Perlukah membuang besi atau implan? – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bone_fracture

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bone_fracture

“Doktor, besi ni nanti, bila tulang patah dah baik, nak kena buang ke?”Ini merupakan  persoalan yang paling biasa ditanya kepada saya selaku pakar tulang ataupun ortopedik.

Jawapan untuk persolan diatas adalah : ‘YA’ dan ‘TIDAK’

Dalam majoriti kes-kes di Malaysia, besi atau implan TIDAK perlu dibuang. Kajian menunjukkan ia adalah ‘bio-compatible’ iaitu bersesuaian dengan badan manusia dan tidak akan menimbulkan sebarang permasalahan kepada sistem badan kita.

Selaku Pakar Ortopedik, kami menasihatkan pesakit agar TIDAK mengeluarkan besi tersebut sekiranya tidak mengalami sebarang masalah. Ini adalah kerana,proses mengeluarkan besi ini akan mendedahkan anda kepada risiko-risiko pembedahan, pembiusan dan juga kemungkinan perlu menjalani transfusi darah. Seboleh-bolehnya kita mahu mengelakkan risiko-risiko ini. Betul kan?

‘YA’ sekiranya:

1) Anda seorang kanak-kanak

Besi perlu dibuang kerana tulang anda atau anak anda masih memanjang disebabkan proses tumbesaran dan tempat tulang tumbuh (growth plate) masih lagi belum tutup sepenuhnya.

Di samping itu, besi yang dipasang boleh diliputi oleh tulang baru yang tumbuh sehingga besi (implan) seolah-olah terkambus dan tidak lagi kelihatan. Ini akan menyukarkan proses pengeluaran implan itu sekiranya ia perlu dilakukan.

2) Terjadi jangkitan kuman pada tulang (Osteomyelitis)

Jangkitan kuman (bakteria) boleh berlaku dalam kes-kes kepatahan, terutamannya kepatahan yang mempunyai luka yang berhubung dengan kulit menyebabkan bahagian kulit terluka dan terdedah (open fracture). Ini juga boleh berlaku dalam kes-kes dimana implan digunakan.

Bakteria membentuk satu lapisan pertahanan yg dikenali sebagai ‘Biofilm’ pada lapisan atas implan yang menyebabkan ia sukar dihapuskan, walaupun dengan menggunakan antibiotik. Antara cara yang paling berkesan ialah dengan mengeluarkan implan tersebut dan disertai dengan rawatan antibiotik.

Osteomyelitis lebih mudah berlaku sekiranya implan yang digunakan adalah  diperbuat dari besi  jenis ‘stainless steel” berbanding ‘titanium’.

3) Besi atau implan tersebut menyebabkan masalah kepada pesakit setelah kepatahan tulang telah sembuh

Walaupun tulang yg patah telah bercantum, implan yang digunakan mungkin menyebabkan masalah kepada pesakit sekiranya ia terlalu prominen (timbul) atau menyebabkan rasa sakit atau mengganggu pergerakan sendi.

Namun, anda perlu dilihat oleh Pakar Ortopedik terlebih dahulu kerana dalam kebanyakan kes, masalah-masalah ini bukannya disebabkan oleh implan tersebut kerana pada sesetengah kes walaupun implan telah dikeluarkan, masalah ketidakselesaan masih kekal.

Artikel ini diubahsuai dari artikel asal yang ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

1 comment for “Perlukah membuang besi atau implan? – Dr Ahmad Mahyuddin

  1. Wan cik muhammad ali bin hussin
    December 8, 2014 at 2:24 pm

    Assalamualaikum Dr.. Saya pernah kemalangan dan menyebabkan tulang peha kanan saya patah dan ad besi. Di bahagian lutut saya pula ada dawai untuk menegakkan tempurung saya. Saya hendak minta pendapat Dr., bolehkah saya membuang besi, dawai dan skru di peha dan lutut saya ini dan menggantikan dengan tulang baru? Saya berharap sangat jika Dr. dapat menolong saya sepenuhnya kerana saya sudah tak sanggup menahan kesakitan selama ini. Saya mahukan normal seperti dulu. Wasalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box