Penyakit Kemurungan & Anda #ReachOut – Dr Amer Siddiq

Source: tribune.com.pk

Source: tribune.com.pk

Sejak akhir-akhir ini, media massa sering menyiarkan berita kematian mengejut dan bunuh diri. Berita seperti ini sememangnya meruntun hati dan kita seringkali tertanya “Apakah yang mendorong mangsa berbuat demikian?” atau “Apakah masalah yang menghantui  fikiran mangsa sehingga dia  sanggup untuk mengambil nyawanya sendiri?”. Bagi setiap kematian, kajian menunjukkan bahawa terdapat dua puluh orang di sekeliling mangsa seperti rakan-rakan dan keluarga mangsa yang mengalami trauma apabila mendengar berita kematian ini.

Walaupun kita tidak mungkin tahu cerita sebenar di sebalik mengapa mangsa membuat keputusan begitu atau apa yang mengganggu fikiran mereka namun secara umumnya, ramai yang mengetahui bahawa salah satu penyakit perubatan yang sering dikaitkan dengan kejadian ini adalah penyakit kemurungan ataupun dikenali sebagai “Major depression”. Pemahaman tentang penyakit kemurungan bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan psikologi adalah berbeza berbanding dengan pandangan orang ramai. Izinkan saya menjelaskan hal ini dalam erti kata yang mudah untuk difahami oleh kita semua.

Apakah itu penyakit kemurungan?

Penyakit kemurungan merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih atau murung. Namun berbeza daripada perasaan sedih yang mungkin dirasakan apabila kita kehilangan telefon bimbit contohnya, bagi mereka yang mengalami masalah ini, perasaan sedih atau murung ini berpanjangan. Pada masa yang sama, mereka juga seringkali mempunyai perasaan terlalu rendah diri dan sering merasakan diri mereka bersalah dan berdosa dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Perasaan murung ini hadir dalam diri mereka pada setiap waktu sepanjang hari dan boleh berlarutan sehingga berminggu-minggu. Ini berbeza dengan perasaan sedih biasa yang kita alami apabila sesuatu musibah berlaku yang akan hilang dalam masa yang singkat setelah musibah itu berlalu.

Diagnosis penyakit ini melibatkan temubual antara pakar psikiatri dengan mereka yang dirasakan menghidapi penyakit kemurungan. Diagnosis ini berpandukan kriteria yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO) dan American Psychiatric Association (APA). Mereka yang mempunyai gejala-gejala atau simptom kemurungan seperti yang dinyatakan di bawah,  menyebabkan gangguan dalam kehidupan seharian berkemungkinan mengalami penyakit kemurungan ini.

Tanda-tanda penyakit kemurungan

1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.

2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.

3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.

4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).

5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.

6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.

7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan  sesuatu kesalahan perbuatan  atau merasakan diri tidak berguna

8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau  berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.

9. Berfikir tentang  keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.

Justeru, jika anda merasakan anda atau orang terdekat anda mempunyai gejala- gejala yang disebutkan di atas dalam tempoh waktu yang sudah lama, adalah lebih baik anda mendapatkan pertolongan daripada doktor anda atau hubungi mereka yang boleh memberikan pertolongan seperti di bawah.

Apakah situasinya sekarang?

Terdapat salah faham yang berlaku di kalangan umum bahawa ahli psikiatri dapat membaca minda pesakit. Ini sudah tentunya satu dongeng dan tidak benar sama sekali. Seperti yang dikatakan Dr Eugene sebelum ini, doktor psikiatri adalah doktor perubatan yang berlatih dan mendalami ilmu kesihatan mental. Justeru, kumpulan pakar ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah dalam penyakit mental.

Source: projectlifemastery.com

Source: projectlifemastery.com

Penyakit kemurungan telah dikenalpasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia pada ketika ini. Kajian juga meramalkan bahawa penyakit kemurungan akan menjadi penyebab utama masalah kesihatan dalam negara-negara membangun menjelang tahun 2020. Oleh itu, isu ini tidak boleh dipandang ringan.

