Perkahwinan Bawah Umur: Perlu Dibimbangi? – Dr Mohd Shaiful Ehsan

Beberapa hari yang lalu, negara kita dikejutkan sekali lagi dengan berita perkahwinan yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan. Namun apa yang lebih membimbangkan, kanak-kanak itu baru berusia 11 tahun dan merupakan antara pengantin perempuan termuda yang pernah dilaporkan di Malaysia. Berikutan dari itu, pelbagai spekulasi didengari berkenaan isu rentetan dari perkahwinan itu. Biarpun perkahwinan di kalangan kanak-kanak pernah berlaku di Malaysia, namun hakikatnya ianya boleh dianggap menyalahi undang-undang apatah lagi jika tidak didaftarkan. Sejak dari itu, masyarakat mula mengambil tahu akan perkembangan kes ini. Mari kita selidik apa itu perkahwinan bawah umur dan mengapa masyarakat umum perlu ambil tahu…..?

Apa Itu Perkahwinan Bawah Umur?

Sumber gambar: Sinar Harian

Menurut akta kanak-kanak 2001, kanak-kanak adalah mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri di Malaysa, usia minima untuk berkahwin bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah pada usia 16 tahun. Manakala bagi mereka yang bukan beragama Islam, usia minima perkahwinan adalah 18 tahun menurut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Namun, andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan juga Mahkamah.

Perlu diingatkan undang-undang di Malaysia telah menetapkan umur minima untuk memberi keizinan secara sah dalam hubungan seksual atau kelamin adalah 16 tahun dan ke atas. Sekiranya mana-mana kes seksual ada melibatkan usia 16 tahun ke bawah, ianya adalah dianggap sebagai kes jenayah dan hak kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan perlindungan perlu diutamakan.

Apakah Implikasi Akibat Perkahwinan Bawah Umur?

Implikasi yang bakal wujud dapat dibahagikan kepada jangka masa pendek dan panjang, bukan sahaja kepada kanak-kanak itu sendiri, malahan kepada masyarakat. Kanak-kanak dalam usia belasan tahun dianggap sebagai waktu yang kritikal kerana pada waktu ini, kanak-kanak tersebut berada dalam fasa mengenal identiti diri sendiri dan berjuang mengubah diri dari fasa kanak-kanak ke alam dewasa. Kanak-kanak masih belum bersedia memikul tanggungjawab golongan dewasa dan perlu mendapatkan bantuan dan tunjuk ajar pihak keluarga. Perkahwinan akan mewujudkan suatu perubahan yang amat besar dan mendadak dalam kehidupan kanak-kanak dan bakal mewujudkan rasa beban, bimbang dan tidak selamat dalam diri kanak-kanak itu sendiri yang akhirnya boleh mewujudkan ketegangan dan kemurungan. Ini boleh merencatkan perkembangan minda kanak-kanak itu sendiri.

Kanak-kanak juga kurang mampu mengurus masa sendiri antara tanggungjawab pembelajaran dan urusan rumahtangga yang akhirnya boleh mengundang ketidakharmonian rumahtangga dan penyesalan. Tidak mustahil mereka boleh tercicir dari pelajaran dan akhirnya tidak berminat untuk menyambung pelajaran. Ini boleh menjejaskan potensi mereka untuk cemerlang dalam menimba ilmu pengetahuan dan akhirnya tidak mampu memperolehi pekerjaan yang tetap. Pada masa yang panjang, ianya akan menyebabkan mereka berada dalam tahap kemiskinan dan turut membantut perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara. Dari segi perkembangan sosial, akibat daripada pemikiran yang masih kurang matang dan hak-hak yang tidak jelas pada pandangan mereka, mereka juga mudah diabaikan oleh pasangan selepas perkahwinan terutama bagi kanak-kanak perempuan yang mana boleh mengakibatkan berlaku penderaan sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Kajian juga menunjukkan berlaku kes penceraian yang amat tinggi pada usia yang muda, termasuk kepada pasangan pengantin kanak-kanak yang pernah dilaporkan pada tahun 2014. Tidak mustahil, ada juga di antara mereka yang akhirnya dibuang keluarga sendiri dan dipersalahkan.

Perkahwinan di usia muda juga akan meningkatkan statistik kandungan pada usia remaja di negara kita. Kandungan di usia remaja adalah berisiko tinggi di mana boleh mengakibatkan masalah kesihatan kepada mereka sendiri seperti kekurangan darah, keguguran dan kematian kandungan dalam rahim. Ianya juga boleh membawa maut kepada kanak-kanak perempuan itu sendiri sekiranya kesihatan mereka tidak dijaga dan tidak dipantau rapi. Mereka juga berisiko dua kali ganda untuk cenderung mengalami komplikasi dan boleh kehilangan nyawa ketika melahirkan anak berbanding kandungan pada usia ibu yang lebih matang. Kemurungan pada mereka juga boleh berlaku jika mereka dibiarkan tanpa sokongan suami dan keluarga. Secara tidak langsung, kes buang bayi juga bakal meningkat jika bakal-bakal ibu dan bapa muda ini tidak bersedia memikul tanggungjawab mereka yang besar ini. Perkahwinan dan kandungan pada usia remaja juga sering dipandang serong oleh masyarakat dan ini menebalkan lagi anggapan negatif dan stigma komuniti sekeliling kepada mereka. Kanak-kanak ini akhirnya akan lebih menyendiri dan tidak sanggup untuk keluar dan bergaul dengan orang ramai.

Apakah Yang Boleh Dilakukan Sekarang?

Apa yang paling penting sekarang adalah memastikan kanak-kanak yang terlibat dalam perkahwinan usia muda berada dalam keadaan selamat dan hak-hak mereka terbela dan terjaga. Sama ada perkahwinan telah berlaku secara sukarela atau paksaan, kes tersebut perlulah dirujuk kepada pelindung dan jabatan kebajikan masyarakat untuk memastikan kanak-kanak itu selamat. Kes perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan undang-undang negara harus dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran dan mendaftarkan perkahwinan itu dengan cara yang sah. Masyarakat juga perlu memberi ruang privasi kepada kanak-kanak dan keluarga mereka untuk menjaga aib dan mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak tersebut.

Untuk langkah jangka masa panjang, pencegahan perlu dilakukan dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan kepada kanak-kanak dan ibu bapa akan hak kanak-kanak itu sendiri yang sudah tertulis dalam Akta Kanak-kanak. Bahaya dan akibat daripada perkahwinan dan hubungan seks pada usia remaja juga perlu diketengahkan kepada masyarakat umum sama ada dalam bentuk pembelajaran di sekolah mahupun penyebaran maklumat yang tepat melalui media massa.

Kesimpulannya, perkahwinan di kalangan kanak-kanak perlu dibimbangi oleh kerana kesan negatif yang bakal berlaku kepada kanak-kanak dan masyarakat itu sendiri jika ianya tidak dipantau secara tepat dan terperinici. Hak kanak-kanak perlu dijaga dan perkahwinan yang telah atau bakal dilangsungkan perlulah didaftarkan mengikut undang-undang negara. Peraturan yang ada telah cukup unik bertujuan menyelamatkan dan menjaga hak-hak kanak-kanak itu. Justeru, mari bersama lindungi hak kanak-kanak. Mari ambil tahu …

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan dan turut mengandungi pandangan peribadi beliau.

Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box