Perlukah Saya Menggunakan Alat Perancang Keluarga Ketika Menyusu? – Dr. Nurjasmine Aida Binti Jamani

woman_breastfeeding_her_baby“Alamak, positif la! Bagaimana ini boleh terjadi? Bukankah saya masih menyusukan bayi saya?” fikir Aina yang kebingungan sambil memegang alat ujian kehamilan. Dia berasa sungguh runsing memandangkan bayi pertamanya baru mencecah usia 4 bulan.

Senario ini mungkin pernah dialami atau mungkin akan terjadi kepada ibu-ibu yang masih menyusukan bayi mereka. Pasti pelbagai andaian yang bermain di fikiran masing-masing.

Seperti yang diketahui umum, penyusuan susu ibu memberi banyak kebaikan kepada tumbesaran dan kesihatan bayi. Penyusuan susu ibu juga dapat menjarakkan kehamilan dengan bertindak sebagai pencegah kehamilan (kontraseptif) yang berkesan dan alami. Walau bagaimanapun, tetap terdapat segelintir ibu yang masih menyusukan bayi tetapi didapati hamil. Bagaimanakah ini berlaku dan perlukah para ibu yang menyusui bayi mereka menggunakan alat perancang keluarga?

Penyusuan susu ibu sebagai kontraseptif yang efektif

Kebanyakan ibu-ibu umumnya mengetahui antara kebaikan penyusuan susu ibu adalah sebagai pencegah kehamilan secara semulajadi. Ini adalah tepat sekali. Ini disebut dalam istilah perubatan sebagai ‘Lactational Amenorheic Method’ (LAM). Walau bagaimanapun, terdapat tiga (3) syarat utama yang harus dipatuhi sekiranya si ibu ingin menjadikan penyusuan susu ibu sebagai pencegah kehamilan yang efektif. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

  1. bayi berusia kurang daripada 6 bulan
  2. Ibu belum didatangi haid selepas kelahiran
  3. Mengamalkan penyusuan secara eksklusif dan kerap pada waktu siang dan malam

Jadi, sekiranya si ibu tidak dapat mengikuti syarat-syarat di atas, seperti bayi mereka sudah melebihi 6 bulan, sudah didatangi haid dan tidak dapat menyusu bayi dengan eksklusif dan kerap, maka si ibu haruslah memikirkan cara lain sebagai kaedah merancang keluarga yang lebih berkesan. Ini adalah penting agar kesihatan ibu dari segi fizikal, mental dan emosi terpelihara.

Bagaimana kaedah ‘Lactational Amenorheic Method’ (LAM) ini di kalangan wanita bekerja? Adakah ia membantu? Dalam satu kajian di kalangan wanita berkerjaya di mana mereka memerah susu sepenuhnya untuk membekalkan susu kepada bayi, didapati sebanyak 5.2% daripada wanita-wanita ini mengandung dalam tempoh enam bulan. Oleh itu, bagi wanita berkerjaya yang terpisah sementara dengan bayi harus beringat bahawa risiko untuk hamil adalah lebih tinggi. 

Kitaran ovulasi ketika penyusuan dan kebarangkalian hamil

 Semasa tempoh penyusuan, seseorang ibu itu mungkin tidak akan didatangi haid dan belum kembali ke tahap kesuburan yang asal. Tempoh kembali ke tahap kesuburan mungkin berbeza-beza bagi setiap ibu. Ini adalah kerana kekerapan dan bilangan penghisapan (suckling) ketika penyusuan memainkan peranan dalam kelewatan kedatangan haid seseorang ibu.

Kajian menunjukkan bayi yang tidur dan kurang menyusu pada waktu malam serta bayi yang diberikan puting kosong sewaktu tidur malam meningkatkan kebarangkalian untuk tahap kesuburan ibu kembali lebih cepat. Maka amatlah penting bagi ibu-ibu memastikan rangsangan penghisapan susu oleh bayi berterusan ketika waktu siang dan malam bagi menjayakan kaedah merancang secara ‘Lactational Amenorheic Method’ (LAM) ini. Walau bagaimanpun, ada sesetengah golongan ibu yang mungkin kitaran telur (ovulasi) mereka sudah kembali ke tahap subur sebelum kedatangan haid yang pertama selepas kelahiran.