Beberapa kajian epidemiologi juga turut melaporkan bahawa peluang bagi seseorang  untuk menghidapi penyakit kemurungan sepanjang tempoh kehidupannya adalah sebanyak 11-15% dan dalam tempoh setahun pula kemungkinan terdapat  sebanyak 5-6%  mereka yang menghidapi penyakit ini. . Di Malaysia ketika ini, kejadian penyakit ini adalah sebanyak 2% di kalangan orang umum  dan  di antara yang mendapatkan khidmat doktor pula, prevalen penyakit ini adalah sebanyak 6-14%. Berkemungkinan besar statistik yang diberikan tidak mewakili apa yang sedang berlaku dalam komuniti kita kerana kurang keperihatinan masyarakat kita  terhadap penyakit mental. Mungkin juga ramai yang tidak menyedari bahawa kemurungan yang berpanjangan adalah satu masalah yang perlu kita tanggani bersama.

Apakah punca penyakit kemurungan?

Terdapat beberapa faktor yang  menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan. Salah satunya ialah genetik atau keturunan. Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi penyakit ini apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak. Selain itu, individu dengan personaliti yang selalu gelisah atau tidak ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.

Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Contohnya trauma psikologi di zaman kanak-kanak atau trauma fizikal ke atas otak kerana  kecederaan atau penyalahgunaan dadah. Kemalangan yang berlaku pada zaman kanak- kanak memberi kesan yang lebih besar dan membawa kepada risiko yang lebih tinggi untuk penyakit kemurungan bagi seseorang individu dalam kehidupan dewasanya. Bagi mereka yang menggunakan dadah, risiko untuk menghidapi penyakit kemurungan juga turut meningkat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil dadah. Penggunaan dadah di sini termasuklah menghisap rokok.

Sesetengah sejarah hidup yang negatif atau yang menyebabkan tekanan jiwa boleh menjadikan seseorang individu itu lebih terdedah untuk menghidapi penyakit kemurungan. Oleh itu, mereka ini haruslah lebih berwaspada dan mendapatkan pertolongan secepat mungkin.

Antara faktor lain yang menyebabkan penyakit kemurungan ialah ketidakseimbangan bahan kimia atau hormon di dalam otak. Hormon utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Antara hormon lain yang turut terlibat ialah norepinephrine dan dopamine. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita. Oleh itu, kegagalan dalam penghasilan atau peningkatan dalam pemusnahan bahan-bahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan bahan kimia ini dan seterusnya menjurus seseorang itu menghidap  penyakit kemurungan .

Source: www.mamamia.com.au

Source: www.mamamia.com.au

Bolehkah kita merawat penyakit kemurungan?

Penyakit kemurungan perlu dikenalpasti dan diberikan diagnosis sebelum rawatan dapat diberikan. Individu yang mempunyai penyakit ini, bergantung kepada tahap keterukannya, boleh memilih di antara “talking therapy” (psikoterapi)  atau penggunaan ubat. Selalunya untuk kes sederhana atau berat, kombinasi terapi boleh digunakan untuk merawat pesakit dan kajian telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan apabila kombinasi rawatan digunakan.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan adalah efektif dan selamat. Walaupun setiap ubat mempunyai kesan sampingan, sekiranya tidak memberikan rawatan untuk penyakit kemurungan adalah lebih bahaya daripada kesan sampingan tersebut. Juga perlu dijelaskan bahawa kesan sampingan ubat-ubat ini selalunya kecil dan jutaan pesakit di seluruh dunia yang menerima rawatan ini dapat menerima kesan sampingannya.

Bagaimana saya boleh meminta pertolongan?

Bagi mereka yang berasa diri mereka memerlukan pertolongan dalam hal ini dan mahu berbicara dengan seseorang yang memahami, doktor di klinik yang selalu anda kunjungi  merupakan orang pertama yang patut anda bawa berbincang. Semua doktor mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengesan dan merawat penyakit kemurungan yang ringan atau sederhana  dalam komuniti. Jika mereka merasakan anda memerlukan khidmat pakar, mereka boleh merujuk anda ke hospital untuk bertemu dengan pakar psikiatri.

