Peningkatan Kes COVID-19: Salah Pelitup Muka Anda? – Dr Shaiful Ehsan

Sejak kebelakangan ini, kes baru Covid-19 menunjukan peningkatan yang menjolak tinggi dan sangat membimbangkan. Buat pertama kalinya, angka kes baru mencecah lebih 4000 kes baru sehari dengan kes kematian yang senantiasa dicatatkan setiap hari. Lebih membimbangkan, tiada penanda awal akan berlakunya penurunan kes kepada kurang dua angka sebagaimana yang kita pernah capai suatu ketika dahulu pada awal penularan kes Covid-19 di Malaysia.

Jika dilihat, kemana-kemana sahaja kita pergi, samada ke tempat kerja mahupun di tempat awam, rata-rata semua masyarakat memakai pelitup muka. Tiada yang kelihatan berpegangan atau duduk rapat-rapat. Justeru, mengapa kes baru Covid-19 masih berlaku? SALAH SIAPA?

 

SALAH PELITUP MUKA ANDA?

Ya, ada kemungkinan besar ianya disebab kealpaan anda dalam memakai pelitup muka dengan cara dan prosedur yang sepatutnya. Bukan isu pakai atau tidak pakai. Namun ianya bergantung samaada anda memakai dengan cara yang betul atau sambil lewa.

Ia, biarpun anda memakai pelitup muka, ianya akan menjadi usaha yang sia-sia sahaja sekiranya TABIAT BURUK berikut masih diamalkan. Antaranya:

1) Memakai pelitup muka berulang-ulang kali dan juga melebihi lapan jam dalam satu tempoh masa. Lebih menyedihkan ada yang sanggup memakai pelitup muka yang sama berhari-hari lamanya.

2) Memakai pelitup muka yang longgar (akibat berulang kali memakainya) atau kepingan logam pelekat hidung yang sudah rosak.

3) Memegang bahagian dalam pelitup muka dengan tangan, ini akan menyebabkan pelitup muka sudah terkena kuman dari tangan kita dan dari persekitaran luar.

4) Meletak pelitup muka di merata-rata tempat dan kemudian memakainya semula. Sebaik-baiknya simpanlah pelitup muka di dalam bekas kecil khas yang mudah dibawa. Sekiranya hendak membuang pelitup muka, lipat serta ikat pelitup muka dan buang ke dalam tong sampah berdekatan.

5) Memakai pelitup muka yang telah basah. Ini mungkin disebabkan berpeluh atau terkena air dari hujan dan sebagainya. Sepatutnya pelitup muka yang telah basah hendaklah diganti terus dengan pelitup muka yang baru dan kering dengn secepat mungkin.

6) Memakai pelitup muka sekadar di mulut atau dagu, tetapi tidak menutup hidung atau mulut dengan sempurna. Tabiat suka meletak pelitup muka di paras dagu juga akan menyebabkan kuman mudah merebak.

7) Menutup hujung hidung sahaja. Ini juga adalah salah, seharusnya pelitup muka yang betul dapat menutup hidung dan mulut sepenuhnya.

8) Berkongsi pelitup muka yang sama. Ini sangatlah menyedihkan dan tidak boleh diterima. Apatah lagi setelah kerajaan telah menurunkan harga pelitup muka pakai-buang pada harga yang sangat-sangat rendah.

9) Memakai pelitup muka pakai-buang dengan cara yang terbalik. Samada anda sakit atau tidak, sila pastikan lapisan berwarna (hijau atau biru) hendaklah berada di luar, dan lapisan berwarna putih atau pudar di dalam (menghadap kawasan muka).

Justeru, sudah terang lagi bersuluh, biarpun anda memakai pelitup muka, namun segala-galanya adalah usaha yang sia-sia belaka jika anda memakainya dengan cara yang salah. Biarpun kajian menunjukkan pemakaian pelitup separuh muka boleh mengurangkan 60% risiko jangkitan COVID-19 berbanding mereka yang tidak memakainya, namun pemakaian yang salah sememangnya tidak dapat berfungsi dalam pencegahan tersebut. Justeru, berubahlah. Jangan pakai pelitup muka kerana menurut SOP semata-mata. Tetapi jadilah anggota masyarakat yang peka dan celik serta bertanggungjawab.

 

Jangan biarkan tabiat sambil lewa anda menjadi punca berlakunya kluster jangkitan terbaru. Pakailah pelitup muka dengan cara yang betul. Jangan biarkan anda dan pelitup muka anda menjadi pesalah.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan, seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

Rujukan:

1) InfoSihat – Cara Pakai Pelitup Muka Yang Betul (https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/infografik/item/cara-pakai-pelitup-muka-yang-betul)

2) Cara Pakai Pelitup Muka Perubatan Yang Betul-01 (http://www.myhealth.gov.my/jangkitan-penyakit-coronavirus-covid-19/cara-pakai-pelitup-muka-perubatan-yang-betul-01/)

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box