Perut Pembunuh – Dr Rizin Kusop

_38666567_beerbelly_corbis_300

Satu ketika dahulu, saya sedang duduk dalam sebuah restoran bersama seorang kawan. Ketika itu, saya meminum jus lobak dan kawan saya pula me’langgah’ bir sambil berkata, “Aku perlu minum bir. Minum bir boleh memberikan aku perut yang besar. Perut yang besar akan menyebabkan orang berfikiran bahawa aku ni pemuda yang mewah”. Dia menjeling kepada saya dan selamba berkata, “boroi maknanya kaya”. Saya berfikir sendiri, “sekurang-kurangnya dia tahu yang minum bir itu menyebabkan boroi”. Apa yang kawan saya tidak tahu ialah kegemukan perut juga dikaitkan dengan penyakit jantung dan kematian yang segera.

Bukan kawan saya sahaja yang begitu. Statistik menunjukkan dalam kebanyakan masyarakat, satu daripada tiga orang dewasa mempunyai kegemukan perut pada tahap yang pelbagai. Hakikatnya, kadar kegemukan terus bertambah pada setiap generasi. Jauh di lubuk minda kita, kita tahu yang perut boroi tidaklah begitu diingini dari segi rupa dan kesihatan. Kita cuba meringankan hakikat ini dengan mengatakan bahawa perut boroi itu comel, gebu, tanda kekayaan dan sebagainya. Jenaka yang sering dikaitkan dengan perut boroi ini pasti berkaitan dengan kerunsingan tentang betapa bahayanya perut besar itu kepada kesihatan seseorang.

Satu kajian telah dibuat dan diterbitkan pada 2007 ke atas 160 000 pesakit. Kajian tersebut telah menaksir hubungkait antara ukurlilit pinggang dengan penyakit jantung dan penyakit kencing manis (diabetes). Keputusannya menunjukkan bahawa ada kaitan yang ketara antara pertambahan ukutlilit pinggang dan kewujudan penyakit jantung dan diabetes pada kedua-dua jantina. Lebih mengejutkan, hanya dengan peningkatan ukurlilit pinggang yang sedikit sahaja di kalangan pesakit yang kurus (Indeks Jisim Tubuh, BMI <25) juga dikaitkan dengan kewujudan penyakit jantung dan diabetes. Banyak lagi kajian seumpamanya, sebelum dan selepas itu, telah mengesahkan kesimpulan tersebut.

Ini bermakna, perut boroi bukan sahaja kelihatan hodoh, tetapi juga boleh membunuh!

Ukurlilit pinggang yang diingini untuk lelaki seharusnya di bawah 90cm dan untuk wanita di bawah 80cm dalam masyarakat Asia. Ini termaktub dalam Garispanduan Amalan Klinikal Malaysia untuk Obesiti 2004. Untuk senang difahami, ukurlilit pinggang itu sebenarnya adalah saiz seluar anda. Kecuali jika anda memakai seluar di bawah garis pinggang, maka ukurlilit pinggang anda tidak bertepatan dengan saiz seluar. Jika anda memakai seluar secara londeh (pinggang seluar jatuh di bawah perut), itu dengan sendirinya bermakna perut anda sudahpun boroi. Tanyalah diri anda soalan mudah ini: “apakah saiz seluar saya?” jika anda seorang lelaki Asia dan saiz seluar anda melebihi 90cm, kemungkinan besar anda akan mati lebih cepat berbanding dengan kawan-kawan anda yang perutnya bersaiz lebih kecil. Fakta ini mungkin mengejutkan, tetapi ianya boleh diubah.

Pertambahan ukurlilit pinggang atau perut bukanlah semata-mata akibat terlebih makan dan gemuk. Sebenarnya, ada orang yang kurus dan masih berperut boroi. Biasa juga kedengaran atau kelihatan seseorang yang cuba menghadkan pemakanan dan telah menunjukkan tanda tanda kehilangan berat otot seperti berpipi cengkung dan berdada leper tetapi masih mempunyai perut yang terjojol keluar.

Kegemukan perut disebabkan oleh gabungan pelbagai punca seperti pemakanan yang salah, gaya hidup tidak aktif, kekurangan zat dan ketidakseimbangan hormon. Membetulkan satu sahaja daripada faktor-faktor ini tidak dapat menghilangkan lemak pada perut. Seseorang itu boleh bersenam selama berjam-jam sehari dan mengentalkan otot pada seluruh tubuhnya tetapi pada masa yang sama masih mempunyai perut yang boroi. Sesiapa yang selalu ke pusat riadah pasti pernah melihat seseorang yang seperti ini.

Sebagai seorang pengamal anti-penuaan, pengalaman telah mengajar saya bahawa faktor terpenting dalam mengurangkan ukurlilit perut ialah menyeimbangkan hormon kita ke tahap muda remaja. Hormon terpenting yang terbabit untuk kaum lelaki ialah testosteron dan untuk kaum wanita ialah keseimbangan tepat testosteron, progesteron dan estrogen. Bahkan, terdapat suatu jenaka dalam kalangan pengamal anti-penuaan mengenai kegemukan perut. ‘Jika seorang lelaki berdiri bogel dan tidak dapat melihat alat sulitnya tanpa membongkok, maka kesimpulannya dia sudah mengalami masalah kekurangan testosterone.’ (Ini disebabkan perut boroinya sudah melindungi garis penglihatan ke alat sulitnya).

Kesimpulanya, semakin besar perut anda, semakin besar kemungkinan anda mendapat penyakit jantung dan diabetes. Kedua-duanya ialah punca utama kematian manusia di masyarakat kita.

Kembali kepada cerita di atas tadi, malang sekali, rakan saya yang bercita-cita menjadi pemuda yang mewah sudah pun tiada. Dia telah didapati menghidap penyakit hati pada tahun 2012 dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Walau bagaimanapun, sebagai penyedap hati, cita-citanya untuk berperut besar dan hidup agak mewah memang telahpun tercapai ketika beliau meninggal dunia.

Kepada sekalian pembaca di luar sana, ketahuilah bahawa bukan meminum bir sahaja yang boleh menyebabkan keadaan perut yang besar. Tidak kiralah apa punca kepada perut anda menjadi boroi, ia pastinya menjadi punca penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung dan diabetes. Perut yang boroi lambat-laun akan membunuh anda. Lakukan segala sesuatu dalam kemampuan anda untuk mengempiskan perut anda yang hodoh dan membunuh itu.

Artikel ini ditulis oleh kolumnis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Rizin H Kusop. Beliau pemilik klinik dan Pegawai Perubatan di Sabah. Beliau juga sangat meminati bidang perubatan Anti-Penuaan, Regenerasi dan Estetika. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemah oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/the-deadly-belly-dr-rizin-kusop/

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box