Penyakit Parkinson: Terperangkap Dalam Jasad Sendiri – Dr. Chiam Keng Hoong

Penyakit Parkinson ialah penyakit kronik yang boleh menyebabkan gangguan  melarat serta menyukarkan pergerakan tubuh dalam suatu tempoh yang lama. Ia timbul secara perlahan-lahan dan umumnya mengambil masa sedekad atau dua sebelum pesakit mengalami ‘resistance’ atau kerintangan terhadap kebanyakan ubat yang ada.

Ia dianggap sebagai salah satu penyakit saraf yang biasa dijumpai pada zaman kini, selalunya menyerang individu yang berusia lebih 60 tahun. Namun, kadangkala ia juga menyerang warga muda. Masalah asas penyakit Parkinson ialah kemerosotan ‘sel penjana dopamin’, yang berfungsi sebagai kilang bahan kimia yang penting untuk pergerakan tubuh badan. Bayangkan dopamin sebagai ‘minyak petrol’ untuk ‘jentera tubuh’ anda. Tanpanya, pergerakan tubuh menjadi sukar dan hampir mustahil.

Apakah gejala-gejalanya?

Terdapat dua jenis penyakit Parkinson yang dikenal pasti – ‘tremor-predominant’ (banyak menggeletar) dan ‘akinetic-rigidity predominant’ (pergerakan kaku) – bergantung kepada simtom mana yang lebih menonjol. Pengelasan ini penting dari segi klinikal untuk memandu tumpuan para doktor dalam rawatan susulan.

Pesakit Parkinson yang banyak menggeletar (tremor-predominant) akan mempunyai gerakan luar kawalan pada tangan dan juga kaki. Getaran  klasik yang biasa dilihat pada pesakit Parkinson ialah semasa dia berehat; jika bergerak, geletar itu akan berkurangan. Ia juga dikenali sebagai perbuatan menggentel pin (pin-rolling), dari cara getaran itu terlihat.

Rajah 1: A) Geletar gentel pin B) Postur bongkok dengan langkah ‘shuffling’, teragak-agak

Pesakit dengan varian yang satu lagi, pergerakan kaku, akan tampil dengan pergerakan yang lambat dan biasanya diiringi dengan kekakuan yang ketara.. Penderita jenis ini mengumpamakan kekakuan dan kelambatan pergerakan mereka bagaikan terpenjara dalam tubuh sendiri.

Berikut ialah gejala-gejala yang biasa terdapat pada penyakit Parkinson (bukan semua akan wujud serentak)

  • Geletar
  • Bradykinesia / (pergerakan lambat)
  • Otot keras dan kaku
  • Postur tubuh semakin membongkok
  • Postur tak stabil, membawa kepada hilang imbangan dan kerap jatuh
  • Langkah pendek, ‘shuffling’ dan teragak-agak
  • Lengan kurang berayun semasa berjalan
  • Hilang mimik muka
  • Saiz tulisan mengecil
  • Pertuturan monotona
  • Gejala neuropsikiatri seperti kemurungan, gelisah, apati, halusinasi dan/atau delusi
  • masalah tingkah laku
  • kurang tidur
  • sembelit
  • mata kering akibat kurang mengelip
  • nyanyuk (di hujung-hujung penyakit)

Apakah puncanya?

Tiada punca yang pasti namun terdapat kaitan dari segi faktor-faktor persekitaran dan mutasi gen.

Bagaimana ia didiagnosa?

Penyakit Parkinson asasnya didiagnosis secara klinikal. Riwayat (history taking) yang penuh dan lengkap akan diambil daripada pesakit atau penjaganya sebelum penilaian neurologi yang penuh dijalankan untuk mencari simptom-simptom yang dijelaskan di atas.

Tiada siasatan darah atau radiografi khusus diperlukan, kecuali doktor berpendapat ada masalah neurologi lain yang perlu ditangani, terutamanya sekali jika ada gejala-gejala lain yang bercanggah dengan simtom di atas.

Bolehkah ia dicegah?

Ada yang mengatakan amalan minum kopi boleh melindungi seseorang daripada terkena penyakit Parkinson. Ada juga yang mengandaikan peluang perokok untuk mendapat penyakit Parkinson adalah lebih rendah. Malah, anti-oksidan disebut-sebut dapat melindungi sel-sel otak yang menghasilkan dopamin. Namun begitu, tiada siapa yang dapat mengesahkan jika perkara  tersebut adalah fakta atau sekadar spekulasi.

Bagaimana penyakit Parkinson dirawat?

Tumpuan rawatan adalah untuk memperlahankanperkembangan/progres penyakit Parkinson dan bukan untuk menghentikannya sama sekali. Dengan kemajuan kajian sains, lebih banyak ubat yang menjanjikan pengurangan simtom dijual di pasaran. Kebanyakannyabertindak untuk memanjangkan separuh hayat dopamine di dalam otak, sama ada dengan menggantikannya atau menjaganya daripada merosot supaya ia tidak habis digunakan.

Meskipun terdapat banyak jenis ubat yang mudah didapati, pesakit Parkinson perlu meneruskan temujanji dengan pakar neurologi atau pakar gangguan pergerakan selagi penyakit mereka masih berkembang. Pakar-pakar ini berpengalaman dalam menggabung dan/atau mengubah sukatan ubat anti Parkinson serta boleh mengesyor ubatan baharu atau pembedahan sekiranya ikhtiar lain gagal.

Kesimpulan

Dengan kemajuan serta perkembangan dalam bidang penjagaan kesihatan dan nutrisi, jangka hayat seseorang individu turut meningkat. Secara tidak langsung, populasi warga emas juga turut meningkat. Akan tetapi, perkembangan ini juga membuatkan lebih banyak insiden penyakit Parkinson di masa hadapan.

Tidak dinafikan bahawa adalah sukar untuk pesakit serta ahli keluarga untuk menerima diagnosis penyakit Parkison, kerana ianya adalah penyakit yang memakan masa dan perlahan. Namun, kerisauan ini boleh dihilangkan dengan sokongan pasukan multi disiplin yang terdiri daripada pakar saraf, doktor, psikiatri, ahli fisioterapi dan terapi carakerja. Sokongan dari ahli keluarga juga turut memainkan peranan penting dalam penjagaan pesakit.

Dengan mengambil tahu dan menambah ilmu mengenai penyakit ini, ia boleh membebaskan kita daripada ketakutan yang membelenggu fikiran.

Dr. Chiam Keng Hoong ialah doktor penyakit dalaman dan pemegang sijil MRCP. Beliau bertugas di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box