Kedatangan haid yang pertama selepas kelahiran memungkinkan kitaran telur (ovulasi) sudah kembali ke tahap subur. Namun begitu, harus diingat bahawa menunggu kedatangan haid pertama selepas kelahiran mungkin meletakkan si ibu dalam risiko untuk hamil lagi. Oleh itu, adalah wajar bagi ibu-ibu ini mengamalkan kaedah perancang keluarga yang lebih berkesan bagi menjarakkan kehamilan.

Jenis-jenis Alat Perancang Keluarga yang sesuai untuk ibu menyusu 

Terdapat banyak kaedah merancang keluarga samada secara kaedah semulajadi atau kaedah moden. Kaedah moden boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta.

Penggunaan Kaedah Perancang Mengandungi Hormon kontraseptif

Kaedah merancang yang mengandungi hormon boleh didapati dalam bentuk pil, implan, suntikan dan gegelung vagina. Secara amnya, penggunaan hormon sebagai kaedah merancang keluarga bagi ibu menyusu adalah selamat dan kemungkinan pengurangan penghasilan susu ada terutama pada tempoh awal kelahiran.

Terdapat dua jenis kontraseptif berhormon iaitu kombinasi hormon estrogen dan progestogen serta kontraseptif hormon progestogen sahaja. Kontraseptif yang mengandungi kombinasi dua hormon boleh didapati dalam bentuk pil dan gegelung vagina. Kontraseptif yang mengandungi estrogen dikaitkan dengan pengurangan penghasilan susu dan tempoh penyusuan yang lebih singkat.

Kontraseptif yang mengandungi hormon progestron sahaja adalah lebih sesuai untuk ibu menyusu. Ia boleh didapati dalam bentuk pil, implan, alat dalam rahim dan suntikan. Kajian yang dijalankan terhadap pil yang mengandungi progestogen sahaja, suntikan depot progestogen, implan dan alat dalam rahim (IUCD) didapati tidak mengganggu penyusuan, tumbesaran dn perkembangan bayi.

Kaedah Perancang Tanpa Hormon

Alat dalam rahim (IUCD) berasaskan kuprum juga sesuai untuk ibu-ibu yang menyusu. Ia tidak mengandungi sebarang hormon. Ia merupakan sejenis alat perancang keluarga yang dimasukkan ke dalam rahim ibu untuk menghalang persenyawaan daripada berlaku yang mampu bertahan selama 3 tahun.

Selain itu, kondom juga sesuai sebagai kaedah merancang keluarga. Namun begitu, kadar untuk hamil adalah lebih tinggi jika tidak betul penggunaannya berbanding kaedah-kaedah lain seperti di atas.

Sememangnya penyusuan susu ibu dapat menjarakkan kehamilan dan merupakan kaedah perancang keluarga yang efektif apabila memenuhi syarat tertentu. Semua ibu mahu memberikan yang terbaik bagi si manja mereka dan digalakkan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga bayi berusia 2 tahun. Sekiranya para ibu ingin mengetahui lebih lanjut tentang kaedah perancang keluarga yang sesuai untuk ibu menyusu, berjumpa dan berbincang lah dengan doktor di klinik-klinik berdekatan.

Dr. Nurjasmine Aida Bint Jamani seorang Pakar dan Pensyarah Perubatan Keluarga IIUM.

Rujukan

  • Academy , Breastfeeding of, Committee P. ABM clinical protocol #13: contraception during breastfeeding. Breastfeed Med. 2006;1(1):43–51.
  • Valdes V, Labbok MH, Pugin E, Perez A. The efficacy of the lactational amenorrhea method (LAM) among working women. Contraception. 2000;62(5):217–9.
  • Guthmann RA, Bang J, Nashelsky J. Combined oral contraceptives for mothers who are breastfeeding. Am Fam Physician. 2005;72(7):1303–5.
  • Statement F, The F, Effectiveness C. Faculty of Sexual and Reproductive Healthcare Clinical Effectiveness Unit. 2009;(1).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box