitu berlaku sejak dari dalam kandungan lagi. Mengikut statistik, ia terjadi dalam 2 peratus daripada kelahiran.

Ia boleh berlaku pada salah satu atau kedua-dua tangan atau kaki. Bagi tangan, ia lebih kerap berlaku pada jari kelingking berbanding ibu jari atau jari-jari yang lain.

Kenapa ia terjadi?

Polydactyly dikaitkan dengan mutasi genetik dan dikaitkan dengan beberapa sindrom tertentu. Jenis mutasi yang paling kerap berlaku ialah Autosomal Dominan (AD).

Apakah yang akan doktor buat jika bayi saya mengalami Polydactyly?

Bayi dengan Polydactyly akan diperiksa secara terperinci terlebih dahulu bagi memastikan bayi anda tiada masalah organ yang lain yang mungkin berkaitan dengan sindrom tertentu. Ia termasuk memeriksa organ dalam abdomen bayi, jantung dan tulang belakang.

Seterusnya doktor akan memeriksa jari kaki anak anda. Antara perkara yang akan diperiksa ialah bekalan darah dan saraf ke jari tersebut, adakah jari lebih itu mempunyai tulang yang bersambung dengan jari di sebelahnya dan samada ia berfungsi atau tidak.

Perlukah xray dilakukan?

Secara asasnya, xray tidak perlu dilakukan ke atas bayi anda kerana majority tulang kaki pada usia ini adalah bersifat tulang rawan dan tidak kelihatan dengan jelas dalam xray.


Rawatan

Rawatan melibatkan pembedahan pembuangan jari yang lebih. Ia adalah satu prosedur yang bersifat Elektif (bukan kecemasan) dan perancangan teliti akan dibuat. Biasanya dilakukan apabila bayi berusia 9 hingga 12 bulan iaitu apabila bayi telah mencapai berat yang sesuai bagi menjalani pembedahan. Ini adalah bagi meminimakan risiko berkaitan pembedahan dan pembiusan,

Di antara kriteria jari yang akan dipilih bagi dibuang ialah jari yang paling tidak berfungsi, jari yang paling tidak terbentuk atau jari yang mempunyai kurang peredaran darah. Walau bagaimanapun pembedahan hanya akan dilakukan sekiranya kedua ibu bapa memberi kebenaran kepada doktor.

Jika bayi anda mempunyai masalah ini, jangan risau kerana ia boleh diatasi. Anda boleh berbincang secara terperinci dengan doktor yang merawat bayi anda. Kami sedia membantu.

Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics 5th Mark D.Miller. p240

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box