Persediaan Sebelum Mengandung – Dr Rahmat Bin Harun

Persediaan untuk hamil tidak seharusnya menjadi tanggungjawab wanita sahaja. Lelaki dan wanita harus mempersiapkan diri masing-masing apabila mereka sudah bersedia untuk menjadi ibu bapa. Prinsip umum bagi penjagaan prakonsepsi (sebelum mengandung) adalah dengan menjaga kesihatan.

Dari perspektif saya sebagai seorang pakar bedah saraf, satu-satunya pelengkap yang berkesan dan disyorkan di seluruh dunia ialah asid folik. Asid folik ialah sejenis vitamin B yang diperlukan bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi seawal minggu pertama kandungan.

Kajian telah mendapati bahawa pengambilan asid folik sebagai pelengkap semasa kehamilan boleh mengurangkan kecacatan seperti spina bifida. Dos yang disyorkan adalah sebanyak 500 mikrogram asid folik sehari untuk sekurang-kurangnya sebulan sebelum mengandung dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan (Australia New Zealand Food Authority, 1998) manakala Perkhidmatan Kesihatan Awam Amerika Syarikat mengesyorkan dos 400 mikrogram sehari.

Risiko kecacatan otak dan saraf tunjang dikurangkan sebanyak 50% dengan pengambilan asid folik yang betul, terutamanya risiko anensefali dan spina bifida. Malah penyelidik telah mendapati bahawa pengambilan asid folik boleh membantu mengurangkan kecacatan tiub saraf dari berulang dalam kandungan seterusnya sehingga 70%.

Apa itu kecacatan tiub saraf? Apakah yang boleh berlaku jika seseorang itu mempunyai kecacatan tiub saraf? Kecacatan tiub saraf menyebabkan seseorang itu menghadapi defisit neurologi dalam peringkat yang berbeza: sama ada lumpuh, inkontenen (gagal mengawal kencing dan pembuangan najis) dan kecacatan otak mahupun kematian.

Kecacatan tiub saraf boleh dicegah. Walaupun fasiliti dan kepakaran bedah saraf membolehkan kita menjalankan pembedahan untuk membaiki kecacatan tiub saraf, hasilnya tidak akan menyamai bayi yang normal. Saya sendiri telah melihat kanak-kanak tersebut dan menjalankan pembedahan ke atas mereka. Semakin mereka membesar, kanak-kanak ini harus belajar untuk mengubah suai aktiviti mereka kerana mereka membesar dengan berbagai defisit neurologi, atau perkembangan yang tidak sempurna dari peringkat awal lagi.

Kita perlu mendidik diri kita serta orang lain tentang kepentingan penjagaan prakonsepsi agar masyarakat lebih menyedari bahawa mereka mampu melakukan sesuatu untuk mencegah kecacatan tiub saraf.

Artikel ini adalah rumusan bagi https://www.mmgazette.com/when-does-life-begin-dr-rahmat-bin-harun/ yang telah ditulis oleh penulis yang sama.

Dr Rahmat adalah pakar bedah saraf yang percaya bahawa ilmu memberi kuasa kepada masyarakat untuk membuat pilihan yang tepat. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenai beliau di laman The Team.

Artikel ini telah diterjemah dari Bahasa Inggeris oleh Dr Aini Hanan Azmi.

References:

  • Committee on Genetics. Folic Acid for the Prevention of Neural Tube Defects. Pediatrics Aug1999;Vol 104;No 2; pp325-7
  • Hannah Blencowe et al. Folic acid to reduce neonatal mortality from neural tube disorders. Intern J of Epidemiology 2010;39;pp i110-i121
  • The National Technical Committee of Food Fortification Ministry of Health Malaysia. Proposal Paper on Mandatory Fortification of Wheat Flour with Iron and Folic Acid. MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA 2008 (15 August 2008)
  • Endom Ismail et al. Incidence of Spina Bifida: An Eight-Year Analysis At Kuala Lumpur Hospital. Poster Papers:Medical & Human Genetics. Proceedings of the 8th Malaysia Congress on Genetics Aug 2009

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box