Polifarmasi: Apakah yang Perlu Anda Tahu? – Afzan Raihan Izzati Hamzah

Sumber: chronopause.com

Sumber: chronopause.com

Polifarmasi. Terma ini biasanya dikaitkan dengan kesan negatif kepada pengguna. Namun begitu, terma ini juga boleh membawa kebaikan kepada pesakit sekiranya diamalkan dengan sewajarnya. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh The King’s Fund, England pada tahun 2013; polifarmasi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu “polifarmasi wajar” dan “polifarmasi bermasalah.”

Lazimnya apa yang berlaku adalah apabila pesakit yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang kompleks atau mempunyai lebih daripada satu penyakit diberikan bermacam jenis ubat. Dalam situasi ini, “polifarmasi wajar” dikatakan terjadi sekiranya ubat-ubatan mereka diberikan secara optima mengikut keperluan kesihatan mereka. Meskipun pesakit terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat, namun ia dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit. Sebaliknya, jika pesakit diberikan pelbagai jenis ubat tanpa justifikasi yang wajar, “polifarmasi bermasalah” dikatakan berlaku. Polifarmasi bermasalah boleh membahayakan pesakit kerana ia akan menyebabkan banyak komplikasi antaranya kesilapan preskripsi, pesakit terlupa atau tersalah mengambil ubat, peningkatan risiko mengalami kesan sampingan ubat, peningkatan risiko mengalami interaksi ubat-ubatan dan juga peningkatan kos perubatan.

Polifarmasi bermasalah atau “pengubatan terlampau” tersebut bermaksud pengambilan ubat-ubatan melebihi keperluan seseorang individu. Ia lazimnya merujuk kepada pengambilan lebih daripada 5 jenis ubat pada sesuatu masa. Walau bagaimanapun, ia bukanlah didefinisikan hanya berdasarkan jumlah ubat sahaja, malah terdapat pelbagai kriteria lain yang boleh digunakan untuk mengenal pasti polifarmasi seperti;

  • Penggunaan ubat-ubatan tanpa indikasi yang wajar
  • Penggunaan ubat-ubatan yang mempunyai kesan teraputik atau mekanisma yang sama untuk menyembuhkan sesuatu penyakit
  • Penggunaan ubat-ubatan yang mempunyai interaksi antara satu sama lain
  • Penggunaan ubat-ubatan pada dos yang tidak sesuai
  • Penggunaan ubat-ubatan dengan tujuan menyembuhkan kesan sampingan sesuatu ubat yang lain

Masalah seperti ini lebih kerap berlaku di kalangan warga emas kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah kesihatan yang kompleks. Ini menyebabkan mereka merujuk kepada beberapa doktor atau ahli farmasi yang berlainan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, mereka juga cenderung untuk mengambil ubat-ubatan tambahan untuk membaik pulih kesihatan. Justeru, golongan ini lebih terdedah kepada polifarmasi.

Namun begitu, polifarmasi bermasalah juga boleh berlaku di kalangan pesakit seperti berikut:

  • Mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor.
  • Mengambil ubat-ubatan herba, vitamin, dan produk-produk over-the-counter (OTC).
  • Mengambil ubat-ubatan tidak berdaftar.
  • Mempunyai lebih daripada satu penyakit.
  • Merujuk kepada lebih daripada satu doktor atau ahli farmasi.
  • Mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran.
  • Mempunyai penyakit seperti mudah lupa atau nyanyuk.
  • Tinggal berseorangan dan tidak mempunyai penjaga.

Oleh kerana polifarmasi boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan, pesakit dinasihatkan agar sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi semasa membuat keputusan perubatan supaya rawatan yang optimum dapat diberikan. Pesakit juga perlu lebih peka dan berhati-hati dalam pengambilan ubat-ubatan agar masalah-masalah yang tidak diingini dapat dielakkan.

Tips untuk mengelakkan berlakunya polifarmasi bermasalah:

  • Sentiasa berbincang dengan doktor tentang indikasi ubat-ubatan yang diberikan
  • Membawa ubat-ubatan yang sedia ada setiap kali berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi
  • Membaca label ubat-ubatan dengan teliti sebelum mengambil ubat-ubatan tersebut
  • Berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi dengan segera sekiranya mengalami kesan sampingan ubat
  • Simpan ubat-ubatan dalam bekas yang berasingan untuk mengelakkan daripada tersilap mengambil ubat
  • Jangan berhenti mengambil ubat-ubatan yang diberikan tanpa nasihat doktor

Cik Afzan Raihan Izzati bt Hamzah adalah seorang pegawai farmasi yang bertugas di hospital kerajaan di Melaka.

Rujukan:

  • Health Notes: Drug Therapy Considerations in Older Adults (2003). California State Board of Pharmacy.
  • Polypharmacy and Medicines Optimization: Making It Safe and Sound (2013). The King’s Fund, England.
  • University of Louisville School of Medicine, Physician & Geriatric Department. http://polypharmacyinitiative.com/medsafety.html

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box