Jika anda sendiri mahu berjumpa dengan doktor- doktor yang lebih pakar dalam bidang kesihatan mental, anda bolehlah terus berjumpa dengan pakar psikiatri. Mereka boleh dijumpai di hospital- hospital, tidak kira hospital kerajaan mahupun hospital swasta. Terdapat juga beberapa pakar psikiatri yang mempunyai klinik sendiri. Semua hospital besar kerajaan mempunyai khidmat pakar psikiatri. Anda bolehlah merujuk di sini:

http://www.psychiatry-malaysia.org/listcat.php?cid=29&all=Y

http://www.psychiatry-malaysia.org/listcat.php?cid=28&all=Y

Ahli psikologi walaupun berbeza dengan ahli psikiatri, juga dapat membantu anda. Terdapat juga beberapa  orang ahli psikologi bekerjasama dengan pakar psikiatri sebagai sebuah pasukan. Bagaimanapun tidak banyak ahli psikologi di Malaysia berbanding ahli psikiatri.

Untuk mereka yang memerlukan pertolongan tetapi tidak bersedia untuk bersemuka dengan doctor atau pakar psikiatri, beberapa kumpulan NGO mungkin dapat membantu anda. Antaranya ialah Befrienders Malaysia  http://www.befrienders.org.my/

Akhir sekali, The Malaysian Mental Association mempunyai beberapa kumpulan sokongan yang dapat menghulurkan bantuan. Mereka dapat dihubungi melalui laman web ini http://mmha.org.my/slide/

Artikel ini adalah terjemahan dari artikel bahasa inggerisnya “Major Depression and You” dan diterjemahkan oleh Wan Zaireen Hani Wan Najib pelajar akhir perubatan di University Otago, New Zealand.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

screen-shot-2016-09-08-at-9-39-04-am

3 comments for “Penyakit Kemurungan & Anda #ReachOut – Dr Amer Siddiq

  1. sofia ummirah
    January 8, 2015 at 11:24 am

    Hello. saya ingin bertanya. adik saya seringkali mengalami masalah ini. yang mana dia seringkali berbicara seorang diri. contoh sedang duduk menunggu makanan sampai ketika berada di kedai makan secara tiba-tiba beliau akan menyebut 1986. setelah itu apabila ditanya apakah yang dimaksudkannya. dia tidak dapat memahami kami. selain itu, dia kadang-kala tidak dapat memahami apa yang kami arahkan walaupun arahannya begitu mudah. contohnya, apabila kami menyuruh dia memakai selipar dia tidak tahu bagaimana cara untuk melakukanya. dan dia kerap kali bercakap sendirian. contohnya.. “ahmad, dia tengah suka tu”. sedangkan individu berkenaan tidak ada di depan. dan apabila kami bertanya siapa ahmad, dia mengatakan kawannya kadang-kala apabila ditanya kepada dia. dia akan mengatakan perkara yang lain. contohnya. “abang sakit”. untuk makluman adik saya kini berumur 17 tahun. keadaan beliau amat membimbangkan kami sekeluarga. harap dapat membantu kami..? adakah dia mengalami masalah kemurungan atau lain-lain? apakah cara yang perlu kami lakukan untuk merawat beliau?

    • Blackeye
      April 12, 2015 at 8:42 am

      Hi untuk mengenal pasti atau ingin tahu dengan lebih lanjut lebih baik anda bawa adik anda berjumpa dokter dengan segera..sekiranya berlarutan ada kemungkinan akan memudaratkan kesihatan dia..semoga cepat sembuh…

  2. aina
    June 17, 2015 at 10:46 pm

    Asalamualaikum/Salam Sejahtera. sejak beberapa tahun ini.. saya adalah seorang pelajar. saya rasa sangat tertekan dan mengalami perasaan sedih yang berpanjangan. saya mengalami simptom2 di atas lebih kerap kebelakangan ini. tidak ada seorang pon ahli keluarga saya yang mengetahui apa yang saya rasa. syukur alhamdulilah, saya sentiasa memohon ketenangan jiwa dan kekuatan dari Allah SWT.Namun, apakah yang saya harus lakukan? saya benar2 perlukan nasihat.

Leave a Reply to aina Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box